November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Album Sulung Antacid Kini 60 Peratus Siap, Berkat Penyertaan Vokalis Baharu.

Spread the love

Kumpulan Antacid dijangka akan menghadiahkan sebuah album kepada para penyokong mereka seawal tahun ini, dimana Rexx, selaku pemain gitar utama kumpulan tersebut, telah mendedahkan bahawa album tersebut kini sudah 60 peratus siap dan dijangka akan dikeluarkan pada tahun ini juga. Berita ini sudah tentu merupakan perkhabaran terbaik untuk peminat dan penyokong mereka yang telah lama menanti karya baharu daripada Antacid.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Rexx sendiri melalui sebuah hantaran di akaun Facebooknya dan ianya menandakan sebuah pengumuman kepada sebuah perkembangan penting bagi Antacid. Ini adalah kerana semenjak penubuhan kumpulan tersebut pada tahun 2003, Antacid setakat ini belum pernah lagi mengeluarkan sebuah album.

Walaupun belum pernah mengeluarkan sebarang album setakat ini, hakikat itu tidak bermakna mereka tidak aktif sebagai sebuah band. Mereka telah berjaya mengeluarkan beberapa rilisan dalam format atau bentuk lain seperti demo dan EP sebelum in (sila rujuk diskografi mereka sebelum penulisan ini dihasilkan), akan tetapi para anggota Antacid pasti sedar pada masa kini apa yang ditunggu-tunggu oleh para penyokong dan peminat mereka adalah sebuah album sulung daripada mereka.

Sememangnya Antacid, yang berasal dari Kajang, Selangor adalah sebuah kumpulan thrash metal yang mempunyai begitu ramai penyokong dan peminat semenjak mereka ditubuhkan. Setiap rilisan mereka pasti disambut baik oleh penyokong mereka. Walau bagaimanapun, kumpulan tersebut telah menghadapi banyak cabaran untuk mengeluarkan sebuah karya dalam bentuk rilisan ekoran daripada pengunduran vokalis asal mereka, Nightcrawler (atau lebih dikenali dengan panggilan Sen), pada tahun 2010.

Rexx dilihat beraksi bersama Antacid pada sebuah gig yang dikenali sebagai ‘Burn in Flames 8’ dan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lepas – gambar oleh penganjur Burn in Flames 8.

Setelah sekian lama mencari, Antacid bagaimanapun telah berjaya mendapatkan khidmat seorang penyanyi baharu, yang merupakan seorang pemuda berumur 23 tahun dari Australia pada tahun lepas, 2023. Dikenali dengan nama Skullcrusher, pengambilan Skullcrusher sebagai vokalis Antacid berlaku selepas beliau dikesan oleh Aiman Kamarudin yang merupakan seorang rakan karib kepada kumpulan Antacid. Ini adalah kerana menurut Rexx, Aiman telah terlibat sama dalam misi pencarian vokalis baharu untuk Antacid sebelum ini.

Selepas penyertaan Skullcrusher sebagai vokalis baharu Antacid, Rexx juga kelihatan optimistik dengan kebolehan beliau.

“Tahun 2023 pada bulan Jun kami jumpa penyanyi baru seorang anak muda yang berani, berumur 23 tahun dari Australia ini menerima tawaran dari seorang kawan baik kami iaitu Aiman Kamarudin yang sama-sama membantu dalam proses pencarian penyanyi tetap untuk Antacid.

“Akhirnya penyanyi baru Skullcrusher, diterima dalam sesi uji bakat bersama Antacid , bagi kami beliau mempunyai karisma yang kuat sebagai penyanyi thrash metal dan mempunyai pengatahuan tentang muzik old school heavy metal, thrash metal dan pengumpul koleksi piring hitam album 80an. English pronunciation dia pun sangat baik, kerana memang bersekolah di Perth, Australia. Memang mempunyai pakej.

Skullcrusher dilihat beraksi bersama Antacid pada sebuah gig yang dikenali sebagai ‘Burn in Flames 8’ dan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lepas – gambar oleh penganjur Burn in Flames 8.

“Biarpun berusia muda kita bersama meneruskan perjuangan Antacid. Beliau sudah pun membuktikan keberaniannya dalam beberapa sesi live show Antacid baru-baru ini. Sekarang kami dalam proses rakaman studio untuk menyiapkan album baru Antacid, proses berjalan dengan lancar sekarang sudah lebih 60% hampir siap , album ini akan dikeluarkan pada 2024 ini. Nantikan…,” kata Rexx di dalam hantaran Facebook tersebut.

Menurut Rexx dalam hantaran Facebook yang sama, sebelum menemui Skullcrusher, Antacid pernah mengadakan uji bakat dengan beberapa penyanyi, termasuk Arm Amizam dari band Succubus, sebuah band old-school death metal, akan tetapi Arm mendapati tugas untuk menggantikan tempat vokalis asal Antacid yang berpengaruh adalah sebuah tugas yang sukar.

Sementara mencari pengganti kepada Sen, Antacid walau bagaimanapun berjaya mendapatkan khidmat rakan mereka, Fizan yang membantu Antacid merakamkan vokal untuk sebuah rilisan mini album atau EP yang bertajuk ‘Force of Thunder’ (yang kemudiannya dikenali/ diberi nama sebagai ‘Nuclear Invention’) yang merupakan rilisan pertama Antacid selepas pengunduran Sen dari kumpulan tersebut. Mereka juga berjaya mengadakan persembahan di Jepun dan Thailand selepas keluarnya rilisan tersebut.

Rexx dilihat bersama Aiman Kamarudin pada tahun lepas, 2023. Aiman merupakan individu yang berjaya membantu Antacid mendapatkan khidmat Skullcrusher sebagai vokalis untuk Antacid dan beliau juga merupakan sahabat baik kumpulan Antacid.

“Kami mencari dan terus mencari penyanyi baru, tapi kita tak jumpa ciri ciri kriteria yang kita mahukan, Antacid pernah audition beberapa penyanyi salah satunya Arm Amizam dari band old school death metal Succubus. Tapi untuk membawa image thrash metal menjiwai itu adalah amat berat . Terutama sekali mengantikan tempat penyanyi asal Antacid yang sudah mempunyai pengaruh yang kuat itu adalah amat berat.

“Proses mencari penyanyi tetap diteruskan biarpun masa bertahun banyak yang terbuang, kita tetap mencari penyanyi lagi, tahun 2017, kita bersama dengan penyanyi thrash metal dari kumpulan Vault iaitu Fizan untuk berkerjasama menyiapkan EP/ mini album Antacid bertajuk Nuclear Invention, untuk pemberitahuan yang kami ini masih lagi aktif dan tak pernah berpecah.

“Syukur mini album Antacid Nuclear Invention berjaya dikeluarkan dibawah Basement Record, sebuah label punk tempatan. Kami terus terbang ke negara Jepun untuk membuat tour dan melancarkan album mini tersebut sempena live True Thrash Fest (TTF) bertempat di Osaka Jepun. Berkongsi pentas bersama band Thrash Metal legend gergasi dari German iaitu Darkness kemudian bermain live di Thailand sempena Siamese Metal Festival,” kata Rexx.

Gambar anggota Antacid sewaktu berada di Jepun pada tahun 2017 bersama rakan mereka Fizan (tengah).

Rexx juga mendedahkan pada tahun 2020 mereka sempat mengeluarkan sebuah album kompilasi yang mengandungi lagu-lagu Antacid yang dirakam pada era Sen masih bersama Antacid dari tahun 2006 sehingga 2009 dan ianya dikeluarkan dalam format CD oleh label tempatan Malaysia iaitu Thrashing Fist Productions.

Selain daripada Skullcrusher, seorang pemain dram yang dikenali sebagai Faris turut dibawa masuk untuk bertindak selaku pemain dram untuk Antacid baru-baru ini, ekoran daripada pemain dram asal mereka Iron Speed yang terpaksa direhatkan. Di samping Rexx, Skullcrusher dan Faris, Antacid yang mempunyai lima orang anggota masih lagi dibarisi oleh anggota-anggota asal mereka 1 2 Kill di posisi gitar dan Thunderbolt di posisi bass pada tahun 2024.

Dengan album sulung Antacid dijangka akan dikeluarkan tahun ini, album tersebut dijangka mengakhiri persoalan yang berpanjangan di kalangan para penyokong dan peminat mereka mengenai keupayaan kumpulan untuk menghasilkan sebuah album—suatu persoalan yang telah berlarutan di kalangan penyokong dan peminat mereka setelah sekian lama, bertahun-tahun lamanya.

Di samping itu, dengan kemasukan penyanyi baharu, halatuju Antacid harus kukuh terarah ke hadapan dengan melakar babak baru dalam perjalanan seni mereka. Ini adalah kerana kemungkinan untuk kembali ke masa lalu, walaupun diidamkan, adalah tidak praktikal, memandangkan vokalis asal mereka, Sen, telah meninggal dunia pada tahun 2019. Antacid tiada pilihan. Mereka harus melakar sebuah babak baharu jikalau mereka ingin melihat nama Antacid itu berkekalan dan juga berkembang.

Gambar lama Antacid yang diambil pada sekitar tahun 2004 bersama bekas vokalis mereka, arwah Sen (tengah).

Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page