September 20, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Kereta Berdarah’ adaptasi Filem Train To Busan Versi Indonesia?

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Tertarik untuk menonton filem Kereta Berdarah ini kerana ianya disebut-sebut sebagai Train To Busan versi Indonesia. Seperti judulnya, filem ini mengangkat cerita tentang serangkaian kejadian menyeramkan yang dialami oleh penumpang Keretapi Sangkara. Digarap oleh Rizal Mantovani di kerusi sutradara, manakala penulisan cerita dibantu oleh Erwanto Alphadullah, seorang penulis muda berbakat yang meraih penghargaan Penulis Skenario Terbaik genre Horror di Festival Filem Wartawan Indonesia 2023.

Zara Leola, anak sulung gitaris band Ungu, Enda turut membintangi filem ini sebagai watak Kembang yang menemani kakaknya Purnama (lakonan Hana Malasan) bercuti ke Resort Alam terbaru yang terletak di lokasi terpencil. Satu-satunya kenderaan yang akan membawa mereka ke Sangkara Resort ialah dengan menaiki keretapi. Bersama penumpang kelas ekonomi lainnya, Purnama dan Kembang menempuh perjalanan 7 jam menuju resort tersebut. Perjalanan kian menarik kerana ada kelas VIP yang diisi oleh para pelabur yang ingin menyaksikan hasil projek resort itu.

Meskipun pada awalnya tiada tanda-tanda yang mencurigakan, perjalanan yang memakan masa cukup lama harus melalui setidak-tidaknya 5 terowong. Disitulah kejadian aneh mulai terjadi satu persatu. Seharusnya pengalaman naik keretapi yang menyenangkan telah berubah mencengkam ketika gangguan mistik menghantui seluruh penumpang. Dimulai dengan gangguan ghaib mengakibatkan satu gerobok keretapi paling akhir menghilang tanpa jejak setiapkali keretapi melintasi terowong.

Gangguan demi gangguan merubah perjalanan percutian menjadi perjalanan menuju maut. Ramai yang telah kehilangan nyawa. Keselamatan penumpang dan petugas keretapi juga menjadi taruhan. Amaran dan peringatan dari Tekun, petugas di Keretapi Sangkara dan Ramla, seorang penumpang misteri tidak diendahkan dan diabaikan. Menempuhi aksi pemberontakan dalam cubaan menyelamatkan keretapi dari ancaman yang lebih besar menanti di terowong terakhir adalah detik-detik cemas yang menjadikan intipati cerita lebih intense dan menarik ditonton.

Ada beberapa sebab mengapa saya merasakan filem ini hampir menyamai Train To Busan. Hal ini terlihat mulai dari unsur tahyul, hutan keramat, plot cerita, sehinggalah ke aspek teknologi. Jika Train To Busan fokus pada survival mode, Kereta Berdarah pula lebih memberi penekanan pada ancaman yang disebabkan oleh amukan para jin hutan dan penampakan hantu mengerikan.

Saya juga tertarik dengan konsep filem yang menitipkan pesan keseimbangan merentasi alam, namun penggarapan naskhah ini terlihat kurang matang. Beberapa logika cerita saling bertentangan seperti tempoh perjalanan, latar budaya serta penggunaan teknologi dalam cerita. Bagaimanapun, konsep yang dihadirkan oleh Kereta Berdarah sebenarnya berpotensi mencetuskan trigger buat golongan yang mengalami claustrophobia kerana ketakutan dan keseraman berlangsung di ruang gerak yang terbatas.

Seperti kebiasaan filem seram, Kereta Berdarah tentunya menghadirkan beberapa momen jumpscare yang bikin kaget. Namun daya tarik utama filem ini tidak terletak pada jumpscare-nya, tetapi lebih kepada elemen gore-nya. Ini berjaya dilaksanakan lewat efek visual yang digilap dengan baik. Selain itu, ada beberapa adegan membuatkan saya merasakan turut serta dalam perjalanan keretapi tersebut dengan merasakan perjalanan jarak jauh dan sajian pemandangan sebelum tiba ke destinasi.

Sedikit tidak puas hati dengan kelanjutan cerita yang terasa tidak lengkap dan menyebabkan plot hole yang mengecewakan. Pentingnya disini integriti penceritaan supaya dapat menutup kelemahan dan kekurangan dalam filem. Penonton menjadi ingin tahu tentang niat di sebalik amukan ratu jin pada penumpang keretapi. Jawapan atas pertanyaan ini mungkin tersimpan di akhir cerita yang juga akan membawa pesan moral untuk menyedarkan manusia.

Dengan cara itu, meski memiliki kelemahan dalam pembangunan watak dan kesempurnaan cerita, namun pengalaman menonton yang intense dan penuh ketegangan membuatkan Kereta Berdarah layak dinikmati oleh peminat setia filem seram. Menawarkan sejumlah babak yang memacu adrenalin dan membuat penonton tidak nyaman di kerusi.  Efek visual dan audio yang cermat juga menambahkan dimensi tersendiri yang tercipta dalam filem ini.

Lantas, sanggupkah Purnama dan Kembang melawan misteri seram ini sehingga sampai ke resort? Mampukah mereka memecahkan kebuntuan serangan hantu-hantu yang menakluki keretapi? Wajib tonton untuk merungkainya…


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page