Adira Suhaimi Kembali Dengan ‘Sayang Orang Sama’, Taruhan OST Sarat Emosi
Balada Baharu Angkat Kisah Cinta, Penerimaan Dan Keberanian Melepaskan
Penyanyi popular yang sering digelar ‘Ratu OST’, Adira Suhaimi kembali merancakkan industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Sayang Orang Sama, sebuah karya balada kontemporari yang menyentuh sisi emosi mengenai cinta, keikhlasan serta keberanian untuk merelakan.
Diterbitkan oleh Nova Music Malaysia, lagu berkenaan merupakan hasil kolaborasi komposer Mas Dewangga dan Jova Devito yang pernah mencipta nama sebagai finalis di pentas Anugerah Juara Lagu, manakala liriknya digarap bersama Dato’ Arisz Abdul Rahman.
Menurut Adira, Sayang Orang Sama bukan sekadar menceritakan mengenai konflik dalam percintaan, sebaliknya menjadi refleksi kepada keikhlasan dalam menerima hakikat apabila perasaan yang hadir tidak sepenuhnya menjadi milik sendiri.
“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia bukan mengenai siapa yang betul atau salah, tetapi tentang perasaan apabila kita menyayangi seseorang dan akhirnya sedar bahawa kasih itu tidak sepenuhnya milik kita,” katanya.
Tambahnya, sepanjang proses rakaman, beliau banyak menyelami emosi berkaitan penerimaan dan reda dalam hubungan, sekali gus menjadikan penyampaian vokal dalam lagu ini lebih jujur dan menyentuh perasaan.
“Tidak semua cinta perlu dimiliki sepenuhnya, dan tidak semua perasaan perlu berakhir dengan penyesalan. Ada masanya kita belajar untuk melepaskan dengan tenang,” katanya.

Adira turut menyifatkan kekuatan lagu ini terletak pada kejujuran lirik yang menggambarkan realiti kehidupan, khususnya buat mereka yang memilih untuk memendam rasa demi menjaga hati insan tersayang.
Dalam perkembangan sama, Sayang Orang Sama turut dipilih sebagai lagu runut bunyi (OST) untuk drama bersiri 30 episod Khianat Yang Terpilih yang bakal disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 bermula 26 Februari ini.
Single berkenaan kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama, manakala muzik video rasmi akan ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 2 Mac ini, jam 3 petang.
