Ahmad Idham Angkat Isu Susuk Dalam Filem Terbaharu

Sutradara prolifik tanah air, Dr Ahmad Idham kembali dengan naskhah seram terbaharu berjudul Tembuni Berdarah, yang mengetengahkan isu pemakaian susuk dalam dunia estetika kecantikan selain mengangkat pertembungan ideologi antara generasi lama dan baharu.
Diterbitkan oleh Lindo Production Sdn Bhd, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sophia Albarakbah, Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Shahirah Shahora, Riezman Khuzaimi dan Mia Nasir.
Menurut Ahmad Idham, meskipun beliau telah banyak menghasilkan filem seram, permintaan penonton untuk kembali menghasilkan karya berteraskan elemen seram klasik seperti Jangan Pandang Belakang dan Congkak masih tinggi.
“Tembuni Berdarah mempunyai aura yang hampir sama, tetapi saya tampilkan kelainan dengan mengetengahkan pertembungan ideologi tentang amalan syirik dalam konteks dunia kecantikan hari ini,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala dan Sidang Media Tembuni Berdarah di GSC MyTown Cheras.
Tambahnya lagi, filem ini disusun dengan lebih banyak elemen kejutan berbanding dialog dramatik, selaras dengan kecenderungan penonton masa kini yang mahukan pengalaman menonton lebih padat.
Ahmad Idham turut berpuas hati dengan komitmen barisan pelakon, khususnya Sophia Albarakbah selaku teraju utama.

“Saya cabar Sophia untuk keluar dari zon selesa. Dia sanggup bermain dengan darah, berlakon di kawasan kubur pada waktu malam, malah melakonkan babak-babak yang jauh daripada imej cantiknya. Kebetulan, latar belakangnya sebagai pelajar perubatan juga membantu dia menghayati watak yang banyak berkait dengan dunia perubatan,” ujarnya.
Filem ini menjalani penggambaran selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk ketika bulan Ramadan. Ia dijadualkan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 25 September 2025.
Sinopsis
Tembuni Berdarah mengisahkan Dr Izara (Sophia Albarakbah) yang berhasrat mengembangkan perniagaan produk kecantikan dengan berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan hanya datang melalui usaha gigih. Namun, neneknya Bok Miah (Khatijah Tan), seorang pengamal ilmu hitam, percaya bahawa amalan susuk adalah jalan pintas untuk memudahkan cucunya mencapai kejayaan dan kebahagiaan.
Konflik tercetus apabila Dr Izara terpaksa memilih sama ada berpegang pada prinsipnya atau akur dengan kehendak neneknya. Lebih membingungkan, rumah tangganya bersama Aidan (Niezam Zaidi) turut digugat — apakah perceraian mereka ada kaitan dengan amalan ilmu hitam Bok Miah?
Tembuni Berdarah menjanjikan pengalaman seram yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mencetuskan renungan tentang nilai, kepercayaan dan cabaran generasi masa kini.