October 11, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Afgan Janji Showcase Penuh Emosi Buat Peminat Malaysia

Spread the love

“Afgan Retrospektif Showcase” Bakal Berlangsung Pada 5 Disember 2025 di Zepp KL

Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, bakal kembali menghiburkan peminat setianya di Malaysia menerusi Afgan Retrospektif Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Showcase istimewa itu bersempena dengan pelancaran album terbaharunya berjudul Retrospektif, yang menurut Afgan, menggambarkan perjalanan hidup serta kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Makna Retrospektif bagi saya adalah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu, menjadikannya pelajaran untuk terus berkembang sebagai manusia yang lebih baik. Album ini lahir daripada refleksi hidup saya sepanjang bulan-bulan terakhir,” katanya.

Lebih bermakna, Retrospektif menjadi album penuh berbahasa Indonesia pertama Afgan selepas tujuh tahun, sekali gus dianggap sebagai titik balik dalam kerjaya seni penyanyi berusia 36 tahun itu.

“Album ini ibaratnya saya kembali ke genre yang membesarkan nama saya iaitu Indonesian Pop. Jadi, judul Retrospektif terasa sangat tepat untuk menandakan fasa baharu dalam perjalanan muzik saya,” jelasnya.

Mengulas pemilihan Malaysia sebagai destinasi persembahan, Afgan tidak menafikan Kuala Lumpur sudah dianggap sebagai rumah keduanya.

“Selain di Indonesia, Malaysia memang istimewa buat saya. Sokongan peminat di sini luar biasa dan saya mahu mereka merasai perjalanan baharu saya melalui album ini. Saya sangat teruja berkongsi lagu-lagu baharu secara langsung buat pertama kali di sini,” katanya.

Tambahnya, pemilihan Zepp Kuala Lumpur juga bertepatan dengan konsep persembahan yang lebih kasual, intim serta menonjolkan sisi organik muzik dalam albumnya.

Dalam showcase itu nanti, Afgan bakal mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada Retrospektif selain rangkaian hits popularnya.

“Insya-Allah saya akan memberikan persembahan terbaik. Saya mahu setiap lagu ini memberi makna kepada peminat kerana ia kali pertama mereka mendengarnya secara langsung.

“Saya sangat menghargai perjalanan muzik saya yang menjadi sebahagian daripada kisah hidup peminat, sama ada dalam saat bahagia atau sedih. Apabila lagu-lagu saya memberi kekuatan kepada mereka, itu adalah penghargaan terbesar buat saya,” ujarnya.

Penganjur, Renjana Idea, berkata showcase ini akan menjadi persembahan yang penuh emosi dan bermakna buat peminat setia Afgan.

“Showcase ini bukan sekadar persembahan tetapi refleksi perjalanan seni Afgan yang dekat di hati peminatnya. Kami yakin ia akan memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata wakil penganjur.

Tiket Afgan Retrospektif Showcase sudah mula dijual sejak 1 Oktober lalu di www.golive-asia.com. Harga tiket bermula dari RM358 (General Standing) hingga RM1,398 (VIP Box).

Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti laman sosial rasmi Renjana Idea.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page