February 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Aleya ‘Bangkit’, Penonton Puas Hati Tengok Isteri Teraniaya Dah Berani Lawan Aizril & Penyondol

Spread the love

Drama bersiri Andai Itu Takdirnya 2 kini semakin ‘panas’ dengan pelbagai konflik rumah tangga yang menguji emosi penonton setia sejak ditayangkan di slot MegaDrama, Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Memasuki episod ke-10, watak Aizril lakonan Shukri Yahaya sekali lagi mengundang kemarahan ramai apabila masih terperangkap dengan hubungan bersama penyondol, Azreen yang dilakonkan Nadia Brian.

Lebih memilukan, Aleya (Hannah Delisha) yang kini mengalami kecacatan pada tangan sekali lagi diuji apabila suaminya sendiri mendesak agar diizinkan berpoligami demi menyelamatkan syarikat yang hampir muflis.

Malah babak Aizril menyimbah sup panas ke muka Aleya selepas termakan hasutan Azreen nyata mencetuskan rasa geram dalam kalangan penonton yang menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan.

Bagaimanapun, perubahan karakter Aleya musim ini menerima pujian ramai apabila dilihat lebih tegas berdepan konflik rumah tangga dan tidak lagi ‘lembik’ seperti sebelum ini.

Menurut Hannah, pembentukan karakter Aleya yang lebih kuat direalisasikan hasil perbincangan bersama pengarah Feroz Kadir.

“Perasaan hancur kerana dikhianati itu pasti ada, tetapi kali ini Aleya lebih berani melawan dan tegas dengan pendiriannya terhadap Aizril.

“Aleya juga tidak akan menangis di hadapan anak-anak demi menunjukkan dirinya kuat, namun apabila bersama rakan baik dan ibunya, dia tetap akan meluahkan perasaan,” katanya.

Dalam masa sama, karakter Aizril masih dipamerkan sebagai seorang lelaki panas baran dan celaru, terutama apabila gagal membuat keputusan membabitkan soal wanita serta berada dalam dilema antara rumah tangga dan bisnes.

Selain Hannah, Shukri dan Nadia, drama terbitan SR One Sdn. Bhd. itu turut dibintangi Fahrin Ahmad, Puteri Sarah Liyana, Laila Nasir, Aida Khalida dan Idzham Ismail.

Andai Itu Takdirnya 2 turut boleh ditonton menerusi platform penstriman Sooka.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page