September 20, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Festival Aku Muzik & Kamu 2.0 Sasar 15 Ribu Penonton

Spread the love

Penganjur Festival Aku, Muzik & Kamu CoAction Events Sdn Bhd mensasarkan 15 ribu penonton pada tahun ini.  Festival yang melakarkan sejarah peribadi itu telah menggemparkan Johor apabila lebih 12 ribu penonton hadir pada tahun lepas.

Festival AMK yang memasuki tahun kedua penganjuran kini bernama AMK 2.0 menjanjikan satu festival muzik yang tidak akan dapat dilupakan di mata pemegang-pemegang tiket dan pastinya turut menakluk belantika muzik Nusantara.

“Seramai 12,000 orang hadir di Aku.Muzik&Kamu yang julung kali diadakan tahun lepas. Festival ini begitu berjaya sehingga dicalonkan sebagai Acara Dalam Negeri Terbaik Johor untuk 2023. Tahun ini, kami menjangka kehadiran dalam 15,000 pengunjung dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Sabah dan Sarawak”, ujar Pengarah Eksekutif CoAction, David Emir Baring pada sidang media konsert berkenaan yang di adakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 5 Mac lalu.

“Festival muzik kali ini akan terus menampilkan sembilan pemuzik tempatan, Singapura dan Indonesia.  Mereka mewakili genre muzik yang berlainan untuk menepati citara pengunjung kami nanti.

“Kumpulan Masdo, IAMNEETA, Saixse, Feel Koplo, Imran Ajmain dan Ratu Rock Negara, Ella.

Selain itu, Afgan akan diterbangkan khas dari Indonesia untuk ‘mencairkan’ pengunjung-pengunjung dengan lagu hit-nya seperti Bukan Cinta Biasa dan Jodoh Pasti Bertemu”, tambahnya.

Turut mewakili keghairahan muzik Indonesia, AMK 2.0 akan menampilkan Kumpulan Nidji yang tidak pernah mengecewakan dalam persembahan-persembahan penuh tenaga mereka.

Kumpulan Exists turut akan mencipta sejarah baharu dalam AMK 2.0 yang akan bermula dari pukul 3 petang sehingga 12 malam.

Festival Aku, Muzik & Kamu 2.0 yang akan berlangsung pada 8 Jun 2024 di Stadium Olahraga Mount Austin, Johor Bahru, Johor itu nanti masih mengekalkan format asal iaitu persembahan muzik tanpa henti selama 10 jam.

“Ini adalah landasan kami untuk menyemarakkan industri seni, dengan menyatukan bakat-bakat muzik Nusantara, sekaligus memberi kepuasan maksima kepada semua pembeli tiket,” ujarnya.

Beliau juga berterima kasih kepada rakan kongi strategik festival tersebut, seperti pihak Tourism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Visit Johor dan juga rakan kongsi media, Astro Malaysia Holdings kerana turut bersama menjayakan festival tersebut. 

“Menyertai Festival AMK 2.0 adalah seperti ‘menunaikan kewajipan’ kembali ke negeri kelahiran, Johor lalu menghiburkan peminat mereka yang bukan hanya dari Malaysia tetapi Indonesia dan Singapura.

“Bersedialah untuk berpesta dengan lagu-lagu yang akan membawa kalian pulang ke zaman nostalgia. Jumpa di Festival AMK 2.0,” ujar Along mewakili Exists.

Sementara itu, Masdo turut berkongsi rasa teruja untuk bertemu dengan peminat mereka di Johor, selepas sekian lama tidak membuat persembahan di negeri selatan tanah air itu.

Katanya, Johor Bahru mempunya salah satu tempat yang boleh dikatakan istimewa bagi Kugiran Masdo kerana mempunyai sejarah indah ketika mula-mula bertapak dalam industri hiburan tanah air.

“Orang-orang di Johor Bahru yang menerima kami ketika awal penubuhan Masdo. Merekalah yang menyaksikan kemunculan awal kami pada sekitar tahun 2016”, ujar Ali yang mewakili Masdo.

 Selain daripada persembahan yang hangat, festival ini juga akan menampilkan festival makanan dari MaQan Space untuk memuaskan pelbagai citarasa pengunjung, menawarkan pengalaman gastronomi yang melengkapi suasana festival ini.

Harga tiket adalah RM229 (CHILL ZONE FREE SEATING), RM229 (GALAU ZONE FREE STANDING), RM369 (ROCK ZONE FREE STANDING) dan RM569 (ROCK ZONE + VIP LOUNGE ACCESS) dan boleh dibeli menerusi platform www.ticket2u.com.my


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page