Malaysia Esports League 2024 Tutup Tirai dengan Wang Hadiah RM264,700
Malaysia Esports League 2024 (MEL24) berakhir dengan meriah apabila majlis penyampaian hadiah diadakan di ESI Hub, Spacerubix, baru-baru ini. Tahun ini, MEL24 menawarkan wang hadiah terkumpul sebanyak RM264,700, yang dibahagikan kepada enam judul permainan. Acara ini berjaya menarik penyertaan seramai 9,205 pemain dari seluruh negara, membuktikan minat yang mendalam terhadap esukan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Liga Utama MEL24 berlangsung dari 30 Ogos hingga 6 Oktober, dengan mempertandingkan judul popular seperti PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Free Fire, dan eFootball24 Mobile. Liga Terbuka pula berlangsung dari 18 hingga 20 Oktober, mempertandingkan Valorant dan Tekken 8.
Menariknya, pasukan yang menduduki tiga tempat teratas dalam pertandingan PUBG Mobile layak ke Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile (PMNC), manakala juara Free Fire akan bersaing di Pusingan Kelayakan Akhir Free Fire World Series Malaysia (FFWS MY) 2025 Spring.
“Melalui MEL24, kami bukan sahaja mencungkil bakat baharu, tetapi juga membuka jalan bagi atlet esukan Malaysia untuk bersinar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata Nurul Azwa Mohd Rodzi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI).
Beberapa pasukan yang menonjol dalam Liga Utama MEL24 termasuklah AZ Slumber dari Perak yang muncul juara dalam PUBG Mobile, Kedah Alpha sebagai juara MLBB, dan Twenty One dari Melaka yang mengungguli Free Fire. Dalam eFootball24 Mobile, Farish Luzman dari Johor berjaya meraih tempat pertama.
Bagi Liga Terbuka, pasukan TODAK Esports menguasai Valorant, manakala MYFGC menjuarai Tekken 8.
MEL24 merupakan platform yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Esports Integrated (ESI) dan 16 Persatuan Sukan Elektronik Negeri. Liga ini bertujuan untuk mempromosikan bakat-bakat akar umbi tempatan, khususnya dalam kalangan belia, dan menyediakan ruang persaingan yang inklusif dan kompetitif di peringkat negeri serta kebangsaan.