The Buzz, Platform Baharu “Muzik Indie” di TRAXXfm
Stesen radio TRAXXfm kini sedang mempromosikan sebuah program terbitan mereka yang dikenali dengan nama “The Buzz” dan program tersebut memberi tumpuan kepada dunia muzik indie di Malaysia seperti jazz, blues, rock, punk, alternative dan banyak lagi.
Promosi kepada program tersebut telah disebarkan oleh TRAXXfm kepada pelbagai organisasi media melalui sebuah kenyataan media yang dikeluarkan stesen radio itu pada hari ini (bertarikh 21 Jun, 2023) dan menurut penerbit program tersebut, KG, The Buzz juga menjadi platform kepada artis baharu untuk berkongsi bakat mereka.
Objektif utama program ini bagaimanapun adalah untuk menonjolkan keistimewaan muzik indie di Malaysia yang menerapkan kebebasan berkarya, inovasi dan keberanian menentang norma-norma konvensional dengan genre serta gaya muzik berbeza seterusnya mendedahkan pendengar kepada kepelbagaian muzik yang ada di Malaysia.
“The Buzz ke udara setiap hari Sabtu minggu pertama dan ketiga setiap bulan dari jam 3.15 petang hingga 3.45 petang dan program ini dikendalikan oleh The Greenman yang amat dikenali dalam dunia penyiaran radio juga seorang pemuzik tanah air,” kata kenyataan media tersebut.
Selain memutarkan lagu-lagu indie kegemaran para pendengar mereka, TRAXXfm turut mendedahkan bahawa The Greenman akan turut menemubual artis dan kumpulan daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi kisah suka duka dalam arena muzik indie tanah air.
“The Buzz telah membangunkan sebuah komuniti yang teguh dalam kalangan para pendengar dan pengikut muzik indie dan program ini telah membina platform yang kukuh kepada para pemuzik indie.
“Melalui program ini, para pemuzik indie juga boleh mendekatkan diri mereka dengan pendengar. Ia juga berperanan dalam mempromosikan konsert, festival muzik dan acara lain dalam arena indie Malaysia,” kata TRAXXfm.
Berikutan pelancaran program The Buzz ini, TRAXXfm berkata program ini dilihat mampu mengembangkan muzik indie di Malaysia.