“Alhamdulillah..Penjualan Tiket Konsert Rentas Masa Sudah 70 Peratus Terjual” – Penganjur
Kredit Foto: Maestro Ridwan/ Subky Hj Bebit
Meskipun Konsert Restas Masa yang dijadualkan berlangsung pada 31 Disember lalu telah ditunda pada 31 Januari 2025, ianya sedikit pun tidak merencatkan penjualan tiket. Malah ianya memberi peluang untuk pihak penganjur melakukan promosi dengan lebih giat.
Biarpun di saat akhir, pihak penganjur telah mencatatkan jualan tiket sebanyak 70 peratus. Perkara tersebut telah di nyatakan oleh penganjur TGJ Entertainment, Ovie Mohammad ketika ditemui media di BSYNC Studio Seputeh, Kuala Lumpur pada 27 Januari lalu.
“Alhamdulillah, meskipun kami terpaksa menunda konsert ini kerana cakna dengan situasi yang melanda negeri pantai timur yang terjejas banjir ketika itu, jualan tiket telah memasuki fasa 70 peratus”
“Keputusan untuk menunda memandangkan permintaan peminat yang ratanya dari sana telah membeli tiket dan mereka meminta saya untuk menunda konsert ini ke tarikh baharu”,
“Kami juga perasan peminat artis lama lebih suka membeli tiket pada saat akhir, situasinya hampir sama buat mereka yang menonton perlawanan bola sepak. Perkara begitu sedikit ebanyak mempengaruhi corak pembelian tiket bagi artis-artis lama berbeza dengan artis baharu. Ramai peminat legenda muzik lebih cenderung membeli tiket secara langsung di kaunter berbanding secara dalam talian”, ujar Ovie selaku Pengarah Projek TGJ Entertainment.
Konsert Rentas Masa yang membawa tema Evolusi Muzik itu bakal berlangsung di Zepp KL pada malam esok menjanjikan satu pengalaman luar biasa buat peminat muzik tanah air. Konsert yang menampilkan barisan penyanyi legenda seperti Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Datuk Awie, dan Ziana Zain ini membawa penonton menyelusuri pelbagai era muzik Malaysia, dari tahun 60-an hingga 90-an.
Konsert ini membawa kelainan dengan memfokuskan kepada lagu-lagu legenda yang sudah sebati dengan jiwa peminat. Ovie turut menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak menampilkan artis era terkini dibuat bagi memastikan setiap penyanyi dapat mempersembahkan lebih banyak lagu tanpa had kerana masa yang terlalu singkat.
“Sebenarnya, saya ingin menampilkan penyanyi era baharu, tetapi masa terlalu pendek. Jika terlalu ramai artis, setiap penyanyi mungkin hanya dapat menyanyikan satu atau dua lagu, dan itu tidak memuaskan hati penonton. Oleh sebab itu, kami memberi tumpuan kepada generasi ini dahulu. Mungkin untuk konsert akan datang, kita akan menampilkan generasi 90-an ke atas,” katanya.
Penganjur juga menghadapi cabaran berkaitan kapasiti penonton. Pada asalnya, ruang konsert diatur dengan kawasan berdiri, namun disebabkan permintaan tinggi untuk tempat duduk, jumlah kapasiti telah dikurangkan daripada 1,600 kepada 1,200 tempat duduk sahaja bagi memastikan keselesaan penonton.
“Saya risau jika terlalu ramai hadir secara walk-in dan melebihi kapasiti yang ditetapkan. Oleh itu, kami mengubah susunan tempat duduk bagi menyesuaikan dengan keperluan penonton,” jelas Ovie.
Ovie juga tersentuh apabila ada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) ingin hadir ke konsert terbabit. Baginya ia satu pencapaian bermakna secara peribadinya sebagai penganjur.
“Saya pun biasa anjurkan konsert sebelum ini. Selalunya kami tak terima panggilan daripada OKU. Tapi untuk konsert ini, ada peminat golongan sendiri hubungi kami bertanya mengenai tiket, diskaun.
“Saya rasa ia bermakna apa yang ingin saya sampaikan untuk konsert ini, jadi. Individu itu terpanggil untuk datang. Pastinya dia bukan beli satu tiket tapi beberapa kerana keluarganya yang akan bawa dia,” katanya.
Sementara itu, Ziana Zain meluahkan rasa syukur dan teruja dapat berkongsi pentas dengan tiga legenda muzik tanah air ini.
“Mereka ini seumpama ‘library’, Datuk DJ Dave dan Datuk Jeffrydin adalah ikon muzik dimana lagunya kita dengar sejak kecil. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu mereka, malah ibu saya adalah peminat setia Datuk Jeffrydin. Dapat berkongsi pentas dengan mereka adalah satu penghormatan besar,” ujar Ziana Zain yang kelihatan cukup teruja .
“Kita harus menghargai mereka. Mereka adalah perpustakaan muzik kita. Saya selalu berpesan kepada generasi muda, jangan abaikan mereka kerana tanpa mereka, kita tiada di sini,” tambahnya.
Sebelum ini, Ara Johari turut disenaraikan sebagai salah seorang penyanyi, namun beliau tidak dapat turut serta kerana perubahan jadual konsert yang menyebabkan pertindihan dengan komitmen lain.
“Pada mulanya, konsert ini dijadualkan berlangsung hingga tengah malam dengan sambutan tahun baharu. Tetapi setelah ditunda, masa konsert dikurangkan kepada sekitar dua jam lebih sedikit. Disebabkan itu, kami tidak dapat mengekalkan semua penyanyi dalam senarai asal,” jelas Ovie.
Untuk pembelian tiket, peminat boleh melungsuri laman sesawang www.ilassotickets.com/konsertrentasmasa