September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sambutan Hari Malaysia Dimeriahkan dengan Malaysia Kita Roadshow di Sunway Putra Mall

Spread the love

Hari Malaysia merupakan detik bersejarah yang penting buat seluruh rakyat Malaysia. Tarikh 16 September kekal sebagai simbol perpaduan dan kemajmukan yang kita raikan setiap tahun. Bagi menyemarakkan sambutan tersebut, Universal Music Malaysia (UMM) dengan kerjasama Sunway Putra Mall, HotFM, FlyFM, dan Pop Meals menganjurkan Malaysia Kita Roadshow, sebuah acara yang berjaya menarik perhatian ramai.

Acara dua hari yang berlangsung pada 14 dan 15 September di Main Concourse, Sunway Putra Mall ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik. Puncak acara ini ialah showcase yang menampilkan lebih daripada 30 artis tempatan terkenal, dari label rakaman berbeza seperti UMM, Def Jam Malaysia, Faithful Music, RUSA Music, dan Alternate Records. Kolaborasi antara syarikat rakaman ini mencerminkan kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang kepada negara kita.

Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, menyatakan bahawa acara ini adalah usaha unik untuk menampilkan keindahan kemajmukan Malaysia melalui muzik. “Malaysia Kita Roadshow adalah satu kombinasi unik yang menampilkan artis dari pelbagai latar belakang untuk menyambut Hari Malaysia. Kami sedari nadi sebenar Malaysia adalah rakyatnya, dan muzik menyatukan kita semua,” katanya.

Acara yang diadakan di Sunway Putra Mall, rakan kerjasama utama UMM, menyediakan platform sempurna untuk orang ramai bersantai dan menikmati persembahan pada hujung minggu panjang sempena sambutan Hari Malaysia. Menurut Kim Lim lagi, “Ini adalah peluang keemasan untuk rakyat Malaysia hadir, berhibur dengan persembahan, kibarkan bendera kita, dan menghargai keunikan negara ini.”

Pada hari pertama, pengunjung disajikan dengan persembahan dari artis-artis terkenal seperti Anna & Hanna, Hariz Fayahet, Puteri Khareeza, Ismail Izzani, Sophia Liana, Yonnyboii, dan banyak lagi. Hari kedua pula tidak kurang meriah dengan kehadiran artis-artis seperti Nabila Razali, Ara Johari, Nadia Rosli, dan beberapa lagi dari label rakaman berbeza. Selain persembahan, peminat berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan artis kegemaran mereka dalam sesi khas dari jam 6.30 petang hingga 7.30 malam.

Aktiviti menarik lain termasuklah Pertandingan Mewarna Anna & Hanna untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 8 tahun, serta segmen podcast yang membincangkan pelbagai topik menarik tentang Hari Malaysia. Pertandingan mewarna ini diadakan pada 14 September, jam 3.30 petang, dengan pelbagai hadiah menarik disediakan untuk para pemenang.

Malaysia Kita Roadshow bukan sahaja menyatukan rakyat melalui muzik, malah menggalakkan perasaan bangga dan cinta terhadap negara. Acara seperti ini membuktikan bahawa perpaduan dan kemajmukan yang kita kecapi adalah aset terbesar negara kita, dan inilah yang menjadikan Malaysia begitu istimewa.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page