Campak Bintang: Sebuah Penyatuan Pop Dan Warisan Budaya Melayu Oleh Dato M. Nasir Dan Faizal Tahir
Sebuah sejarah dilakarkan untuk industri muzik apabila dua ikon muzik Malaysia, Dato’ M. Nasir dan Faizal Tahir berduet dalam sebuah kolaborasi single terbaru mereka berjudul Campak Bintang terbitan Faithful Music Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.
Menurut sebuah kenyataan media bersama oleh Faithful Music Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd, Campak Bintang adalah sebuah karya menyatukan pop dengan warisan budaya melayu yang membuktikan sinergi antara rentak muzik moden dan irama tradisional.
Dengan gabungan kreatif dari mereka yang tak tertandingi, mereka telah menyatukan irama dan sentuhan ikonik dalam sebuah lagu yang mencengkam hati dan merentasi generasi.
Menurut Faizal dalam kenyataan media tersebut, “Campak Bintang” adalah lagu yang mengisahkan pengorbanan melepaskan sesuatu yang kita cintai untuk mendapatkan sesuatu yang jauh lebih berharga.
Mengenai pemilihan Dato’ M. Nasir untuk berduet, Faizal Tahir juga menjelaskan pemilihan Dato’ M. Nasir kali ini adalah sesuatu yang besar dan keputusan ini tidak dilakukan sebarangan.
“Kami merasakan kehadiran Dato’ M. Nasir sangat diperlukan dengan kehendak lagu dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Dato’ M. Nasir dan tim Luncai Emas memberikan kerjasama yang sangat baik,” kata Faizal.
Sementara itu, Dato’M.Nasir pula berkata dalam kenyataan media itu yang dunia muzik telah digegarkan oleh bakat seperti Faizal Tahir dan hampir juga ia diselamatkan generasi ini.
“Lega kerana ada sang pengkarya yang tidak habis-habis melahirkan karya-karya baru yang berkualiti sejak kemunculannya, lagu ini, sumbangan kami berdua, adalah satu manifestasi,” ujar Dato’ M. Nasir.
Single “Campak Bintang” nyanyian Dato’M.Nasir dan Faizal Tahir adalah hasil ciptaan Faizal Tahir sendiri bersama Romeo, Glowrush dan juga Karim Karam. Kolaborasi ini telah dilahirkan dengan kerjasama kedua-dua pihak Faithful Music Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd juga.
“Syukur keatas hadrat Illahi dengan izinNya, maka sempurnalah satu lagi karya muzik dari dua penyanyi ikon muzik seperti M.Nasir & Faizal Tahir,” kata Luncai Emas Sdn Bhd dalam kenyataan media yang sama.
Tentang langkah seterusnya, Faizal Tahir belum mempunyai sebarang perancangan, tetapi tidak menolak jika ada rezeki untuk berkolaborasi dengan M.Nasir sekali lagi atau penyanyi yang lain.
Sebuah video klip bagi single ini telah dibuat penggambarannya pada 19 April yang lalu bertempat di Cine Studio. Single ini telah dilancarkan di semua saluran digital dan muzik videonya di saluran youtube Faizal Tahir pada 3 Mei lalu.
Faithful Muzik dan Luncai Emas berharap single duet ini dapat diterima oleh semua peminat M.Nasir & Faizal Tahir khususnya serta para media dan juga masyarakat.