Allan Andersn Terharu, Sambutan Luar Biasa Peminat Malaysia
Penyertaan dalam program realiti, X Factor Indonesia musim ketiga memuncakkan nama jejaka kelahiran Tahuna, Sulawesi Utara berusia 33 tahun, Allan Andersn. Sempat melakar langkah sebagai antara vokalis kumpulan 2nd Chance, Allan bagaimanapun memilih untuk bergerak solo pada 7 Disember 2022, meskipun berhasil meraih tempat kedua dalam program yang disiarkan RCTI.
Pemilik nama lengkap, Joan Allan Anderson itu akur, biarpun berat dengan keputusan yang diambil, dia berusaha untuk berdamai dengan perpisahan dan akhirnya menemui kebahagiaan dalam perjalanan solonya.
“ X Factor Indonesia membuka peluang dan jalan baharu untuk saya meneruskan impian dalam bidang muzik. Program itu turut memahat lebih kukuh tapak untuk saya meneruskan perjuangan dalam industri muzik,”katanya.
Limpahan perhatian yang diterima susulan keampuhan skil vokalnya tidak sedikitpun membuatkan Allan mendabik dada. Dia sebaliknya sentiasa merendah diri dengan kelebihan bakat yang dianugerahkan Yang Maha Kuasa.
Dikenali umum dengan penyampaian yang sarat emosi dan seperti bercerita, Allan berkata, dia benar-benar bersyukur atas penerimaan luar biasa peminat terhadap bakatnya.
“ Saya melihat penerimaan umum sebagai kesempatan untuk terus belajar dan tumbuh dalam industri muzik. Saya tidak pernah meletakkan populariti sebagai perkara utama, melainkan bagaimana saya dapat memberikan sesuatu yang bermakna melalui muzik. Sokongan daripada semua pihak membuatkan saya semakin merendah diri’” katanya yang pernah menghasilkan single antaranya Dear AA, Jalan Yang Berbeda, Jalan Terbaiknya, Be Mine dan Dimiliki Dia yang digarap serta diterbitkan sendiri.
Perlahan-lahan kata Allan yang pernah melakar kejayaan menerusi program The Band siaran Astro pada 2011 dan Russian Music Box (2011), setiap impiannya mula dipeluk Tuhan dengan garapan jalan cerita yang cukup indah selepas lama berjuang.
Lagu Rindu yang pernah dipopularkan Agnes Monica dan dirakamnya semula meninggalkan catatan manis apabila karier nyanyiannya melebar di negara tetangga iaitu Malaysia dan Brunei Darussalam.
Akui Allan, Rindu yang kali pertama dibawakannya ketika menyertai The Voice pada 2016 membawa banyak kenangan, malah sentiasa mengingatkannya kepada perjalanan yang penuh cabaran dan perjuangan.
“Lagu ini sangat bermakna buat saya dan saya ingin menyanyikannya Kembali dengan susunan muzik yang lebih mencerminkan diri saya sekarang. Secara peribadi, lagu ini mengubah banyak hal dalam kehidupan saya dan saya sangat berterima kasih untuk itu.
“Saya melihatnya sebagai 'berkat' yang datang pada waktu yang tepat. Meskipun ada yang mungkin mengenali saya menerusi lagu ini, saya tidak terbeban. Sebaliknya, ia menjadi dorongan untuk saya terus memperkenalkan diri dan karya saya yang lain dengan lebih baik,” katanya.
Justeru, kata Allan, persembahan An Evening With Allan Andersn In Kuala Lumpur di Liberal Latte , Bukit Damansara pada 4 dan 5 Oktober lalu memberi kesempatan terbaik untuk dia berkongsi bakat serta kecintaannya terhadap muzik.
“Tampil di Kuala Lumpur bukan hanya sebuah kesempatan, tetapi juga penghormatan besar buat saya. Mendapat kepercayaan seperti ini adalah hal yang sangat saya syukuri. Saya selalu berusaha memberikan yang terbaik kerana setiap panggung adalah tanggungjawab dan penghargaan daripada mereka yang mempercayai bakat saya”, katanya.
Percaya masa untuk bakat dan karyanya terus menyerlah bakal tiba, Allan berkata ketika ini dia hanya fokus kepada apa yang dimilikinya, pada masa sama berusaha memberikan yang terbaik untuk karya berikutnya.
“Setiap penyanyi mempunyai impian untuk dikenali dengan lagu sendiri dan saya yakin masa itu akan datang juga. Terbaru, saya akan memperkenalkan single Ku Mau Bahagia Juga yang akan menemui peminat pada 5 Oktober lalu. Saya sangat menikmati proses menghasilkan setiap lagu kerana melalui karya, saya lebih bebas mengekspresikan diri dan perjalanan hidup saya”, katanya yang mengharapkan sambutan hangat daripada peminat.