September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“AKU LELAKI” Momento Cinta Sejati, The VoltageBand Mahu Masyarakat Peka Masalah Kesihatan Mental

3 min read
Spread the love

Menyaksikan pelbagai kejadian ngeri melibatkan kematian penuh tragis adalah satu perkara biasa dalam kerjaya seseorang petugas keselamatan.  Namun apabila kisah hitam seumpama berlaku dalam hidup mereka yang dekat atau rapat, ianya pasti meninggalkan kesan mendalam. 

Begitulah yang cuba dizahirkan AKU LELAKI karya terbaharu The Voltage Band yang semakin rancak kedengaran di corong-corong radio tempatan selain mula menjadi perhatian para pelayar platform muzik digital YouTube, Spotify dan iTunes.  Sehingga berita ini ditulis, video muzik AKU LELAKI  telah pun mencatat layaran sebanyak 100ribu tontonan, menerusi saluran YouTube rasmi WAMO NSG Enterprise, meskipun rilisannya baharu sahaja berlaku sebulan yang lalu iaitu Julai 2024.

AKU LELAKI diilhamkan oleh Zeromerta atau mesra disapa Zarul, tonggak asal yang masih kekal dengan The Voltage Band sejak mula ditubuhkan tahun 2016.  Beliau yang juga berkhidmat dengan PDRM,  berhasrat agar ‘buah tangan’ The Voltage kali ini bukan sahaja membawa mesej cinta sejati yang lebih matang malah turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan mengangkat tema perihal pentingnya masyarakat peka dan sedar mengenai isu gangguan kesihatan mental yang semakin menular bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Ini sebuah kisah benar rakan setugas, melibatkan isterinya yang alami gangguan kesihatan mental hingga akhirnya bunuh diri. Sebagai rakan, saya maklum beliau telah sedaya upaya cuba merawat dan memulihkan isteri namun tragedi buruk itu tetap berlaku.  Apa yang menyedihkan, walau ‘mental health awareness’ ramai yang dah sebut-sebut, tapi wujud stigma masyarakat yang tetap pandang serong dan menjatuh hukum walhal kejadian bunuh diri yang berpunca gangguan mental itu berlaku di luar kewarasan dan kesedaran si pelaku.  Ini yang harus kita semua kikis.  Jangan tambah penderitaan sedia ada”, luah Zarul dalam nada kesal.

“Namun, dalam masa sama saya juga kagum dengan semangat rakan yang tetap cekal menunaikan amanah arwah isteri membesarkan anak-anak mereka berdua walaupun sendirian. Sebagai rakan, saya hanya mampu beri sokongan moral dan mohon izin beliau untuk mengabadikan AKU LELAKI sebagai momento perjuangan beliau meneruskan cinta terhadap isteri meskipun hanya melalui kiriman doa”,  cerita Zarul mengenai tujuan dan pengkisahan sebenar di sebalik AKU LELAKI.

“Bila Zarul usulkan cerita dan mesej yang mahu disampaikan AKU LELAKI, kami sebulat suara terus bersetuju mengkomposisikannya bersama mengikut acuan The Voltage Band yang berteras  ‘rock’.  Proses rakaman mengambil masa selama satu bulan sahaja.  Kami berempat bertindak sebagai Penerbit selain sama-sama gubah lagu selain mantapkan lirik. Walaupun masing-masing punya latar belakang kerjaya yang berbeza namun The Voltage Band  tiada masalah kerana ‘chemistry’ antara kami sungguh kuat”, ulas Ahmad Wafiuddin atau Wafi selaku vokalis mewakili  The Voltage Band yang terdiri dari Ayoi (gitar), Ijoy (bass) juga Zarul @ Zeromerta (drum).

Mengidolakan nama besar seperti Search dan Wings, The Voltage Band berharap agar mesej yang ingin AKU LELAKI sampaikan dapat dihayati semua lapisan masyarakat seterusnya memberi peluang kepada The Voltage Band untuk melebarkan kerjaya seni mereka ke ‘pentas’ muzik yang lebih besar dan berprestij.

AKU LELAKI merupakan single keempat The Voltage Band yang turut dimuatkan dalam album kompilasi ROCK NEVER DIES terbitan FGI Entertainment. 

Sebelum ini The Voltage Band pernah menghasilkan single pertama NISBAH DUNIA (2020) diikuti CINTA PALSU (2021) .  Single ketiga mereka LAGU DALAM JIWA (2023) dirilis dalam album kompilasi Runut Bunyi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page