November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Alena Murang Kini Diiktiraf Sebagai Pribumi Sarawak

Alena (dua kiri), diapit ibu bapanya Ose (dua kanan) dan Valerie, kelihatan bersama Pegawai Daerah Kuching Sofhi Jebal (kanan) ketika menerima Sijil Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak miliknya semalam. – Foto diambil daripada laman Facebook rasmi Alena Murang

Spread the love

Pemuzik antarabangsa terkenal dari Sarawak, Alena Murang, yang juga berdarah campuran Pribumi Kelabit dan Eropah, kini secara rasmi telah diiktiraf sebagai seorang anak Pribumi atau Bumiputera Sarawak baru-baru ini. Perkara tersebut telah didedahkan olehnya di sebuah pautan di laman media sosial Facebook rasminya semalam.

Bagi sesiapa yang mengenalinya, Alena terkenal bukan sahaja sebagai penyanyi, akan tetapi turut juga dikenali sebagai seorang pemuzik yang bermain alat muzik tradisional Borneo yang dikenali sebagai Sapek.

Alena menerima Sijil Pengiktirafan Anak Pribumi Negeri Sarawak miliknya di Pejabat Daerah Kuching pada Selasa (Jun 11), ditemani bapanya, Datu Ose Murang yang merupakan seorang individu berbangsa Pribumi Kelabit dan juga merupakan bekas timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan ibunya yang berbangsa Inggeris-Itali, Valerie Mashman.

Dalam catatan tulus di laman Facebook rasminya itu, Alena, 34, juga menggesa semua warga Sarawak yang berketurunan Bumiputera Sarawak campuran yang belum mendaftar sebagai Bumiputera Sarawak untuk mengunjungi Pejabat Daerah tempatan mereka dan memohon.

“Adalah hak orang seperti saya untuk menjadi anak negeri Sarawak; jangan biarkan sesiapa memberitahu anda sebaliknya, manakala sama ada seseorang itu mendaftar atau tidak, tiada siapa yang boleh menukar darah anda.

Gambar diambil dari laman Facebook rasmi Alena Murang

“Pendaftaran saya sebagai seorang Pribumi Sarawak dengan negeri ini adalah penting bagi orang seperti saya untuk mewarisi tanah nenek moyang dan melindunginya, dan untuk hak adat anak negeri. Jadi saya menggesa rakyat Sarawak berdarah campuran Bumiputera Sarawak untuk pergi dan mendaftar,” tulisnya.

Alena turut melahirkan rasa terima kasihnya kepada para pemimpin Bumiputera Sarawak yang berjuang selama beberapa dekad untuk meminda undang-undang. Pindaan penting itu berkuat kuasa pada 1 November tahun lalu dengan pelaksanaan Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022.

“Perkara tersebut menunjukkan kepada saya bahawa perubahan adalah mungkin. Ia mungkin mengambil masa yang lama, tetapi kegigihan, komuniti, kerjasama dan kebenaran menjadikan sesuatu mungkin,” tambahnya.

Mengimbas pengalamannya, dia berkata, “Semalam, saya mengambil Sijil Pengiktirafan Anak Pribumi Negeri Sarawak bersama ibu bapa saya dari Pejabat Daerah Kuching. Terima kasih kepada semua orang tua kita yang berjuang selama beberapa dekad untuk mengubah undang-undang.”

Alena menjelaskan lagi konteks di sebalik perubahan undang-undang itu, dengan menyatakan bahawa sebelum pindaan itu, rakyat Sarawak hanya boleh mendapatkan status Bumiputera Sarawak jika kedua-dua ibu bapanya adalah anak jati atau Bumiputera negeri Sarawak.

Sijil Pengiktirafan Anak Pribumi Negeri Sarawak milik Alena yang dimuat naik oleh Alena ke laman Facebook rasminya semalam.

Kanak-kanak yang mempunyai hanya seorang ibu bapa sahaja yang berbangsa Bumiputera negeri Sarawak, seperti dirinya, sebelum ini tidak layak untuk status Bumiputera Sarawak dan, akibatnya, tidak boleh mewarisi tanah adat.

Maka dengan itu, beliau menggalakkan semua rakyat Sarawak campuran dengan seorang ibu bapa asli Bumiputera Sarawak untuk mendaftarkan status anak negeri mereka.

“Pergi ke mana-mana Pejabat Daerah di Sarawak untuk menyelesaikannya. Di Kuching, Aras 6, Majma Mall,” nasihatnya.

Kes Alena menjadi peringatan penting bahawa mendapatkan status Pribumi di Sarawak adalah tidak mudah. Namun, dengan mengikut saluran yang sepatutnya, anak separuh Pribumi seperti Alena, boleh diiktiraf sebagai Pribumi atau Bumiputera Sarawak, jika mereka benar-benar komited untuk diiktiraf dengan status tersebut.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page