Afgan Merayakan Cahaya, Suara Dan Ingatan Menerusi ‘Retrospektif’
Kredit Foto: Renjana Idea
Ada sesuatu yang hampir ritualistik pada malam 5 Disember itu. Zepp KL berubah menjadi ruang persembahan yang bukan sekadar tempat hiburan tetapi sebuah galeri suara, di mana setiap nota dan cahaya menjadi karya seni yang hidup.
Di sinilah Afgan, figura pop Indonesia dengan suara lembut tetapi penuh kuasa emosinya, membawa showcase Retrospektif sebuah persembahan yang merakam tujuh tahun kembara kreatifnya.
Konsert anjuran Renjana Idea itu menyaksikan lebih daripada 2,000 peminat hadir, namun suasananya tidak riuh seperti konsert biasa. Ia terasa seperti komuniti kecil yang berkumpul untuk menyaksikan seorang seniman membuka diari dalam bentuk muzik.

Pencahayaan malam itu digarap seolah-olah ia dipinjam daripada estetika persembahan teater kontemporari. Cahaya minimalis menjadi bahasa visual yang mengiringi naratif lagu-lagu Afgan.
Setiap kali spotlight jatuh ke tubuhnya, ia tidak memusatkan perhatian malah sebaliknya mewujudkan dialog antara penyanyi dan ruang. Zepp KL, dengan sistem akustiknya yang terkenal jernih, bertindak sebagai ‘kanvas’ di mana warna suara Afgan dari lembut berbisik hingga lantang bergetar memantul seperti palet cat yang hidup.
Ada ketikanya, terutama ketika lagu seperti Entah atau Pesan Cinta dimainkan, suasana terasa seperti sebuah instalasi seni yang memanipulasi cahaya dan bunyi untuk mengajak penonton masuk ke alam introspektif.
Album Retrospektif sendiri adalah projek yang menandakan kembalinya Afgan ke format album penuh selepas tujuh tahun.

Memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama untuk mempersembahkan lagu-lagunya bahkan sebelum Jakarta, bukan sekadar keputusan komersial, tetapi isyarat kasih yang panjang di antara seniman dan khalayaknya.
“Malaysia seperti rumah kedua saya,” katanya, dan ungkapan itu bukan klise. Ia terasa jujur, kerana malam itu Afgan tidak sekadar menyanyi malah dia berkongsi lapisan-lapisan dirinya.
Dalam dunia pop moden yang sering menekankan visual berlebihan dan produksi besar-besaran, Afgan memilih kesederhanaan yang berkesan: suara sebagai pusat graviti, cahaya sebagai bingkai, dan ruang sebagai saksi.
Lebih 20 lagu dibawakan membawa perjalanan dua setengah jam yang seimbang antara karya baharu dan memori lama.

Daripada Misteri Dunia yang membuka malam dengan nuansa dramatik, ke Kunci Hati, Kacamata dan Masa Iya? yang membawakan sisi pop-soul Afgan yang matang, hinggalah ke lagu-lagu yang sudah menjadi sebahagian budaya popular serantau seperti Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu, Kepastian dan Bukan Cinta Biasa
Momen paling puitis hadir apabila Afgan menyampaikan Ku Mohon nyanyian Datuk Sheila Majid. Dengan hanya satu spotlight putih yang memancar dari sisi, mulut penonton seakan terhenti. Ia bukan sekadar tribute tetapi ia adalah penghormatan antara dua generasi seniman Asia Tenggara.

Malam itu ditutup dengan Sampai Jumpa, Lenggang Puspita dan Panah Asmara tiga lagu yang menggabungkan nostalgia dan keghairahan. Pencahayaan menjadi lebih hangat, audio lebih terbuka, dan energi dalam dewan berubah menjadi perayaan.
Dalam dunia seni persembahan, ada waktu-waktu tertentu di mana sebuah acara melepasi batas hiburan dan memasuki wilayah pengalaman kolektif. Showcase Retrospektif milik Afgan adalah salah satu daripadanya
