Aisha Retno dan Aziz Harun Kembali dengan Lagu “Ketipak Ketipung Raya”
Selepas kejayaan lagu duet mereka ‘Jarak’ tahun lalu, Aisha Retno dan bintang kelahiran Brunei, Aziz Harun kembali bersama lagi tahun ini dengan sebuah bingkisan istimewa berjudul ‘Ketipak Ketipung Raya” sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal muncul tak lama lagi.
Lagu yang dicipta dan ditulis oleh Aziz Harun, Aisha Retno bersama dengan bantuan Romeo serta Glowrush selaku penerbit ini sebenarnya merupakan sebuah projek spontan yang tidak dijangka.
“Ia sebuah lagu yang lahir secara spontan pada tahun lalu. Pada saat itu saya teringin mempunyai sebuah lagu raya saya sendiri kerana tidak mahu ketinggalan. Dan saya ingin menjadikannya kandungan di platform media sosial TikTok. Kebetulan pada waktu itu saya sedang bekerjasama dengan Aisha Retno untuk lagu Jarak, jadi saya bertanya pada Aisha jika dia sudi bantu menulis lagu ini bersama. Aisha bersetuju dan kami pun menyiapkan apa yang sempat dan memperkenalkannya di media sosial.
Kami tak menyangka lagu itu mendapat sambutan yang baik dari para pengikut kami di media sosial, khasnya di laman TikTok. Lantas kami mengambil keputusan untuk merakamkan dan menyiapkannya dengan betul supaya dapat dilancarkan tahun ini sebelum Aidilfitri,” jelas Aziz Harun.
Saat ditanya apakah maksud di sebalik lagu ini, kedua-dua artis ini memberitahu bahawa pesanan yang disampaikan sebenarnya sangat mudah, iaitu tentang persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Ia memaparkan tema-tema umum yang sering ditampilkan dalam banyak lagu raya yang lain. Ia menggambarkan kekecohan persiapan di pagi raya sambil bertanyakan hal-hal biasa seperti sudahkah baju raya dibeli, sama ada juadah hari raya sudah siap dan sebagainya.
Ia juga mencerminkan keseronokan suasana berhari raya tanpa mengira status dan generasi. Dari situ jugalah saya memasukkan unsur tradisional lagu ini, iaitu rentak Joget untuk menjadikannya lebih rancak dan menarik,” ujar Aisha Retno pula.
Malah, kedua mereka bersetuju menyatakan bahawa proses rakaman lagu ini tidak banyak halangan dan berjalan dengan sangat lancar.
“Proses rakaman sebenarnya sangat cepat. Pihak pengurusan saya menguruskan pertemuan dengan Aisha serta Glowrush penerbit kami, dan kami menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja. Kami masing-masing hanya memerlukan tiga jam setiap seorang untuk proses rakaman vokal di dalam studio.”
“Saya masih ingat ia terjadi pada hari Ahad dan lagu itupun sudah hampir siap kerana kami hanya perlu memasukkan bahagian ‘bridge’ dan rangkap kedua kerana bahagian pertama lagu sudah pun dikeluarkan di media sosial pada tahun sebelumnya,” tambah Aziz lagi.
Mereka berdua juga senang bekerjasama kerana keserasian sudah wujud sejak berduet lewat lagu Jarak lagi. Bezanya hanyalah tema lagu duet kali ini adalah lagu Hari Raya.
“Aziz seorang yang sangat berbakat dan kami berkongsi minat yang sama dalam muzik. Dengan hasil kerjanya yang terbukti hebat dan komitmennya yang berterusan, saya tidak ragu-ragu untuk berkolaborasi lagi dengannya. Lagipun saya memang dah lama inginkan lagu raya sendiri dan sekarang terhasillah duet ini dan saya rasa ia mampu pergi jauh sebagai salah satu koleksi duet kami bersama,” ungkap Aisha penuh gembira.
“Ia dirakam sekali harung dan menampilkan warga kerja Faithful Music, iaitu syarikat rakaman naungan Aziz Harun. Suasana yang ditampilkan juga sangat santai dan berjalan dengan lancar. Ini kali pertama Aziz dan saya merakam video muzik secara sekali harung dan hanya perlukan beberapa tangkapan semula sahaja. Tapi saya memang tak sabar melihat reaksi penonton yang bakal menyaksikan keakraban yang kami tampilkan dalam video muzik ini,” tambah Aisha lagi.
“Kami berharap semua yang sudah menantikan lagu ini sejak tahun lalu berpuas hati dengan hasil yang kami usahakan. Kami juga berharap ia akan menjadi lagu malar segar yang akan sentiasa diingati untuk masa-masa akan datang. Kami seronok menghasilkannya dan harap pendengar juga akan berasa seronok mendengarnya,”bingkas Aziz.
“Saya pula harap anda semua akan menyukai lagu Raya pertama kami ini yang juga memberi penghormatan kepada rentak joget. Saya sengaja menampilkan unsur joget dalam lagu ini dan memberi sedikit nafas baharu supaya ia bakal lebih diminati dan dihargai, khasnya di laman media sosial seperti TikTok,” kata Aisha menutup bicara.
Bakal dikeluarkan pada 22 Mac 2024 lalu. ‘Ketipak Ketipung Raya’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.