October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Afi Raffi (Brainstew) Tampil Solo Dengan Lagu Patriotik ‘Bukan Sebuah Mimpi’

Spread the love

Sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, vokalis kumpulan pop punk terkenal Brainstew, Afi Raffi, tampil dengan projek istimewa menerusi lagu berjudul Bukan Sebuah Mimpi, yang mengetengahkan mesej perpaduan dan cinta tanah air.

Lagu bergenre folk rock ini diterbitkan oleh FB Media Ventures dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui Dana Cipta Karya – Dana Irama Perpaduan yang diselia MyCreative Ventures. Menariknya, walaupun Afi Raffi dikenali dengan muzik rancak dan bertenaga bersama Brainstew, beliau tidak kekok membawakan alunan folk rock yang lebih tenang dan sarat emosi.

“Saya tidak bergerak solo, saya masih bersama Brainstew. Tetapi projek ini adalah hadiah kecil saya kepada negara, sebagai tanda kasih dan semangat patriotik,” ujar Afi Raffi, yang juga pengasas kumpulan tersebut.

Karya ini menerima sentuhan kreatif sepenuhnya daripada Shamsul Cairel Abdul Karim, yang bertindak sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit. Proses rakaman dan adunan lagu dijalankan di Funky Brigade Music, Desa Melawati, dengan Raja Mohd Sham – pengarah muzik tersohor yang pernah bekerjasama dengan Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim – sebagai pemain gitar utama.

Video muzik Bukan Sebuah Mimpi pula diarahkan oleh Resap Jilma Collective, dengan penggambaran dilakukan di beberapa lokasi sekitar Sijangkang, Selangor termasuk Warisan Studio Hall dan Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang. Lokasi ini dipilih bagi memaparkan suasana komuniti yang erat, saling membantu dan mesra, sejajar dengan tema perpaduan lagu ini.

Lagu dan video muzik Bukan Sebuah Mimpi bakal dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 1 Ogos 2025 dengan edaran oleh New Southern Record (NSR) Sdn. Bhd.

Dengan gabungan melodi yang menyentuh jiwa, lirik penuh makna dan mesej perpaduan yang kuat, lagu ini diharap menjadi salah satu lagu patriotik moden yang segar, mampu menyatukan rakyat Malaysia menjelang Hari Kebangsaan ke-68.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page