Album Ikonik Sheila Majid Kini Dalam Format Vinyl – Hanya 300 Set Ditawarkan!

Universal Music Malaysia dengan kerjasama PMP Entertainment melakar sejarah apabila mengumumkan pelancaran eksklusif semua lapan album Datuk Sheila Majid dalam format vinyl — menjadikannya artis Malaysia pertama yang menerima penghormatan seumpama ini.
Edisi terhad tersebut diterbitkan bersempena ulang tahun ke-40 Datuk Sheila Majid dalam industri muzik, sekali gus menjadi hadiah istimewa buat para peminat yang membesar dengan karya beliau.

Menurut Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, inisiatif itu bukan sahaja bertepatan dengan penganjuran Konsert Sheila Majid 40 Years in Music pada 8 November depan, malah sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan karier seni penyanyi legenda tersebut.
“Ramai peminat sering bertanya bila semua album Datuk Sheila Majid akan dikeluarkan dalam format vinyl. Inilah kali pertama seorang artis Malaysia memiliki kesemua album dalam versi ini, yang diharap dapat mengimbau kenangan indah buat mereka yang membesar dengan lagu-lagu beliau,” katanya.

Hanya 300 set eksklusif ditawarkan untuk pasaran, menjadikan koleksi ini amat bernilai buat penggemar muzik dan pengumpul vinyl. Pra-tempahan akan dibuka bermula 23 September 2025, jam 12 tengah hari pada harga istimewa RM1,499, manakala harga biasa selepas itu ialah RM1,599. Pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung pada 5 Oktober 2025.
Projek bersejarah ini turut membabitkan kerjasama dengan beberapa label utama termasuk EMI Music / Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd.
Antara lapan album yang diterbitkan dalam format vinyl ialah Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita dan Boneka.

Untuk maklumat lanjut mengenai pra-tempahan dan butiran pelancaran, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi Universal Music Malaysia di media sosial.