September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Airmata D’Masiv Tertumpah di Kuala Lumpur

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim / AwekSamurai

Foto Kredit:  @taufiqnadzri / FB Tam Mustafah

Bermula seawal jam 8.30 malam Megastar Arena di penuhi gelombang dewa dewi D’Masiv yang berasak-asak memasuki ruang legar arena. Pecah panggung! Luar Biasa! Semuanya keresahan menanti kemunculan band pujaan mereka.

Konsert dimulakan oleh Spider yang menghiburkan hadirin dengan 4 lagu popular mereka iaitu “Tapi Bagaimana”, “Aladin”, “Relaku Pujuk” dan “Bila Nak Saksi”. Meski kemunculan Spider diraikan meriah, namun antisipasi dan fokus utama tetap utuh tertumpu buat D’Masiv.

Kerlipan neon telah membangkitkan lagi adrenalin fanatika yang menantikan kemunculan D’Masiv melaung-laung nama mereka menyeru agar segera muncul di atas pentas. Antara bait-bait lagu paling popular D’Masiv mula kedengaran dinyanyikan beramai-ramai tanda tidak sabar lagi menanti. Dan pada ketika jam menunjukkan angka 8.40 malam, ’emcee’ telah mengumumkan dengan lantang, menghasilkan hiruk-pikuk hadirin yang bagaikan histeria lagaknya.

D’Masiv tampil penuh bertenaga membuka tirai malam dengan lagu pertama mereka pada gelombang dewa dewi Malaysia iaitu lagu yang di nanti-nantikan “Rindu Setengah Mati”. Seluruh ruangan Megastar Arena KL gamat menyanyikan bersama lagu itu, mewujudkan vibes energetik yang tidak tercapai akal.

Menyambung keghairahan malam dengan seleksi lagu tanpa henti, petikan gitar santai “Natural” berkumandang di ikuti rapat oleh nada-nada galau “Cinta Sampai Di Sini”, “Aku Percaya Kamu” dan “Ingin Lekas Memelukmu Lagi”. Tidak banyak basa basi, Rian selaku vokalis cuba berinteraksi dengan peminat setia yang mengidolakan beliau dalam slang Kuala Lumpur. Kedengaran comel, inisiatif Rian adalah dipuji dengan menekankan bahawa Indonesia dan Malaysia adalah serumpun.

Meskipun kebanyakan lagu-lagu D’Masiv berentak balada galau, fanatika tetap melompat, bergoyang, berdansa dan menghayunkan tangan ke udara mengikut irama. Kiki dan Rama di posisi gitar kelihatan begitu lincah berjalan ke kiri kanan pentas, penuh stamina dan memberi 100% aksi-aksi ‘hidup’ yang memberi nyawa kepada persembahan mereka, sambil disokong kuat oleh Rai (bass) dan Why (dram) di bahagian ritma.

“Dengarlah Sayang” sebuah lagu yang mengajak semua menepis ego dan mudah mengucapkan kata maaf. Setiap senikata lagu menyelitkan mesej yang tersirat. Rata-rata hadirin yang memenuhi Megastar Arena adalah golongan muda sekitar usia 20an, tidak hairanlah energi yang terhasil di ruangan berdiri begitu luar biasa staminanya. Lanjut lagi dengan lagu “Ilfil” dan “Sebelah Mata” bersahut jerit-pekik, sing-along dan limpahan flashlight dari telefon bimbit setiap hadirin. Masing-masing bahagia dan terpesona melihat band pujaan hati beraksi di hadapan mata.

Beralih ke slot yang lebih rileks dan santai, dengan gitar akustik di tangan, D’Masiv menyampaikan tiga buah lagu “Sudahi Perih ini”, “Apa Salah Ku” dan lagu hits yang memberi motivasi positif bersulam melodi indah menerusi “Jangan Menyerah”.

Penonton menjerit penuh emosi, itulah D’Masiv yang tampak biasa-biasa sahaja tetapi terbukti kehebatan setanding band-band ternama dari Indonesia. Zaman kemunculan mereka selari dengan kemunculan band-band seperti Nidji, Kertas Band dan banyak lagi band seangkatan mereka.

Terbahagi kepada 3 sessi, untuk sessi terakhir telah dihidangkan 10 buah istimewa buat santapan halwa telinga rakyat Malaysia. Ketika “Merindukanmu” dilantunkan, D’Masiv berjaya buat separuh Megastar mengalirkan airmata. Sesungguhnya penuh beremosi kerana Rian, Kiki, Rama, Rai dan Why baru sahaja kehilangan rakan baik mereka, Fibri Thami pada tanggal 22 Januari yang lalu. Almarhum Fibri telah bersama-sama D’Masiv seawal penubuhan band D’Masiv selama lebih kurang 20 tahun lamanya. Kesedihan yang teramat jelas ketara tergambar di raut wajah mereka hingga menitiskan airmata. Kami juga turut terkesan bersama merasa kesedihan mereka.

Antara sajian lain ialah “Dibawah Langit Yang Sama”, “Kau Yang Tak Pernah Tahu”, “Esok Kan Bahagia”, “Diam Tanpa Kata” dan sebuah lagu dalam bahasa Inggeris iaitu “Side By Side”.

Klimaks konsert memperdengarkan lagu penutup yang di nanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia iaitu lagu terpaling hits mereka, “Cinta Ini Membunuhku”, berakhir dengan tembakan asap dan bunga api juga kelip-kelip kertas berhamburan di udara. Nampak kepuasan di wajah masing-masing bilamana malam itu menjadi sejarah sebanyak 21 buah lagu dari ketiga-tiga album D’Masiv didendangkan di Megastar Arena Kuala Lumpur. Tersenyum puas masing-masing.Terima kasih Kuala Lumpur dari hati yang terdalam D’Masiv untuk Malaysia. Sesungguhnya mereka telah sampai di Kuala Lumpur dengan penuh rasa cinta yang tertumpah buat semua dewa dewi D’Masiv.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page