January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Aina Abdul, Dayang Nurfaizah & Ernie Zakri Terajui Senarai Calon Akhir AIM24

Spread the love

Penyanyi dan komposer tersohor, Aina Abdul menjadi tumpuan apabila meraih sembilan pencalonan pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), sekali gus mendahului senarai bersama dua lagi penyanyi wanita berkaliber, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri.

Antara kategori yang menyaksikan nama Aina dicalonkan termasuk Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik, Kolaborasi Bersama Artis Luar Negara Terbaik, Album Terbaik, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, menegaskan bahawa proses penjurian dijalankan secara profesional dan telus, dengan pemarkahan diuruskan oleh badan bebas Macomm Management Services Sdn Bhd serta diaudit oleh Mazars.

“Apa yang diumumkan hari ini adalah senarai calon Top 5 yang mendapat markah tertinggi. Pada 13 September nanti, pemenang akan diumumkan di Malam Kemuncak AIM24,” katanya ketika sidang media pengumuman senarai calon akhir AIM ke 24 (AIM24) di Priemera Hotel Kuala Lumpur pada 14 Ogos lalu.

Ketua Juri AIM24, Datuk Mokhzani Ismail, mengakui proses penjurian tahun ini mencabar apabila menerima 862 pencalonan untuk 30 kategori, dengan 26 daripadanya melalui tiga fasa penilaian.
Tahun ini juga menyaksikan pengenalan empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik dan Kugiran Terbaik.

Rosmin turut mendedahkan bahawa penganjuran AIM kekal menjadi agenda tahunan RIM meskipun berdepan cabaran mendapatkan dana dan penaja. Tahun ini, sokongan diberikan oleh Samsung, Resorts World Genting dan beberapa penaja strategik lain.

AIM24 menerima hampir 700 penyertaan dengan 130 pencalonan dipilih untuk membarisi senarai lima terbaik bagi 26 kategori. Lebih istimewa, pemenang bagi 11 kategori akan membawa pulang ganjaran berjumlah RM700,000 menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV).

Selain Aina, Dayang dan Ernie, nama besar lain yang turut meraih pencalonan berganda ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir dengan enam pencalonan masing-masing.

Malam Kemuncak AIM24 akan berlangsung pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, dan disiarkan secara langsung di TV2 serta RTMKlik.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page