October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Showcase Eksklusif UK’s Ditunda Ke Tarikh Baharu

Spread the love

Band terkenal, UK’s, hari ini, mengumumkan penundaan showcase UK’s: Up Close and Personal yang dirancang untuk para peminat setia mereka pada 26 Oktober ini ke satu tarikh baharu yang akan dimumkan kelak.

Biarpun berat hati, vokalisnya, Amir, berkata keputusan itu terpaksa diambil berikutan ada isu berbangkit yang memerlukan perhatian untuk diselesaikan dahulu.

“Saya, bagi pihak rakan-rakan UK’s, dengan berat hati terpaksa menunda showcase dan majlis makan malam yang sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu.

“Kami memohon maaf kerana ia sepatutnya menjadi showcase yang julung kali diadakan, eksklusif untuk para peminat setia UK’s. Kami sudah berlatih sejak beberapa bulan lalu demi merealisasikan malam ini sebagai sebuah malam intimasi, iaitu tanda penghargaan kami atas sokongan yang diberikan peminat kepada UK’s selama lebih tiga dekad ini.

Flier asal kepada showcase UK’s: Up Close and Personal yang telah ditunda

“Kami sebenarnya teruja dan tidak sabar untuk berada dekat dengan peminat setia UK’s, namun selepas mempertimbangkan situasi semasa dan isu berbangkit yang memerlukan perhatian, malam showcase ini terpaksa dibatalkan dan ditunda ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan nanti,” katanya dalam kenyataan medianya.

UK’s, sebelum ini, mengumumkan penganjuran malam intimasi UK’s: Up Close and Personal di Hotel Ideas, di sini, pada 26 Oktober ini. Ia dianjurkan oleh Amir UK’s Entertainment dan Laga Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Hotel Ideas.

Oleh itu, katanya, bagi para peminat yang telah membeli atau menempah tiket, pihak penganjur akan mengembalikan semula wang.

Pembeli diminta menghubungi Encik Pashah di talian 012-4289428 berhubung tuntutan dan bagi tujuan pemulangan bayaran yang telah dibuat.

Manakala peminat yang telah menempah hotel melalui aplikasi yang telah dipilih diminta agar membuat pembatalan tempahan segera.

Amir berkata, sekali lagi, Uk’s memohon maaf di atas segala kesulitan yang telah terjadi dan berharap isu yang dihadapi dapat diselesaikan segera agar malam showcase yang dirancang dapat diteruskan dalam masa terdekat ini.

“Apa pun,, kesetiaan peminat selama lebih tiga dekad ini sentiasa dihargai. Sokongan peminat membuat kami kekal bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam dunia seni,” ujarnya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page