January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Adira Suhaimi & Fiq7 Bergabung Dalam Single Terbaharu “Gelas Memori”

Spread the love

Penyanyi popular Adira Suhaimi kembali dengan kelainan melalui single terbaharu bertajuk “Gelas Memori”, yang menampilkan kolaborasi bersama rapper penuh misteri dan semakin berpengaruh, Fiq7. Lagu tersebut diterbitkan hasil kerjasama Nova Music dan Rhunut Music, dengan komposisi serta lirik sepenuhnya oleh Fiq7, manakala susunan muzik disempurnakan oleh Mas Dewangga.

Menggabungkan elemen balada dan rap, “Gelas Memori” membawa nuansa baharu kepada industri muzik tempatan. Lagu ini mengangkat tema rindu, kehilangan dan janji yang kekal di hati, dengan setiap baris lirik menjadi helaian kenangan yang terus hidup. Paduan rap puitis Fiq7 dan vokal lembut penuh perasaan Adira menghasilkan harmoni yang melengkapkan perjalanan emosi lagu ini.

Menurut Adira, yang sebelum ini berjaya mencipta beberapa lagu hit seperti “Ombak Rindu”, “Takdir Tercipta” dan “Pujaan Hati”, kolaborasi ini memberikan pengalaman berbeza dari segi vokal dan penghayatan. Beliau berkata demo lagu berkenaan terus menarik perhatiannya kerana penceritaan yang mendalam dan penuh makna. Adira menyifatkan “Gelas Memori” sebagai kisah yang memberi kekuatan kepada sesiapa yang pernah merindui seseorang.

Adira turut menzahirkan kekagumannya terhadap cara penulisan dan penyampaian Fiq7 yang disifatkan sebagai puitis serta jujur. Menurutnya, meskipun mereka datang daripada dua dunia muzik yang berlainan, tujuan mereka tetap sama — menyampaikan emosi yang tulus kepada pendengar.

Sementara itu, Fiq7, yang kini menjadi fenomena digital dengan jutaan tontonan di YouTube menerusi lagu seperti “Puisi Malam”, “Rindu Tak Terucap” dan “Restu”, menyifatkan “Gelas Memori” sebagai karya paling peribadi pernah dihasilkannya. Beliau mendedahkan bahawa lirik lagu ini tercetus daripada fasa kehidupan yang sarat ujian, mencerminkan perasaan kehilangan, penyesalan dan kekuatan untuk terus bangkit.

Rapper yang terkenal dengan identiti misteri kerana tidak menampilkan wajahnya itu berkata bahawa muzik harus berbicara lebih kuat daripada penampilan. Dalam “Gelas Memori”, Fiq7 menggabungkan elemen rap jalanan dengan bahasa sastera yang indah, bagi memastikan rap yang disampaikan mempunyai jiwa dan keikhlasan.

Sentuhan penerbit, penyusun, jurumix dan jurumastering oleh Mas Dewangga turut memperkuatkan keseluruhan produksi lagu tersebut. Beliau berjaya mengimbangi elemen moden dan klasik tanpa menghilangkan keaslian balada, sambil memberi ruang kepada elemen rap untuk menonjol.

“Gelas Memori” mencerminkan pertembungan dua generasi — Adira sebagai penyanyi mapan dengan pengalaman bertahun-tahun, manakala Fiq7 mewakili generasi baharu yang lebih eksperimental dan bebas. Gabungan ini menjadi simbol evolusi muzik tempatan yang semakin terbuka kepada kepelbagaian bunyi dan pendekatan kreatif.

Lirik lagu ini turut sarat dengan metafora, dengan ‘gelas’ dijadikan simbol kenangan yang menampung rasa cinta, kehilangan, kesakitan dan kekuatan. Setiap bait ditulis dengan kejujuran yang mendalam, membolehkan pendengar merasai denyut perasaan penulisnya.

Lagu “Gelas Memori” dilancarkan secara rasmi pada 14 November 2025 dan boleh mula distrim di semua pelantar digital pada hari yang sama. Video muzik rasminya juga bakal ditayangkan di saluran YouTube Rhunut Music pada jam 8 malam.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page