Achey Lancar Dua Lagu Raya Baharu Tahun Ini
Penyanyi dan pelawak popular, Achey kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi dua lagu raya baharu berjudul “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya”.
Kedua-dua lagu tersebut mengetengahkan pendekatan berbeza namun berkongsi mesej sama iaitu mengangkat nilai kekeluargaan, kegembiraan pulang ke kampung serta kemeriahan menyambut Syawal bersama insan tersayang.
Lagu “Nak Balik Raya” menampilkan Achey bersama keluarganya dengan konsep ceria dan santai yang menggambarkan suasana perjalanan pulang ke kampung menjelang Hari Raya Aidilfitri. Lagu berkenaan turut menonjolkan elemen kekeluargaan apabila isterinya serta anak mereka, Tiara, terlibat secara langsung dalam projek tersebut.
Menurut Achey, konsep lagu itu diinspirasikan daripada pengalaman yang sering dilalui masyarakat setiap kali membuat persiapan untuk pulang beraya di kampung halaman.
Katanya, pembabitan ahli keluarga dalam lagu tersebut bertujuan menonjolkan hubungan kekeluargaan yang rapat serta menggambarkan kegembiraan orang ramai ketika membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Achey turut berkongsi bahawa pengalaman peribadinya sebagai artis turut menjadi inspirasi dalam menghasilkan lagu berkenaan.
Menurutnya, ada kalanya komitmen kerja menyebabkan beliau tidak sempat pulang beraya di kampung, manakala pada masa lain pula kepulangan itu berlaku secara mengejut, sekali gus mencetuskan nostalgia perjalanan pulang yang cuba diterjemahkan dalam lagu tersebut.
Beliau juga berharap generasi masa kini terus mengekalkan budaya pulang ke kampung setiap kali sambutan Aidilfitri.
Achey berkata budaya tersebut penting kerana ia menjadi ruang untuk keluarga berkumpul serta berkongsi kegembiraan bersama selepas sekian lama berjauhan.
Sementara itu, muzik video “Nak Balik Raya” turut mendapat sambutan hangat apabila berjaya menduduki kelompok 10 teratas carta trending muzik di YouTube selepas dimuat naik pada 28 Februari lalu, selain mencatat hampir 500,000 tontonan setakat ini.

Selain “Nak Balik Raya”, Achey turut memperkenalkan sebuah lagi lagu raya berjudul “Ibu Raya” yang dinyanyikan bersama penyanyi cilik Tantari serta dua bakat muda iaitu Dahlya dan Rayyan.
Seperti “Nak Balik Raya”, lagu “Ibu Raya” turut menggambarkan kemeriahan sambutan Aidilfitri, namun lebih memberi penekanan kepada peranan ibu serta kasih sayang dalam institusi keluarga ketika meraikan hari kemenangan itu.
Melalui kedua-dua lagu tersebut, Achey berharap karya yang dihasilkan dapat menemani perjalanan orang ramai ketika pulang ke kampung serta membangkitkan lagi semangat Aidilfitri.
Kedua-dua lagu berkenaan diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music dan kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’.
