“Lagu Ini Dekat Dengan Saya ‘Tapi Bukan Denganmu’“ – Ujar Bella Astillah
Bella Astilah bukanlah nama asing dalam industri seni hiburan tempatan. Biarpun diduga dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan peribadi, bintang jelita juga masih teguh meneruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan juga pelakon.
Lantas, dia tampil dengan sebuah lagu karya baharu berjudul ‘Tapi Bukan Denganmu’ ciptaan dan terbitan komposer popular Sharon Paul.
“Lagu ini merupakan sebuah karya yang dekat di hati Bella kerana liriknya Bella yang tulis sendiri. Ia begitu istimewa. Apatah lagi kali ini Bella dapat bekerjasama dengan kak Sharon Paul, seseorang yang sudah banyak pengalaman dalam bidang muzik,” ujar Bella membuka bicara.
Bella yang sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah siri drama TV, sempat memberitahu kesenangannya berkolaborasi bersama Sharon Paul.
“Bella sangat selesa bekerja dengan Kak Sharon. Orangnya tak pernah marah, dan apa sahaja permintaan Bella dia turuti. Dia terbuka menerima idea dan sentiasa membantu saat masuk studio rakaman. Kak Sharon menerima segala kekurangan Bella sebagai seorang penyanyi dan membenarkan Bella menjadi diri sendiri.
Inilah sebabnya mengapa Bella suka bekerjasama dengan orang lama sebab mereka sangat berpengalaman dan tahu cara menjaga kita dan mengekalkan mood penyanyi semasa proses rakaman,” jelas Bella lagi.
Saat ditanya tentang proses rakaman, Bella memeberitahu bahawa ada beberapa kali pertukaran pada lirik lagu.
“Dari segi gaya dan melodi, kak Sharon telah mengikuti permintaan Bella dan Bella memang sukakan irama lagu ini. Jadi lirik yang ditulis memang pilihan Bella sendiri. Cuma, proses penulisan telah memakan masa yang agak lama kerana Bella asyik menukar lirik. Tapi Alhamdulillah, selesai juga akhirnya,” tambahnya lagi.
Lebih istimewa lagu ini juga menampilkan sebuah video muzik yang telah diarah oleh Bella sendiri.
“Saya nak lagu ni ‘sampai’ ke hati dan dapat diterima dengan baik oleh para peminat dan pendengar lain. Semoga apa yang terbuku dalam lagu ini dapat menyentuh emosi yang mendengar, dan moga-moga mampu menjadi sebuah lagu galau,” bingkas Bella menutup bicara.
‘Tapi Bukan Denganmu’ berada di semua platform digital bermula 4 Oktober 2024 manakala video muziknya pula dapat disaksikan di laman YouTube bermula 4 Oktober 2024.