February 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Al Ghazali Tolak Dua Filem, Pilih Temani Isteri Sambut Kelahiran Anak Sulung

Spread the love

Demi menyambut kelahiran cahaya mata pertama, pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Al Ghazali, mengambil keputusan berani apabila menolak dua tawaran filem yang dijadualkan menjalani penggambaran sekitar hujung Februari hingga April ini.

Keputusan itu dibuat bagi memberi sepenuh perhatian kepada isterinya, Alyssa Daguise, yang kini sedang menghitung hari untuk melahirkan anak sulung mereka.

Menurut Al, pengalaman bakal bergelar bapa buat kali pertama membuatkan dia lebih berhati-hati dalam mengatur jadual kerja, selain mahu sentiasa berada di sisi isterinya sekiranya berlaku sebarang kecemasan menjelang tarikh jangkaan bersalin.

“Kalau boleh aku nak temani isteri sepenuhnya. Ini anak pertama, jadi aku rasa lebih baik nikmati momen bersama isteri dan jaga dia sekiranya berlaku apa-apa,” katanya ketika ditemui di Java Rock, Kemang, Jakarta Selatan pada 22 Febuari lalu.

Malah, Al turut merancang untuk memperlahankan aktiviti seninya selepas kelahiran bayi mereka yang dijangka pada Jun nanti bagi memberi tumpuan kepada keluarga, terutama ketika anaknya masih berusia sekitar dua bulan.

Dalam usaha menjadi bapa yang bertanggungjawab, Al kini mula melengkapkan dirinya dengan ilmu pengasuhan termasuk menyertai kelas parenting yang ditawarkan oleh pihak hospital.

Kelas berkenaan merangkumi latihan asas seperti teknik menggendong bayi serta kaedah menguruskan bayi yang meragam, khususnya pada waktu malam.

Selain itu, Al turut mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan terdekat yang lebih berpengalaman dalam menjaga anak termasuk kenalan rapat kepada pelawak veteran, Mandra, yang baru sahaja menimang cahaya mata.

Berkongsi mengenai pendekatan keibubapaan yang bakal diterapkan kelak, Al menegaskan pendidikan agama akan menjadi keutamaan dalam membesarkan anak perempuan mereka.

“Yang paling penting aku nak tanamkan dari kecil adalah agama supaya dia sentiasa taat kepada Allah SWT dan ingat kepada Rasulullah SAW,” ujarnya.

Terdahulu, pasangan ini mengumumkan jantina bayi perempuan menerusi majlis gender reveal pada hujung tahun lalu yang menyaksikan Al tidak dapat menahan sebak sebaik mengetahui bakal menimang cahaya mata perempuan.

Malah, Al turut berkongsi bahawa dia seakan mendapat petanda awal mengenai jantina anak mereka selepas bermimpi melihat titik berwarna merah jambu sehari sebelum keputusan sebenar diperoleh secara perubatan.

Jelas, Al kini bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan meletakkan keluarga sebagai keutamaan berbanding kerjaya seni buat sementara waktu.

Top of Form

Bottom of Form


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page