November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Air Mata Andmesh Kamaleng ‘Tumpah’ Di Kuala Lumpur

Cover photo for this articles

Andmesh kamaleng consert

Spread the love

Penyanyi Indonesia, Andmesh Kamaleng menitiskan air mata ketika menyampaikan lagu Luka dan Hanya Rindu  sewaktu “Konsert Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur” yang berlangsung pada 4 Jun lalu.

Lebih 2000 peminat turut menitiskan airmata ketika beliau menyampaikan lagu tersebut seraya menjemput dua adiknya, Echy dan Inda Kamaleng yang datang jauh dari Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia. 

“Mereka adalah sisa harta paling berharga yang saya miliki. Merekalah alasan saya tersenyum bahagia hingga ke saat ini,”ujarnya.

Ketika menyanyikan lagu ‘Luka’ yang didedikasikan untuk arwah bapanya,  Andmesh cuba menahan sebak apabila beberapa foto bapanya bermain di layar. Begitu juga semasa dia menyanyikan lagu ‘Hanya Rindu’ yang dibuat khas untuk arwah ibunya.

Menurut Andmesh, semasa ayahnya masih hidup, dia berharap anaknya akan bernyanyi di sebuah pentas besar dengan iringan pemuzik. Oleh itu, bapanya sangat tegas setiap kali mengajarnya cara bermain alat muzik dan bernyanyi.

“Saya mencintai muzik kerana arwah ayah. Waktu kecil dia akan marah saya sekiranya salah bermain keyboard atau bernyanyi. Namun mama akan bela saya. Mereka begitu luar biasa.

“Walaupun mereka sudah tiada, tapi saya tetap merasakan mereka sedang menonton saya ‘dari sana’,” tambahnya.

Suasana pilu kemudiannya bertukar menjadi ceria apabila Andmesh membuat sebuah panggilan video kepada sahabatnya yang juga penyanyi terkenal, Mahalini.

Lagu ‘Sial’ yang popular di Malaysia merupakan hasil ciptaan mereka berdua dengan kolaborasi bersama Mohammed Kamga.

“Aku rindu Malaysia. Nanti kita mesti bawakan Sial bersama-sama untuk peminat di Malaysia ya Andmesh. Ayuh, Sial 2.0,” jerit Mahalini daripada panggilan video berkenaan.

Dalam konsert yang berdurasi hampir tiga jam itu, Andmesh menyanyikan 15 buah lagu termasuklah lagu popularnya Cinta Luar Biasa, Nyaman, Anugerah Terindah dan Andaikan Kau Datang Kembali yang merupakan runut lagu untuk filem Miracle in Cell No 7.

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Marsha Milan dan Bella Astillah adalah antara artis yang hadir menyaksikan konsert Andmesh Kamaleng Live In KL dibawakan khas oleh Kharisma Music Talent.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page