A Night to Remember Gamit Nostalgia di Johor Bahru
Konsert A Night to Remember: Rock Nostalgia yang berlangsung di Arena Larkin Indoor Stadium pada minggu lepas (14 Disember) telah mencuri perhatian ramai peminat muzik tempatan dengan gabungan persembahan bertenaga daripada Ella, Masdo, dan Exists.
Dianjurkan oleh Coaction Events bersama kerjasama Tourism Johor, konsert ini merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan Johor sebagai destinasi utama acara bertaraf antarabangsa menjelang Visit Johor 2026.
Malam itu dimeriahkan dengan alunan lagu-lagu ikonik seperti Gemilang, Teruna & Dara, dan Rahsia Pohon Cemara yang membawa penonton mengimbau kenangan indah bersama artis kegemaran mereka.
Ratu Rock Malaysia, Ella, memukau peminat dengan persembahan bertenaga, menandakan kepulangannya ke Johor selepas lebih 10 tahun. “Berada di atas pentas malam ini sangat mengujakan. Terima kasih kepada semua yang hadir dan bergaya malam ini. Anda memang hebat!” kata Ella dengan penuh semangat.
Sementara itu, kumpulan Masdo menghidupkan nostalgia dengan gaya unik mereka. “Bila nampak peminat bergaya seperti persona kami, rasa macam berada di zaman 70-an. Aura mereka menaikkan semangat kami di pentas,” ujar Masdo sambil disambut sorakan meriah.
Exists pula memukau dengan persembahan penuh jiwa, menyanyikan lagu-lagu hits yang masih diminati hingga ke hari ini. “Melihat generasi baru menyanyikan lagu kami dengan semangat luar biasa sangat menyentuh hati,” kata Exists.
Para peminat yang hadir turut berkongsi kegembiraan mereka. “Saya sangat teruja dapat melihat Ella secara langsung! Lagu-lagunya adalah soundtrack zaman muda saya,” kata seorang peminat yang datang dari Muar.
Konsert ini bukan sahaja menyajikan hiburan, tetapi turut mencerminkan usaha Johor untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat seni dan budaya bertaraf dunia. Malam yang penuh nostalgia ini pastinya akan diingati oleh para peminat sebagai salah satu acara terbaik tahun ini.