October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Al-Kisah MASDO: 10 Tahun Nostalgia, Cahaya & Emosi Penuhi Zepp KL

Spread the love

Sebelum nama MASDO bergema sebagai kugiran retro moden paling berpengaruh tanah air, mereka pernah dikenali dengan nama The Lipstik, sebuah band kecil dengan semangat besar lahir dari minat yang sama terhadap muzik lama yang penuh warna. Dari gig kecil, pentas indie, hingga ke studio rakaman, perjalanan ini digerakkan oleh trio pengasas iaitu Ali Sariah, Putuceri dan Mawi yang sejak awal lagi bertekad mahu mengangkat kembali pesona muzik 60-an dan 70-an ke generasi baharu.

Dari sebuah impian kecil, MASDO berkembang menjadi fenomena. Lagu-lagu seperti Teruna & Dara, Dinda dan Bunga menjadikan mereka bukan sekadar kugiran nostalgia, tetapi simbol bagaimana muzik klasik boleh dihidupkan semula dengan roh moden.

Malam 31 Ogos 2025 di Zepp Kuala Lumpur, segala sejarah itu berputar kembali dari detik awal The Lipstik ke era keemasan MASDO diraikan bersama ribuan peminat dalam “Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun.” Ianya diterjemahkandengan kerjasama Hitman Solutions, konsert ini bukan sekadar persembahan ulang tahun, tetapi juga pesta emosi, cahaya dan bunyi yang menyatukan ribuan jiwa lantas menghasilkan sebuah perayaan muzik yang serentak dengan semangat kemerdekaan.

Sorakan peminat mula bergema sebaik lampu dewan dipadamkan. Visual ‘Babak Pertama’ MASDO menghiasi skrin besar, membuatkan ribuan penonton tenggelam dalam nostalgia. Saat nota pertama “Teruna & Dara” dimainkan, pentas tiba-tiba meletup dengan limpahan cahaya neon yang seakan mengimbau era kegemilangan 70-an. Penataan cahaya yang disusun rapi sepanjang konsert ini menjadi pelengkap visual seraya mengaplikasikan setiap denyut lampu seakan bergerak serentak dengan rentak muzik, menghidupkan setiap melodi menjadi pengalaman sinematik.

Dari segi bunyi, konsert ini membuktikan kenapa MASDO terus kekal relevan. Susunan muzik yang dipersembahkan terasa bersih, padat dan seimbang  yang ‘dihidupkan’ gitar berkilau, dentuman dram penuh tenaga, dan vokal yang lantang namun tetap hangat di telinga. Setiap lagu seperti “Dinda”, “Janji Manis” dan “Ratu Hati” membuatkan dewan berubah menjadi satu korus gergasi apabila peminat menyanyi bersama. Ada momen di mana gema suara penonton menenggelamkan sistem audio, tetapi itu sendiri menjadi tanda betapa kuatnya hubungan emosi antara MASDO dan pengikut mereka.

Malam itu tambah berwarna dengan kehadiran artis jemputan. Heidi Moru memberi sentuhan segar pada “Pujaanku” dengan gaya vokal yang penuh tenaga, manakala Noh Salleh muncul penuh karisma dengan “Inilah Jalannya” sebelum kembali bersama Hujan untuk versi bertenaga “Janji Manis”.  Ketika Hujan menggegarkan dewan dengan “Aku Scandal”, pentas bertukar menjadi pesta  sorakan, tepukan, dan nyanyian penonton bagaikan ribut kecil di dalam Zepp.  Inilah ‘kejutan’ yang tidak di caknakan di mana-mana platform.  MASDO dilihat cukup licik ‘berahsia’ dengan peminat, kejutan demi kejutan mereka tampilkan bagi merayakan 10 tahun penubuhannya.

Di sisi lain, persembahan Nisa di biola dan Cakam di kibod untuk “Ratu Hati” memberikan momen yang lebih intim dan menyentuh jiwa. Fizan (Bittersweet) pula mencuri perhatian dengan “Nearly Near You”, membawakan nuansa Brit-rock yang mempesona. Setiap artis tamu bukan sekadar hadir, tetapi benar-benar menyumbang dimensi baharu kepada persembahan MASDO.

Kekuatan sebenar malam itu bukan sahaja pada muzik, tetapi juga pada gabungan tenaga pentas, penataan cahaya, dan emosi yang mengikat semua. Lampu LED bertukar-tukar rona merah jambu, biru neon, hijau retro yang seakan membawa penonton masuk ke mesin masa. Ada momen lembut dengan cahaya hangat kuning keemasan, ada pula saat letupan lampu strobo putih yang memacu adrenalin. Semua ini menjadikan konsert bagaikan teater visual yang menyalakan semangat.

Puncak emosi hadir ketika “Bunga” dan “Berduka-Lara” dimainkan. Saat ribuan telefon bimbit diangkat, dewan bertukar menjadi lautan bintang sekaligus simbolik perjalanan MASDO yang sudah satu dekad panjang, serta semangat kebersamaan malam kemerdekaan.

 “Malam ini bukan sekadar ulang tahun untuk kami, tetapi hadiah buat keluarga besar MASDO – terutama peminat yang sentiasa bersama sejak awal. Dari impian kecil, kami kini berdiri di hadapan ribuan yang menyanyi setiap bait bersama kami. Itu hadiah paling indah dalam 10 tahun perjalanan ini.” Ujar Cheman, Pengurus MASDO

Sementara itu, Rohit Rampal, CEO Hitman Solutions, menambah:

“Konsert ini membuktikan muzik retro moden bukan sekadar nostalgia. Ia hidup, berkembang dan terus gemilang. MASDO sudah membina legasi sendiri, dan kami bangga menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini.”

 “Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun” bukan hanya konsert, tetapi sebuah pesta jiwa yang menyatukan muzik, cahaya, energi, dan emosi. Ia menegaskan bahawa selepas satu dekad, MASDO bukan sahaja masih berdiri, malah semakin kukuh sebagai peneraju retro moden Malaysia. Ianya juga menjadi bukti bahawa muzik bukan sekadar hiburan tetapi ia adalah kenangan, persahabatan, dan satu semangat yang menyatukan rakyat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page