AGY Kembali dengan “Cherita Raya AGY”

Selepas kejayaan luar biasa video tarian raya tahun lalu yang meraih lebih 30 juta tontonan dan 30 ribu perkongsian, AGY kini kembali dengan sesuatu yang lebih istimewa untuk Aidilfitri 2025. Bukan sekadar mengekalkan elemen tarian yang menjadi trademark-nya, tahun ini AGY turut melibatkan lebih ramai ahli keluarga dalam projek khas “Cherita Raya AGY”, menjadikan sambutan lebih bermakna dan erat.
“Cherita Raya AGY” merupakan sebuah lagu raya ciptaan Farique dengan lirik hasil garapan Adah dan AGY sendiri. Lagu ini bukan sekadar alunan muzik perayaan biasa, tetapi sebuah penceritaan tentang perjalanan Ramadan dan Raya dalam keluarga AGY yang penuh dengan nilai gotong-royong, kebersamaan, dan semangat saling membantu.
“Bagi saya, Raya adalah tentang menyatukan keluarga, mengeratkan silaturahim dan membawa semangat Ramadan ke Aidilfitri. Kami rewang bersama, bantu-membantu, dan meraikan hari raya dengan penuh makna,” kata AGY mengenai inspirasi di sebalik lagu ini.
Dengan gaya tarian unik dan mesej kekeluargaan yang kuat, pengaruh AGY semakin berkembang. Tahun lalu, video tarian raya AGY bukan sahaja mencipta fenomena dengan lebih 30 juta tontonan di pelbagai platform, malah turut menerima lebih 20 ribu komen daripada peminat seluruh dunia. Kejayaan ini memberikan motivasi buat AGY untuk terus menghasilkan karya yang menggabungkan muzik, keluarga, dan budaya secara harmoni.
Namun, bagi AGY, matlamat utama bukanlah sekadar mengejar populariti.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kenangan dan ikatan keluarga. Viral atau tidak, yang penting keluarga dapat bersama dan gembira. Itu yang utama,” tambahnya. Projek ini juga membuka peluang untuk ahli keluarga memahami perjalanan kerjayanya dalam industri seni dengan lebih mendalam.
Sebelum pelancaran rasmi, “Cherita Raya AGY” telah diperdengarkan dalam beberapa acara tertutup dan terbuka sebagai sesi pre-listen. Lagu ini menerima sokongan penuh daripada rakan-rakan, klien, serta peminat, dengan banyak pihak melahirkan rasa teruja untuk menyaksikan keunikan yang bakal dibawa oleh AGY tahun ini. Malah, beberapa jenama telah mula menunjukkan minat untuk mendapatkan lesen bagi menggunakan lagu ini dalam promosi produk mereka.
“Ini bukan soal persaingan, tetapi sekadar mengembangkan ruang dalam kerjaya seni saya dan berkongsi projek ini dengan keluarga serta sahabat,” jelas AGY.
Bagi peminat yang tidak sabar untuk menikmati lagu ini, “Cherita Raya AGY” akan dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada Jumaat, 14 Mac 2025. Dengan elemen muzik yang ceria, lirik yang menyentuh hati, serta tarian yang pasti mencuri perhatian, lagu ini dijangka menjadi salah satu lagu raya paling dinantikan tahun ini.