November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Datuk Seri Rossa Selebriti Pertama Membuka Usanita Entertainment

Spread the love

Fokus Utamanya Adalah Untuk Meningkatkan Ekosistem Industri Kreatif Tempatan

Pemilihan penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa sebagai selebriti pertama merasmikan Usanita Entertainment, sebuah cabang terbaharu di bawah Usanita Sdn Bhd. adalah untuk mencapai hasrat mewujudkan ekosistem yang mampan dalam industri seni dan budaya.

Menekankan inovasi serta kolaborasi antara penggiat seni tempatan dan antarabangsa Usanita Sdn. Bhd. berikrar untuk terus komited memperkasa dan menaik taraf industri kreatif tempatan.

Pelancaran rasmi Usanita Entertainment ini dimulakan dengan episod istimewa talk show digital bertajuk Usanita: Unwrapped Kisah Di Sebalik Spotlight Special Edition With Dato Sri Rossa. Program tersebut dihoskan oleh Awal Ashaari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan.

Rakaman eksklusif episod istimewa ini telah berlangsung di hadapan media dengan intipatinya  memberikan perspektif mendalam mengenai perjalanan seni Rossa, yang telah menjadi inspirasi kepada ramai peminat di seluruh Nusantara.

Sebaik sahaja selesai rakaman program bual bicara tersebut, acara diteruskan dengan upacara simbolik tanda tangan plak perasmian Usanita Entertainment. Datuk Seri Rossa bersama Datuk Adzliana sekaligus menjadi tanda permulaan perjalanan baharu Usanita Entertainment dalam menerokai peluang baharu untuk penggiat seni tempatan dan antarabangsa.

Datuk Seri Rossa

Datuk Adzliana dalam kenyataan rasminya menyatakan bahawa penglibatan Rossa sebagai figura utama pelancaran ini sangat signifikan, memandangkan beliau bukan sahaja dihormati sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai ikon yang berperanan besar dalam memupuk hubungan antara penggiat seni dari Malaysia dan Indonesia.

“Kami berbangga dapat memulakan langkah pertama ini dengan Datuk Seri Rossa, yang membawa pengalaman dan pengaruh antarabangsa dalam arena kreatif. Ini membuka jalan untuk kerjasama yang lebih besar pada masa hadapan.  Usanita juga bertindak sebagai rakan penaja untuk Malam Gala Filem Dokumentari All Access To Rossa: 25 Shining Years yang akan berlangsung di Dadi Cinema, Kuala Lumpur”, ujar beliau.

Dokumentari meraikan perjalanan karier cemerlang Rossa selama 25 tahun, dan dengan penglibatan Usanita sebagai penaja, ia menandakan sokongan kukuh Usanita terhadap seni dan industri kreatif, sekaligus memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua pihak dalam memartabatkan bakat seni di peringkat serantau.

Dengan kepimpinan dan visi Datuk Adzliana, Usanita Sdn Bhd yakin mampu memainkan peranan besar dalam mentransformasikan industri seni negara ke tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, Usanita juga telah merangka pelbagai aktiviti menarik yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk menyokong perkembangan dan kelestarian industri kreatif tempatan, dengan memberi fokus kepada pembangunan bakat baharu, penstrukturan semula ekosistem industri seni, dan kolaborasi strategik dengan pemain industri dari luar negara.

Usanita Sdn Bhd berhasrat untuk memperkenalkan beberapa inisiatif yang melibatkan latihan, peluang kerjaya, serta program sokongan kreatif bagi artis-artis tempatan.

Usanita Entertainment juga akan melibatkan diri secara aktif dalam penerbitan kandungan berkualiti tinggi yang merangkumi pelbagai platform digital, selari dengan perkembangan teknologi masa kini. Pendekatan ini adalah sebahagian daripada usaha Usanita untuk memastikan karya seni tempatan mendapat pendedahan lebih luas di peringkat global.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page