November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Persembahan Wau Bulan Kat Roshan & Meer Nash pukau 2 juta penonton di China!

Spread the love

Tiada apa yang lebih membanggakan buat dua penyanyi berbakat ini apabila mewakili Malaysia ke program antarabangsa Sound of the South China Sea (Suara Laut China Selatan) yang diadakan Sanya, Hainan, China, pada 29 Mac lalu.

Menariknya, program yang dianjurkan oleh Pusat Global Bahasa Mandarin dari Pusat Radio Umum dan Pusat Televisyen China itu turut memberi peluang Meer Nash dan Kat Roshan membuat persembahan yang mana acara itu disiarkan disiarkan melalui saluran CCTV 4.

Memanfaatkan peluang keemasan itu, kedua penyanyi ini mempersembahkan lagu tradisional secara berduet berjudul Wau Bulan. Persembahan mereka bukan sahaja berjaya memukau hati 2 juta penonton di China secara siaran langsung, malah menambat hati penonton di Malaysia juga.

Kat Roshan yang juga artis di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia berkata, persembahan di pentas antarabangsa itu adalah satu pengalaman berharga sekali gus mengukuhkan lagi tapak di industri muzik.

“Sejujurnya, saya berasa amat beruntung dan bersyukur diberi peluang keemasan ini untuk mewakili Malaysia bersama Meer Nash. Terima kasih Mr Ong Peng Chu kerana memberi peluang untuk kami beraksi dan menunjuk bakat mereka di pentas antarabangsa. pada masa ini adalah pengalaman terbaik dan berharga buat saya bagi mengukuhkan lagi tempat dalam industri muzik”,  katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan lagu Wau Bulan, Kat berkata dia perlu mempelajari lagu itu dengan sebaiknya memandangkan ia dinyanyikan dalam loghat Kelantan.

“Pada awalnya untuk saya belajar menyanyi Wau Bulan dalam loghat Kelantan agak sukar, tetapi dengan keazaman dan selepas berkali-kali berlatih, saya tahu saya mampu lakukannya, apatah lagi bila saya tahu saya membawa nama Malaysia, terus saya jadi lebih semangat. Saya sangat bangga untuk membawa seni Malaysia ke negara China serta mengharumkan nama Malaysia”, katanya.

Pada masa sama, Kat juga berpeluang menyanyikan beberpa lagu Cina bersama penyanyi, penerbit, dan ahli muzik terkenal di China seperti Xiao Ke, Ye Pei dan Xiao Juan.

“Semoga peminat dan pencinta muzik tanah air termasuk di China suka dan enjoy dengan persembahan kami. Saya berharap supaya diberi peluang yang lebih banyak bukan sahaja di tanah air, tetapi juga dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa”,  katanya.

Sementara itu, Meer Nash teruja dapat membuat persembahan di pentas yang hebat. “Bila saya sampai ke destinasi dan melihat pentas pada pertama kalinya, saya teruja dan terharu kerana lokasi dan & set up pentas itu amatlah romantik. Walaupun saya sudah selalu membuat persembahan di China, tetapi inilah kali pertama saya dapat menyanyi di atas pentas yang secantik ini. Tambahan pula, saya masih lagi setahun jagung dalam bidang menulis lagu, jadi dapat menjadi sebahagian daripada program ini banyak membantu dan mengajar saya”,  katanya.

Program itu mengundang ahli muzik dan penyanyi berpengalaman dari China dan Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, dan Singapura untuk bertukar dan berkongsi mengenai muzik dan budaya antara negara-negara Asia Tenggara dan China.

Forum BOAO turut menghadiri acara ini untuk memberi liputan media dan sokongan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page