AIM24 Kembali Gemilang: Tiga Kategori Baharu & Bonus Dana RM700K Merancakkan Industri Muzik Malaysia

Selepas tiga tahun menyepi, Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) akhirnya kembali memeriahkan pentas muzik tanah air dengan penuh gaya dan aspirasi baharu. Menyaksikan kepulangan gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, jam 9 malam, AIM24 akan disiarkan secara langsung di RTM, sekali gus menandakan kerjasama strategik antara dua pemain utama dalam dunia hiburan negara RIM dan RTM.
Tahun ini, AIM24 tampil dengan tiga kategori baharu yang mencerminkan komitmen penganjur terhadap kepelbagaian, warisan budaya dan keterbukaan global iaitu Lagu Perpaduan Terbaik – menghargai karya yang menyemai semangat perpaduan merentasi kaum dan bahasa, Lagu Tradisional Terbaik – menonjolkan identiti budaya melalui muzik akar umbi tempatan dan Kolaborasi Artis Tempatan & Artis/Komposer Luar Negara Terbaik – mengiktiraf usaha kolaboratif rentas negara yang mengangkat nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Sementara itu Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, AIM24 meneruskan usaha dalam memberi pengiktirafan kepada karya-karya cemerlang oleh para penggiat muzik.
“Kami juga amat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas perluasan sokongan melalui Dana DKK kepada pemenang AIM24. Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan global. Kami juga amat teruja dengan kerjasama pertama kami bersama RTM sebagai penyiar rasmi acara anugerah muzik utama negara ini,” katanya pada majlis sidang media pelancaran AIM 24 di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, 4 Jun lalu.

Lebih membanggakan, sokongan kewangan daripada Kementerian Komunikasi Malaysia melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) telah meningkat dua kali ganda dari RM320,000 (AIM23) kepada RM700,000, menjadikan AIM24 sebagai anugerah muzik tempatan dengan insentif kewangan terbesar setakat ini, diagihkan kepada 11 pemenang utama.
Pencalonan AIM24 dibuka kepada lagu dan album dalam pelbagai bahasa, Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Proses penyerahan oleh ahli RIM akan bermula pada 4 Jun 2025 (Rabu) dan ditutup pada 4 Julai 2025 (Jumaat), jam 5 petang menerusi laman sesawang rasmi:
aim1.org.my/online-submission-2025
Sebanyak 31 kategori anugerah akan dipertandingkan pada AIM24, meliputi pelbagai aspek kreativiti dan keunggulan dalam industri muzik tempatan.
Antara kategori utama termasuk Artis Baru Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Vokal Kumpulan Terbaik, Kugiran Terbaik, serta Vokal Duo atau Kolaborasi Terbaik. Turut dipertandingkan ialah Video Muzik Terbaik, Runut Bunyi (OST) Terbaik di Dalam Filem atau Drama, dan kategori genre seperti Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rap/Hip Hop Terbaik, serta Lagu Pop Elektronik atau Dance Terbaik.
Penjurian akan dikendalikan oleh panel bebas yang berwibawa, manakala proses undian diaudit secara profesional untuk memastikan integriti dan ketelusan. Lima calon akhir bagi setiap kategori akan diumumkan pada Ogos ini.
Menurut Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, “AIM bukan sekadar anugerah, tetapi sebuah penghormatan kepada kreativiti, ketekunan dan kecemerlangan penggiat muzik tanah air. RTM berbangga menjadi penyiar rasmi AIM24 kerana percaya muzik mampu menyatukan budaya dan masyarakat.”
Tambah beliau, kerjasama ini juga selari dengan visi RTM untuk memperluaskan platform kepada artis tempatan serta memperkukuh ekosistem muzik Malaysia agar lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
Tahun 2024 telah menjadi saksi kepada kebangkitan baru muzik Malaysia termasuk usaha memartabatkan lagu tempatan menerusi Carta RIM di pelantar utama seperti ERA, Hitz dan MY di bawah Astro Radio. AIM24 kini muncul sebagai kemuncak usaha itu, mengukuhkan ekosistem dengan insentif kukuh dan peluang pengiktirafan berskala besar.
Dengan dana yang signifikan, kategori lebih inklusif, dan liputan meluas RTM, AIM24 terus memperkukuh kedudukannya sebagai acara unggul seluruh rakyat Malaysia merentasi genre Melayu, Cina, India, Inggeris, etnik, tradisional dan banyak lagi.
Bagi para artis, penerbit, komposer mahupun peminat muzik, ini adalah waktu paling tepat untuk turut serta dalam sejarah baharu industri muzik Malaysia. Sertai, calonkan karya anda, dan jadilah sebahagian daripada evolusi AIM24 pentas muzik yang bukan sahaja meraikan, tetapi juga membentuk masa depan.