November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Adaptasi Muzik Melalui Novel versi Sigma Replacement

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Didatangkan dalam bentuk pakej material 3 dalam 1 iaitu novel, CD dan T-shirt, rilisan karya seni yang terpendam selama 25 tahun lamanya ini telah diolah semula dengan nafas baru, diterbitkan akhirnya pada 11 Oktober baru-baru ini.

Novel pertama yang diterbitkan bersama CD ini merupakan adaptasi muzik yang akan membawa pembaca meneroka semula ke memori zaman rock sewaktu usia remaja penuh nostalgia. Dengan nama Sigma Replacement band, mereka terdiri daripada Jai (bass), Akim Analogi (dram), Pejal Seroja (gitar), Baihaqi (gitar utama) dan Amy Sigma (gitar kedua). Apa yang menariknya kesemua line-up menggalas tanggungjawab di posisi vokal secara berganti-ganti.

CD “Selembut Suara Kirana” memuatkan 11 buah lagu lama dan baru, Kolaborasi antara band dan penulis novel bernama Rossa dan Nurin Natasya telah mencetuskan idea pakej album ini bagi mewarnai industri seni melalui jalan cerita perjalanan hidup pemuzik berkumpulan yang mengejar ambisi dan populariti di dalam dan luar negeri. Dengan tidak semena-mena mereka bertemu dengan ‘Kirana’, persoalan nya siapakah Kirana? Bagi menjawab tandatanya, kenalah beli pakej ini dengan harga istimewa.

Sambil membaca novel boleh lah dengar CD dan berhibur dengan lagu-lagu seperti “Instrumental Beradu” yang menampilkan Nafie dari band Spider, “Bosan”, “Hasrat”, “Kehancuran”, “Persembahan Citraku”, “Haluan Keinsafan”, “Gegar”, “Putar”, “Bagai Malam” dan track bonus “Kasih Suci by Baihaqi”. Band Sigma Replacement ini terhasil dari pecahan beberapa buah band seperti Analogi, Seroja dan mempunyai waris line-up dari band SYJ atau Sofea. Kesemuanya memiliki bakat besar yang harus diketengahkan, contohnya Akim memiliki gemersik suara yang akhirnya sesuai dipadankan dengan lagu “Selembut Suara Kirana”, Pejal pemilik suara nyaring ala-ala SYJ melantun vokal pada lagu “Putar” dan Baihaqi (anak kepada Amy Sigma) yang mengalunkan melodi lagu “Kasih Suci” lagu ciptaan beliau sendiri sejak berusia 11 tahun lagi.

Baru-baru ini, Sigma Replacement telah merakamkan muzik video bagi lagu “Selembut Suara Kirana” dan bakal berada di platform digital tidak lama lagi. Olahan muzik video yang menyerlahkan elemen muzik rock ini melengkapkan lagi jalan cerita pada sebuah adaptasi. Album dan novel terbitan Legasi Sigma Sdn Bhd ini merealisasikan kesungguhan, tekad dan iltizam yang dicurahkan oleh penulis novel dan pemuzik band bagi melengkapkan pakej rare ini.

Promosi yang dijalankan secara indie di media sosial mereka sangat mengharapkan sokongan dari semua pihak dalam mengangkat hasil karya seni anak-anak jati kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Lebih bermakna apabila novel dan CD ini mendapat sokongan dari Ahli Parlimen Masjid Tanah iaitu YAB Datuk Wira Hajah Mas Ernieyati Haji Samsudin yang  merakamkan rasa bangga, terharu dan tumpang gembira terhadap usaha yang dipamerkan oleh Rossa, Nurin Natasya dan band Sigma Replacement dalam menerbitkan sesuatu yang berkualiti.

Novel 260 mukasurat ini, mengandungi 19 babak, dimuatkan dengan bacaan yang santai, lengkap dengan gambar-gambar kenangan terindah band, melakar ilustrasi bayangan kepada jalan cerita yang ingin disampaikan serta lirik-lirik lagu yang diselitkan di antara bacaan.

Julung kalinya edisi seumpama ini diterbitkan, sentuhan hasil karya anak seni berpotensi besar yang wajar diberi apresiasi. Luangkan masa bukan buang masa, pembelian secara langsung melalui Whats App Legasi Sigma di 018-2944186 atau mukabuku Sigma Replacement Band.

Dapatkan novel dan CD ini segera agar anda ‘bisa membezakan antara seruling bayu dan selembut suara Kirana’ melalui perspektif anda sendiri. Muzik rock dan puisi diadaptasi dalam versi memori terindah karya seni terkini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page