November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Album AM:PM Bukti Kematangan Karier Amir Masdi

Spread the love

Penyanyi terkenal Amir Masdi melancarkan album solo keduanya berjudul AM:PM, susulan kejayaan album pertamanya Amir Masdi yang menerima sambutan hangat.Ianya merupakan ‘penanda aras’ buat buat penyanyi yang memulakan kariernya menerusi rancangan rialiti TV.

Album ini juga menandakan pencapaian besar dalam kerjaya nyanyiannya, dengan variasi muzik yang lebih matang dan pengalaman hidupnya yang dikongsikan melalui lagu-lagu yang ditulis bersama komposer Edry Abdul Halim.

Album ini juga memperlihatkan gabungan pengalaman Amir semasa merakamkan lagu di Manchester, United Kingdom.

Menurut Amir, album ini pada asalnya dinamakan sebagai “Projek Manchester” sebelum mendapat ilham untuk menggunakan nama AM:PM, hasil gabungan nama Amir Masdi (AM) dan Projek Manchester (PM).

Amir, 28, atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi berkata album ini sebuah naskah yang sangat istimewa kerana diberi peluang untuk menulis lagu daripada ‘zero’ sehingga ia diterbitkan.

Menurutnya, kesemua lagu dalam album ini mula ditulis bersama komposer ternama, Edry Abdul Halim yang turut bertindak selaku penerbit pada November tahun lalu yang mana fasa satu membabitkan konsep, hala tuju dan apakah jenis lagu yang ingin ditulis.

Amir yang berusia 28 tahun berkata, tempoh selama 18 hari di Manchester adalah masa yang istimewa untuk dirinya.

“Sepanjang 12 lagu dirakamkan di sana bersama video muzik, pengalaman ini menjadi inspirasi terbesar untuk menghasilkan karya yang berkualiti,” katanya.

“Seperkara lagi, album ini memuatkan sejumlah 12 lagu. Namun, saya lancarkan dulu bahagian AM pada bulan Oktober yang mengandungi enam lagu dan lagu-lagu pada bahagian PM pula bakal dilancarkan tahun depan. Saya merasakan ini satu lagi keunikan album ini,” katanya.

Single pertama daripada album ini, ‘Nur Cinta’, telah dipilih sebagai OST drama ‘Andai Tiada Dia’ terbitan Global Station yang akan disiarkan di Astro Ria setiap Isnin-Khamis jam 10 malam bermula 21hb Oktober 2024.

Menariknya, promosi album ini sudah dimulakan lebih awal apabila poster album ini dipaparkan di papan iklan gergasi atau Billboard di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) Kelana Jaya dan Bukit Bintang sebulan sebelum album dipasarkan.

“Bagi saya, ini sesuatu yang sangat eksklusif bukan saja buat album ini tapi secara peribadi sepanjang kerjaya seni saya.

“Selain itu, pelbagai cenderahati istimewa seperti baju-T, lanyard, cawan, tote bag dan hoodie turut dihasilkan untuk mengiringi pelancaran album AM:PM ini,” jelasnya

Bersempena kelahiran album keduanya itu, Amir turut mengadakan sesi meet-and-greet dengan peminat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, pada 12 Oktober yang lalu.

Album ini dihasilkan sepenuhnya oleh Amir Masdi dan Edry Abdul Halim, dengan harapan untuk menyentuh hati pendengar melalui cerita dan pengalaman yang dibawa dalam setiap lagu.

Dalam bentuk fizikal dan digital, album ini kini boleh didapati di semua platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page