November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Jiwa Perjuangan” Belantara dan Bloodshed

Spread the love

Rasanya cukup sukar untuk menidakkan kreabiliti duo kumpulan yang cukup popular pada tahun 80an ini.  Nama Bloodshed dan Belantara seakan sudah berlari dan meniti dibibir para peminat nuansa rock.

Menariknya mereka terus kekal relevan sehingga kini, malah lagu-lagu dendangan mereka sentiasa menjadi siulan dan terus menjadi santapan halwa telinga. Mereka ternyata meninggalkan nostalgia yang mendalam kepada peminat.

Konsert ‘Jiwa Perjuangan’ anjuran RAB International dan Bloodshed Music Management yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Ogos nanti bagaikan satu teka teki yang perlu dijawab oleh peminat.

“Meskipun kami baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Thailand, itu tidak bermakna kami melupakan peminat di sini, sekian lama kami merancang untuk mengadakan sebuah konsert istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong kami, apatah lagi dilokasi yang cukup selesa”, ujar Hamdan selaku gitaris Bloodshed ketika ditemui baru-baru ini.

“Mungkin ramai yang akan mengeluh kerana kami memilih Zepp sebagai lokasi konsert kali ini, namun kami percaya dan cuba meminimakan harga tiket agar ianya mampu milik dan mampu layan konsert itu nanti”.

Bloodshed pernah merakamkan 2 buah album iaitu “Illusi Sebuah Mimpi”, “Samarkand” sebelum menukar nama kepada Blackshed dan tampil dengan album “Villa Misteri”. 

“Kami cukup faham dengan kehendak peminat yang mahu melihat Rosdan untuk beraksi sewaktu konsert itu nanti, perkara itu sudah pun kami bawa ke pengetahuan beliau. Samada beliau akan bersama atau tidak, peminat kena hadir ke konsert itu nanti”, ujarnya lagi.

“Jiwa Perjuangan” turut menampilkan kumpulan Belantara yang sudah pasti sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminat kumpulan yang cukup popular dengan lagu Srikandi Disisi, Panglima Angkasa, Lautan Cahaya dan lain-lain.

“Belantara ni sebuah kumpulan yang boleh diklasifikasikan cukup unik, kerana kami jarang mengadakan konsert, malah rasanya konsert yang kami sertai boleh dibilang dengan jari.  Inilah eksklusifnya Belantara”, Jelas Shukri selaku pemain bass kumpulan Belantara.

“Kali terakhir kami mengadakan persembahan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Damansara Perdana, Petaling Jaya, pada tahun 2020. Alhamdulillah konsert itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan sehingga kami terpaksa beraksi selama 2 malam”.

Belantara yang ditubuhkan Zaid (penyanyi), Shukri (bass) dan Aziz (gitar) pada 1987 sewaktu sedang menuntut di luar negara pernah merakamkan 3 buah album iaitu Belantara pada 1987, Srikandi Di Sisi (1988) dan Infiniti (1990).

“Bila dapat peluang untuk beraksi di pentas Zepp, ianya sesuatu yang tidak harus kami lepaskan.  Umum sedia maklum Zepp adalah lokasi yang cukup ‘mesra’ telinga dan mata kerana mempunyai set up terbaik lagipun pihak produksi juga akan menambah backline agar momentum konsert sebenar dapat dirasai, dinikmati dan di inggati sepanjang masa”, tambahnya.

Amir dari RAB International selaku penganjur pula mendedahkan “Jiwa Perjuangan” di pilih sebagai judul konsert itu adalah bersandarkan konsep muzik, lirik serta melodi yang Blooshed dan Belantara hasilkan berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh kumpulan lain.

“Meskipun mereka bukanlah pasukan keselamatan, namun ‘Jiwa Perjuangan’ yang mereka suntik menerusi lagu dan karya mereka sudah pasti menaikkan semangat pendengar.  Itulah keistimewaan yang mereka ada”, jelasnya.

“27 Ogos dipilih kerana waktu itu kita semua berada di bulan kemerdekaan, sudah pasti semangat patriotik membara dalam dada dan pastinya ada kejutan yang akan mereka (dua kumpulan) telah rancangkan”.

Konsert ‘Jiwa Perjuangan’ bukan hanya sekadar mendendangkan lagu-lagu ballad dan slow rock tetapi lebih menitikberatkan lagu-lagu ‘keras’ yang jarang dimainkan .  Konsert berdurasi 2 jam itu bakal menampilkan konsep berbeza.

Peminat terlebih dahulu bakal ‘dipanaskan’ dengan persembahan Bloodshed dan Belantara kerana mereka juga bakal beraksi di Hari Rock Negara yang akan di adakan di Malakat Mall, Cyberjaya pada 16 Julai ini. 


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page