December 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

A Settlement Affair 2.0, Distorsi Tanpa Kompromi

Spread the love

Bandar Jengka, Pahang kembali bergegar pada 6 Disember 2025 apabila Jengka Metalhead Troopers bergabung tenaga bersama Segamat Death Metal untuk merealisasikan A Settlement Affair 2.0 [The Gathering], sebuah gig lanjutan daripada edisi sulung pada 2024. Bertempat di SarangKeras, acara kecil berskala underground ini membuktikan bahawa ruang bukanlah penghalang kerana apa yang lebih penting adalah denyut persahabatan yang mengalir antara peminat dan pendukung muzik ekstrem tempatan.

Dari promo poster rasmi sahaja, penganjur sudah pun ‘membunuh senyap’: estetika reaper inferno, palet warna hitam–merah menyala, font band yang penuh distorsi serta percikan visual api mengangkat tema gig ini sebagai sebuah perhimpunan yang keras, murni, dan tanpa kompromi. Ia bukan gig santai; ia adalah ritual komuniti yang menghimpunkan pemuja riff berat, vokal guttural dan hentakan drum yang kejam.

Acara dimulakan oleh Special Project Band, sebuah lineup khas yang dibentuk dari komuniti penganjur sendiri. Walaupun sifatnya ‘projek khas’, mereka tidak datang dengan set longgar. Mengusung DNA muzik berat, mereka membuka pentas dengan seleksi lagu saduran yang disusun ketat antaranya adalah The Pursuit of Vikings (Amon Amarth), Slaves New World. (Sepultura), Hati Syaitan (SYJ) yang diberi nafas baharu dengan ton berat dan karakter garang yang selari dengan roh gig ini dan Fgmenth, Thy Gift (Rotting Christ).

Sesi kemudiannya diteruskan oleh Anguish, trio brutal death metal dari Kuantan yang memang sinonim dengan pentas bawah tanah khususnya di sekitar Kuantan. Nama mereka sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian; muzik mereka pula menjadi punca tubuh peminat bergegar tanpa henti.

Untuk A Settlement Affair 2.0, Anguish mempertaruhkan lima lagu yang benar-benar ‘menghancurkan’ antaranya Decease, Incarcerated, They Want Some Violent, Enslavement dan Starvation. Set mereka padat, brutal, ganas dan emosinya cukup meruntun emosi.  Mereka berjaya  membuktikan mengapa Anguish terus menjadi antara kuasa penting dalam scene death metal pantai timur.

Brutalator kemudian menutup sesi petang dengan hentaman yang membuktikan mengapa nama mereka kekal bergaung dalam sejarah underground tempatan. Bagi peminat baharu, mungkin jenama Brutalator kedengaran asing, namun buat mereka yang membesar dalam era kegemilangan scene bawah tanah Malaysia, kumpulan ini adalah antara pelopor yang membawa roh old school thrash metal ke hadapan. Setelah hampir 30 tahun vakum, Brutalator kembali ‘bernyawa’ tahun ini dengan imej lebih matang, lebih fokus, namun masih memegang bara asal yang membentuk identiti mereka.

Di pentas, mereka tampil cukup konsisten. Mungkin tidak lagi ‘seliar’ seperti zaman awal kemunculan, tetapi aura serta intensiti yang dipamerkan masih tajam, masih mampu meragut jiwa-jiwa yang amarah. Persembahan mereka padat dengan 8 buah lagu, antaranya Troops of Doom (Sepultura cover), Al-Qassam, Chaos AD (Sepultura cover), Neurosis, Blasphemer (Sodom cover), Psycodeath Hallucination, serta Territory (Sepultura cover).

Yang paling menarik, Brutalator tidak hanya bersandarkan lagu-lagu cover. Mereka turut mempersembahkan karya asli ciptaan sendiri yang pernah direkodkan pada era awal kewujudan mereka, sebuah nostalgia berat yang membuktikan warisan muzik mereka bukan sekadar mitos dalam sejarah muzik ekstrem tempatan.

Parasite pula muncul sebagai antara perintis awal scene underground di Jengka. Nama mereka mula mencuri perhatian selepas tampil dalam dua seleksi gig anjuran Ultra Hingax Production, sekali gus memecah sunyi komuniti metal tempatan ketika itu. Walaupun tidak lagi kekal dengan anutan grindcore sepenuhnya, Parasite kini datang dengan identiti baharu — lebih segar, lebih terarah, namun masih sarat amarah. Sebuah EP turut mereka lepaskan sebagai tanda kebangkitan semula, bukti bahawa Parasite kembali bukan sekadar untuk wujud, tetapi untuk terus menghuru-harakan scene bawah tanah.

Nadi asal Parasite kekal dipacu oleh sang drummer yang menjadi tulang belakang karakter bunyi mereka. Malam yang pada mulanya tenang akhirnya disimbah energi tak berkesudahan sebaik sahaja set mereka bermula. Antara lagu yang diledakkan termasuk The Gathering, Virus, After World Obliteration (Terrorizer), Real But Unseen, Nakba, dan Malicious Intent (Napalm Death). Namun detik paling liar hadir menjelang penghujung set apabila Territorial Pissing (Nirvana) dimainkan  mencetuskan reaksi agresif dari para peminat yang sedia terpicu adrenalin sejak lagu pertama.

Dengan persembahan sepadat itu, jelas Parasite bukan sekadar kembal, mereka datang untuk menuntut semula wilayah yang pernah mereka takluki.

Nama InHuman kini semakin meniti di bibir para peminat muzik bawah tanah. Kehadiran mereka pada kali ini bukan sekadar untuk beraksi di pentas A Settlement Affair 2.0, tetapi turut membawa semangat solidariti penuh terhadap penganjuran edisi terbaru ini. Lebih istimewa, ini bukanlah penampilan pertama mereka; InHuman pernah menggoncang pentas pada edisi sulung acara tersebut, dan kali ini mereka kembali dengan energi yang jauh lebih matang dan agresif.

Untuk A Settlement Affair 2.0, InHuman mempertaruhkan lapan buah lagu sebagai santapan halwa telinga peminat setia mereka. Antara karya yang menjadi taruhan termasuk Mata Si Pengkhianat, Conqueror, Lost Tribe, We Are Slaves, Ancient Souls, Black Flag Rise, Bara Besi dan At World End

Pemilihan setlist ini bukan sahaja memperlihatkan skop kreatif dan dinamika muzik mereka, tetapi juga menegaskan identiti InHuman sebagai antara kumpulan yang semakin mendapat tempat dalam ekosistem metal bawah tanah tanah air.

Jika ada satu perkara yang membezakan Infectious Maggots pada malam A Settlement Affair 2.0, ia adalah adunan pelik antara pengalaman dan darah muda yang mencorakkan persembahan mereka. Walaupun mesin asal mereka tidak lengkap, pemain dram yang sepatutnya menjadi tulang belakang ritma tiba-tiba ‘hilang’ pada detik terakhir, band ini tidak tunduk pada nasib. Dalam dunia bawah tanah, improvisasi bukan kelemahan, ia adalah budaya.  Dan malam itu, budaya itu hidup.

Masuknya drummer Anguish sebagai pengganti ibarat menjerumuskan diri ke dalam enjin diesel yang sedang panas kasar, tidak terduga, tetapi tetap bergerak. Persembahan menjadi sedikit liar, sedikit tidak sekata di beberapa tempat, namun itulah sebenarnya karakter Infectious Maggots, kecacatan yang dirangkul, kekurangan yang dijadikan sebahagian daripada estetikanya.

Namun pemandangan paling mencuri tumpuan ialah bagaimana gitaris dan vokalis yang jauh lebih muda berdiri di hadapan, memacu band ini dengan daya yang tidak pernah melorot walau sekelip mata. Tenaga mereka memancar, melantun ke dinding SarangKeras, dan kembali menghentam dada para pendengar yang sudah sekian lama menagih ledakan industrial grindcore.

Setlist mereka juga bukan sembarangan ia seperti ritual memanggil kembali roh lama yang pernah menjerit dalam scene dua dekad lalu.  Antaranya Purity, Raise the Undead, Used to Be…, As I Laid in Peace, Gutts and Love, We Used to Eat You…, Do I Need Substance, serta versi baharu Black Ritual Ceremony 2026, yang kini kedengaran lebih gelap, lebih berasap, seakan mencetus bayangan kilang usang di tengah malam yang masih bernyawa.

Malam itu, meskipun sedikit tempang, Infectious Maggots membuktikan satu perkara selagi ada gitar dan keinginan untuk terus berdengung dalam gelap, mereka belum selesai.

Gig A Settlement Affair 2.0 pastinya tidak akan lengkap tanpa penampilan Langsuir.  Mereka adalah peniup semangat seraya penyembuh segala ‘kesakitan’ yang melanda.  Langsuir diraikan dalam suasana yang cukup intim meskipun berbahang, hilaian tawa  sang vokalis dan jeritan gitar sering bersahutan antara hentakan dram bersama untaian bass.

SARANGKERAS Bawah Tanah bagai dirobek-robek bersama cakaran Langsuir yang seakan tiada berpenghujung.  Mentera jampi serapah terus menghunus ke jiwa-jiwa yang dahagakan hilaian Langsuir yang tampil bersama ‘energi’ baharu.

Misi ‘Fitan’ yang baru diriliskan adalah agenda utama mengapa Langsuir kini sering dilihat ‘hinggap’ di beberapa lokasi selain membuktikan bahawa ‘alam sebalik mata’ itu terus wujud.

Arena kembali bergelumang dalam kabus mistik ketika mereka menyusun setlist yang memukau: Fitan, The Seven Headed Dragon of Pelangi, Tangisan Embun Pagi, Gurindam Jampi Pendinding, Iradat Kematian, Air dan Tanah, BRS Pontianak dan My Oath For Thee. Setiap judul berdiri sebagai jendela kepada dunia lain.  Dunia di mana Langsuir menjadi penjaga, pawang, dan pemandunya.

A Settlement Affair 2.0 akhirnya berdiri sebagai bukti bahawa scene metal Pahang tidak pernah mati. Ia masih bernafas, masih keras, masih degil. Lineup yang menggabungkan legenda dan wajah baharu menjadikan acara ini bukan sekadar gig, tetapi deklarasi bahawa bawah tanah terus wujud… dan terus menggigit.

Seluruh arena bergelumang dalam alam mistik ciptaan Langsuir yang sentiasa membisikkan Fitan, The Seven Headed Dragon of Pelangi, Tangisan Embun Pagi, Gurindam Jampi Pendinding, Iradat Kematian, Air dan Tanah, BRS Pontianak dan My Oath For Thee.

A Settlement Affair 2.0 bukan sekadar gig tetapi ia sebuah pengisytiharan bahawa scene metal bawah tanah di Pahang masih bernafas kuat, keras dan komited. Lineup yang seimbang antara legenda dan muka-muka baru menjadikan acara ini ruang pertemuan komuniti metal yang autentik, tanpa komersialisasi, tanpa kompromi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page