September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Aksi Insomniacks, Masdo, Bunkface dan Hujan Bikin Peminat ‘Menggila’ Di Konsert Jiwa Kacau

3 min read
Spread the love

‘Konsert Jiwa Kacau’ yang mencetuskan fenomenanya sendiri apabila menggabungkan 4 buah kumpulan yang cukup kuat pengaruhnya kepada industri ternyata berjaya mengamit ribuan peminat yang cukup ‘menggila’.

Konsert anjuran MND Sport & Event Sdn Bhd yang berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, pada 17 Jun lalu boleh diklasifikan sangat berjaya kerana mampu menghimpunkan lebih 8000  peminat yang rata-ratanya adalah fanatika kepada Insomniaks, Masdo, Bunkface dan Hujan.

Tidak perlu disangkal kemampuan Insomniaks yang berjaya mengawal pentas meskipun menjadi ‘opening’.  Biarpun masih ‘hijau’ namanya di persada hiburan namun kewibawaan mereka beraksi di pentas yang cukup fasilitinya membuktikan komitmen jitu terhadap karier muzik yang mereka dambakan.

Hadir dengan 6 buah lagu antaranya Langgar, Here Again, Igauan Malam, Reminisensi, Sempurna dan Pulang seakan membawa khalayak terbang dalam khayalan bersama mereka, apatah lagi setiap lagu yang dipersembahkan turut dilagukan bersama.

Masdo yang cukup terkenal dengan genre pop yeh yeh itu sudah pasti membuai khalayak dengan rantaian lagu-lagu yang sudah cukup untuk dinikmati serta dihadam oleh para peminatnya.

Tidak perlu melatari pentas dengan hiasan yang memenuhi ruang LED yang disediakan, Kugiran Masdo merantai peminat dengan lagu-lagu seperti Janji Manis, Miss Flower, Teruna Dara, Inilah Jalannya, Dinda, Bunga, Malam Pesta Rock n Roll dan Bercanda Di Malam Indah.

Peminat yang cukup ‘sporting’ apabila Ali selaku vokalis Masdo meminta mereka agar mencangkung malah kesemua mereka yang memenuhi ruang hadapan pentas mengikut apa yang dipinta.  Inilah ‘keintiman’ Masdo dengan peminat yang dilihat cukup serasi berbuat demikian.

Energi khalayak masih memuncak malah klimaksnya apabila Bunkface tampil di atas pentas.  Band yang cukup agresif di pentas mendukung nuansa punk rock ini sudah tidak perlu dipertikaikan.  Sam seakan sudah faham permintaan peminat.

Tanpa sebarang noktah setiap lagu di hamburkan bersama nyanyian peminat yang menggemakan seluruh pelusuk ruang yang ada di Stadium Malawati itu.  Lebih mengujakan apabila kesemuanya bernyanyi dan menari mengikut rentak melodi Bunkface.

Bunkface membuka tirai dengan instrumental Bunk Anthem, Malam Ini Kita Punya, Ekstravaganza, Rentak Laguku, Darah Muda, Panik, Situasi dan Revolusi sebagai pelengkap persembahan konsert Jiwa Kacau pada malam tersebut.

Keterujaan ‘Raingers’ pastinya tertumpu kepada Hujan yang sudah sekian lama tidak ‘berkumpul’ bersama mengadakan persembahan.  Hujan sebagai pelengkap acara dan klimaks kepada konsert Jiwa Kacau.

Aksi Hujan yang cukup ‘liar’ di atas pentas pastinya mengamit nostalgia peminat yang membesar dengan lagu-lagu Hujan apatah lagi mereka yang pernah hadir ke gig-gig yang disertai Hujan.  Ketika sedang menikmati alunan lagu daripada Hujan ada juga adegan tidak diingini.

Aksi ‘moshing’ di kalangan peminat mendapat tentangan daripada pihak keselamatan, bagi peminat muzik bawah tanah situasi tersebut adalah biasa, namun ianya dinafikan oleh pihak ‘sekuriti’ yang bertindak di luar batasan.  Situasi itu memaksa Noh untuk meredakan keadaan, tindakan drastiknya memberi penerangan kepada pihak keselamatan wajar diberikan pujian.

Situasi kembali ‘keruh’ apabila ada pihak keselamatan yang memancarkan pancaran laser kepada khalayak yang sedang ‘menggila’ dengan konsert Jiwa Kacau.  Noh sekali lagi memberikan penerangan agar pihak keselamatan memahami erti penghayatan muzik itu.

Hujan mempersembahkan 7 buah lagu antaranya adalah Obsesi, Mencari Konklusi, Dugaannya, Perindu Kalbu, Jiwa Kelajuan, Ahmoi Chantek, Empayarmu dan Aku Skandal.

Insomniacks, Masdo, Bunkface dan Hujan membuktikan bahawa ‘jiwa kacau’ diterjemahkan menerusi muzik yang didambakan begitu juga dengan peminat yang hadir, meskipun menggila namun takkala azan Isyak berkumandang di vanue.  Mereka semua diam sebagai tanda menghormati azan. 

Pemuzik generasi muda yang punya bakat dan kualiti baik yang tidak boleh diabaikan, dalam ertikata lain muzik itu tiada bersempadan. 


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page