September 20, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Perpisahan’ Sarat Energi, Padat Aksi Dari SUM 41

Spread the love

Tidak perlu di polemikan mengapa SUM 41 memilih untuk ‘berehat’ daripada persada muzik di saat mereka telah menawan jutaan peminat di seluruh dunia.

Mega Star Arena Kuala Lumpur menjadi saksi apabila band pop punk dari Ontario, Kanada itu berjaya menghipnosis lebih 5000 penonton yang hadir di konsert yang merupakan sebahagian daripada jelajah dunia (world tour) terakhir mereka, ‘Tour of the Setting Sum’ (The Final Tour) yang berlangsung pada 5 Mac lalu. 

Buktinya sekitar jam 4 petang lagi, fanatika SUM 41 sudah ‘menawan’ Sungei Wang Plaza, tidak sekadar itu mereka yang akur dengan ‘displin’ beratur melengkari seluruh kawasan tingkat 1 dan 2 sebelum dibenarkan masuk pada jam 7 malam.

Konsert yang sepatutunya bermula pada jam 8.30 malam terpaksa di anjakkan semata-mata untuk memberi ruang dan peluang kepada fan SUM 41 yang masih lagi berada di luar dewan.

Tepat jam 9.00 maka ‘terawangan’ lagu T.N.T daripada ACDC yang menjadi intro kepada bermulannya konsert ‘Tour of the Setting Sum’.  Peminat yang sedari awal sudah mulai berasak-asak dihadapan stage sementelah melihat Deryck Whibley (vokalis), Jason McCaslin (bass), Dave Baksh (gitar), Tom Thacker (gitar) dan Frank Zummo (dram) sekaligus menggamatkan suasana keseluruhan suasana.

Keberadaan SUM 41 di persada muzik pastinya mematangkan mereka, samada saat berada di pentas mahupun saat berinteraksi dengan penonton.  Justeru itu tidak hairanlah mengapa lebih 20 buah lagu menjadi ‘juadah’ telinga peminat yang hadir menyaksikan mereka.

Setiap detik dipergunakan sebaik mungkin untuk menghenyak ‘peminat’, mempamerkan aksi-aksi energatik, agresif selain melontarkan vokal  yang sarat dengan makna tersendiri.  Pastinya ianya perpisahan paling bermakna buat SUM 41 dan peminat.

Antara lagu popular yang dipersembahkan pada malam itu adalah seperti The Hell Song, Pieces, We’re All To Blame, Fat Lip, Makes No Difference, Motivation, Over My Head (Better Off Dead), No Reason, Waiting On A Twist Of Fate, With Me, Some Day dan banyak lagi.

Selain itu mereka turut mendendangkan lagu Landmines, antara karya yang akan terdapat dalam album terbaharu mereka ‘Heaven :x: Hell’.

SUM 41 turut membawakan beberapa lagu cover daripada kumpulan lain, antaranya Another Brick in The Wall (Pink Floyd), We Will Rock You (Queen) yang turut menyaksikan vokal berharmoni dari peminat bersama SUM 41.  Whiby yang tampil solo lantas ‘menghadiahkan’ beberapa lagu cover antaranya Smoke On The Water (Deep Purple) dan Seven Nation Army ( The White Stripes) sekaligus memberi makna serta warna sebenar riff dan melodi Sum 41.

Deryck yang mewakili seluruh anggota SUM 41 turut menyampaikan rasa terima kasih dan apresiasi atas sokongan daripada semua peminat sepanjang karier muzik mereka.

“Dari lubuk hati kami yang paling dalam, kami sangat berterima kasih dan mengapresiasi anda semua kerana menjadi peminat dan menyokong kami selama ini, terima kasih”, ujar Deryck.

Persembahan hebat ini sekali gus membuktikan SUM 41 sememangnya luar biasa dan masih mengekalkan momentum hebat di atas pentas meskipun sudah lebih 28 tahun berada dalam industri muzik.

Persembahan mereka diakhiri dengan In Too Deep diikuti So Long Goodbye, lagu yang pastinya menjadi hadiah ‘perpisahan buat para peminat mereka.

Sementara itu pengasas Hitman Solutions Rohit Rampal dan Pengarah Urusan Happymoon, Kesavan Purusotman selaku penganjur berkata, “Memandangkan ini jelajah terakhir mereka, kami (Hitman Solutions & Happymoon) tahu kami terpaksa membawa SUM 41 kembali ke Malaysia untuk peminat yang tidak sabar menanti kepulangan mereka sejak 2012.

“Hasrat kami adalah untuk memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan kumpulan punk kegemaran mereka buat kali terakhir, dan sambutan luar biasa yang kami terima menggambarkan permintaan untuk persembahan sebegitu.”

Sebagai info, SUM 41 pada Mac 2023 mengumumkan secara rasmi yang band tersebut akan dibubarkan selepas 27 tahun bersama-sama dalam industri.

Namun pembubaran tersebut hanya akan berlaku selepas album terakhir mereka “Heaven :x: Hell” dilancarkan dan selepas mereka selesai mengadakan world tour terakhir.

Selain Kuala Lumpur, banyak lagi bandar Asia yang akan dikunjungi seperti Jakarta, Jogjakarta, Singapura, Tokyo, sebelum mereka menjelajah Amerika Syarikat diikuti Eropah.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page