April 1, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

A7X Kembali Gegar KL, Deathbats Bersiap Sedia!

Spread the love

Avenged Sevenfold Sah Beraksi Di Unifi Arena 26 September Ini, Tiket Mula Dijual 7 April

Peminat muzik rock dan metal tanah air bakal disajikan dengan satu lagi malam penuh adrenalin apabila band heavy metal legenda, Avenged Sevenfold, mengumumkan kepulangan mereka ke Malaysia tahun ini.

Kumpulan ikonik itu bakal menggegarkan Unifi Arena (sebelum ini dikenali sebagai Axiata Arena) pada 26 September 2026 menerusi konsert ‘Avenged Sevenfold Live in Malaysia’, sebagai sebahagian daripada siri jelajah Asia mereka.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions, konsert ini dijangka menjadi antara acara paling ‘panas’ tahun ini dengan janji persembahan bertenaga tinggi, riff gitar yang membelah suasana, serta vokal mantap yang menjadi identiti kumpulan tersebut sejak penubuhan mereka pada 1999.

Foto Kredit: FB Avenged Sevenfold

Lebih mengujakan, kehadiran kali ini seolah-olah menghidupkan kembali dua detik bersejarah mereka di Malaysia. Kemunculan pertama pada April 2012 di Sunway Lagoon menerusi ‘Buried Alive Tour’, diikuti penampilan kedua pada 23 Januari 2015 menerusi jelajah ‘Hail to the King’yang telah berlangsung di lokasi yang sama. Dua tarikh ini kekal terpahat sebagai antara momen paling ‘liar’ dalam kalangan peminat rock tempatan.

Sepanjang lebih dua dekad, Avenged Sevenfold terus mencorakkan landskap heavy metal moden dengan gaya muzik dinamik serta eksperimen bunyi yang berani. Legasi mereka diperkukuh menerusi album seperti The Stage dan Life Is But a Dream…, selain deretan lagu ikonik seperti “Nightmare”, “Hail to the King” dan “Afterlife” yang menjadi ‘anthem’ buat peminat setia mereka, Deathbats.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata permintaan tinggi daripada peminat menjadi pemangkin utama untuk membawa semula band tersebut ke Kuala Lumpur.

“Setiap kali kami umumkan teaser konsert rock, satu nama yang sentiasa muncul ialah Avenged Sevenfold. Deathbats Malaysia sudah lama menunggu, dan kami mahu pastikan impian itu jadi realiti. Bukan mudah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hentian jelajah mereka, tetapi kami yakin ia akan berbaloi apabila arena dipenuhi peminat September nanti,” katanya.

Tiket konsert akan mula dijual pada 7 April ini jam 11 pagi untuk pra-jualan artis, diikuti jualan umum pada 8 April jam 12 tengah hari. Harga tiket ditawarkan dalam lima kategori bermula RM299 hingga RM699, manakala kategori berdiri Rockzone dijual pada harga RM499, tidak termasuk caj pemprosesan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page