Ain Edruce & Sherry Alhadad Ceriakan Raya dengan “Balik Kampung…Gosip Raya”!

Musim perayaan kali ini bakal dimeriahkan dengan sebuah lagu Raya yang penuh warna-warni dan keletah menghiburkan! Balik Kampung…Gosip Raya, gandingan dua bintang terkenal Malaysia, Ain Edruce dan Sherry Alhadad, menjanjikan pengalaman muzik yang bukan sahaja mencuit hati tetapi juga mencerminkan budaya perbualan hangat setiap kali Hari Raya menjelma.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama AEON, lagu ini bukan sekadar hiburan biasa. Ia mengangkat tradisi perbualan Raya daripada usikan nakal hingga gosip ringan yang sering menjadi bualan di ruang tamu. Dengan tema “Seloka Raya – Dari Dulu Hingga Kini”, AEON turut menampilkan koleksi fesyen Raya yang mencerminkan semangat nostalgia, dipadukan dengan gaya moden yang anggun.
Dilancarkan sebelum Ramadan, Balik Kampung…Gosip Raya memberi masa yang cukup kepada peminat untuk menghafal lirik dan menjadikannya lagu wajib sepanjang perjalanan pulang ke kampung.

Menurut Low Ngai Yuen, Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia, “Kami memilih Sony Music Malaysia kerana keupayaan mereka dalam menggabungkan budaya dengan muzik kontemporari secara kreatif. Lagu ini adalah refleksi keunikan budaya kita—perbualan santai, penuh jenaka dan kehangatan.”
Kerjasama antara Ain dan Sherry terjadi begitu pantas! “Sony Music hadir dengan idea lagu Raya, dan sebaik mendengarnya, saya terus kata ‘YES!’,” kata Sherry. Ain pula menambah, “Kami sudah biasa bekerja bersama dalam pelbagai program, jadi bayangkan kalau di set pun kami ‘havoc’, dalam studio rakaman lagilah meriah!”

Rakaman lagu ini penuh dengan gelak ketawa, sehinggakan mereka sendiri keliru dengan suara masing-masing! “Kadang-kadang kami terpaksa bertanya kepada komposer, ‘Ini suara Ain atau saya?’,” kata Sherry sambil ketawa. Mujur Afif Tirmizie membantu dalam proses rakaman, memastikan lagu ini tetap berada di landasan yang betul.
Selain hiburan, Ain dan Sherry juga berharap lagu ini menjadi peringatan buat semua—supaya lebih menikmati suasana Raya daripada sibuk bergosip. “Bukankah lebih baik kita fokus pada hidangan Raya daripada membincangkan hal orang lain?” ujar Sherry.

Lagu ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta, dan bintang hip hop terkenal, Kidd Santhe dalam video muziknya, menjadikan pengalaman menonton lebih menarik!
Balik Kampung…Gosip Raya kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube. Ia juga boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.