November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Kung Fu Panda 4’ Kembali Selepas Penantian 8 Tahun

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Penantian 8 tahun akhirnya terlerai apabila Po si Panda merangkap ‘Dragon Warrior’ kembali ke skrin layar lebar untuk putaran pandamonium-nya di Kung Fu Panda 4. Entri terbaru dalam siri yang bermula sejak 2008 membawa kembali semua watak kegemaran kita sambil memperkenalkan watak baru, Zhen sebagai bakal pengganti Po dalam francais itu. Tentu saja Master Shifu juga telah kembali. Dan bahkan kedua-dua bapa Po juga ada.

The Furious Five? Mereka ada banyak kerja lain yang lebih penting. Namun ketiadaan mereka bukanlah satu hal besar kerana berdasarkan naratif yang telah dibina dalam Kung Fu Panda 4 ini, saya tidak dapat bayangkan jika mereka turut terlibat dalam pengembaraan mutakhir Po. Kali ini Po mesti menghadapi proses perubahan dan dia mesti melakukannya seorang diri. Mungkin tidak bersendirian tetapi sekurang-kurangnya dengan seseorang yang baru.

Keliru? Saya rasa tidak. Kung Fu Panda 4 bukanlah sebuah filem paling sofistikated yang anda tonton di pawagam tahun ini, namun jelas ketara ianya adalah salah satu filem paling menghiburkan. Tidak perlu berada pada level yang sama seperti sekuel pertama, filem ke-4 ini setidaknya sama bagusnya dengan filem asal dan pastinya lebih baik dari filem ke-3 yang sedikit mengecewakan kerana terlalu hiperaktif dan kebudak-budakan.

Jack Black kembali sebagai Po yang menikmati peranan-nya sebagai ‘Dragon Warrior’ di Lembah Keamanan. Namun memandangkan ‘sesuatu’ sentiasa perlu berlaku, kali ini Po mendapat tahu tentang kewujudan Chameleon (Viola Davis), yang boleh bertukar pelbagai bentuk menakutkan, mengancam untuk menakluki dunia. Dengan bantuan seorang pencuri cilik yang licik, musang bernama Zhen (Awkwafina), Po membuat keputusan untuk mengembara bagi menghentikan ancaman tersebut.

Master Shifu (Dustin Hoffman) telah membantah dan memprotes tindakan Po itu kerana beliau merasakan adalah lebih mustahak untuk memilih pengganti ‘Dragon Warrior’ yang baru daripada berhadapan dengan ancaman itu. Sepanjang perjalanan, Po dan Zhen bertemu dengan pelbagai jenis watak yang berwarna-warni, termasuklah dua bapa Po, Li Si Panda (Bryan Cranston) dan Ping si Angsa (James Hong) yang terlalu bimbang tentang keselamatan anak ‘wira’ mereka.

Lebih kurang sama dengan Kung Fu Panda 1 dan 2, sekuel kali ini memutuskan untuk berhadapan dengan beberapa tema menarik yang memaksa watak protagonis-nya berkembang. Dalam kes ini, ketakutan berhadapan dengan perubahan dan persekitaran masa hadapan yang tidak menentu memaksa untuk meninggalkan zon selesa adalah situasi familiar yang selalu terjadi.

Po pada mulanya tidak mahu berhenti menjadi ‘Dragon Warrior’ kerana akhirnya dia telah menemui identiti yang selesa. Namun sepanjang kembara itu, dia menyedari bahawa perubahan yang baik adalah perlu. Seperti yang Ping katakan kepadanya, “Perkara tidak boleh kekal sama kerana akhirnya akan kehilangan rasa.” Ini adalah ertikata lain bagi menggambarkan kepelbagaian hidup yang lebih menyeronokkan.

Mungkin ini bukan tema terdalam yang pernah diangkat sebelum ini, namun tetap memberi dimensi tambahan pada cerita yang turut mematangkan Po. Faktanya, jika ada ‘satu’ alasan mengapa Kung Fu Panda 4 bekerja jauh lebih baik daripada yang terdahulu, itu kerana ianya telah kembali ke karekteristik klasik Po. Dalam siri ke-3, Po digambarkan sebagai  ‘orang bodoh’ yang menjengkelkan dab telah kehilangan banyak pesonanya. Namun dalam filem baru ini, Po sekali lagi mengatur keseimbangan antara humor, sikap kekok dan kerendahan hati, berperilaku seperti seorang pahlawan naga sejati, kuat, cekap, berani – tanpa kehilangan sifat pandanya – malas dan selalu lapar.

Namun secara keseluruhan, Kung Fu Panda 4 terasa seperti filem yang rushing. Semua babak bergerak dalam kecepatan ekstrim dari segi urutan aksi atau momen penting plot secepat mungkin. Ada beberapa momen tertangguh, yang membuatkan keputusan tertentu terasa sedikit terpaksa, atau hubungan persahabatan antara Po dan Zhen terasa tidak boleh dipercayai. Apapun ini bukanlah kecacatan besar yang merosakkan pengalaman menonton Kung Fu Panda 4, tetapi ianya adalah sesuatu yang saya suka untuk diperbetulkan pada filem ke-5 nanti.

Seperti biasa, lakonan ‘suara’ sangat terdengar cemerlang. Jack Black yang sudah sebati dengan karektor Po memerankannya dengan penuh naif, antusias dan bertenaga. Awkfina pula menghiburkan dengan karektor Zhen yang sukar diramal, Viola Davis cukup menggerunkan dengan karektor Chameleon (konsep hebat untuk antagonis) dan seronok betul mendengar suara Ke Huy Quan membawa watak Han, si tenggiling yang tidak boleh dipercayai.

Sejujurnya, saya seronok menonton Kung Fu Panda 4 – senang dihadam, menghiburkan dengan tempo cepat dan motivasi yang jelas. Tema utamanya ialah bagaimana seseorang mesti menghadapi perubahan – harus dapat diterima baik oleh kanak-kanak sekaligus orang dewasa, dan rangkaian aksinya membuat kanak-kanak terhibur sepanjang durasi 90 minit. Seperti yang lain, saya juga merindui The Furious Five. Terkadang plot bergerak terlalu cepat, namun banyak hal yang dapat dinikmati dalam Kung Fu Panda 4.

Kung Fu Panda 4 tentunya lebih baik dari sekuel ke-3, kita nantikan pula sekuel ke-5 dalam masa beberapa tahun lagi. Jangan sampai kena tunggu sehingga 8 tahun lagi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page