November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Aksi Luar Biasa “Janna Endoro”: Hero Wanita Penuh Inspiratif

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Baru-baru ini berpeluang menonton filem Malaysia pertama yang mengangkat wanita sebagai Hero, terdetik rasa kagum. Wow! Ini sangat antonim dari filem-filem yang pernah atau sering ditonton sebelum ini. Mengisahkan tentang aksi perjuangan seorang ibu dalam usaha mencari keberadaan sang anak yang diculik antagonis sebagai tebusan untuk memancing kedatangan suaminya yang menjadi buruan. Begitu sanggup seorang ibu bermati-matian dengan seluruh jiwa raga mencari si anak, terlalu berani pergi seorang diri, tanpa peduli apapun yang bakal dihadapi.

Watak ‘deadbeat husband’ yang dilakonkan oleh Pekin Ibrahim sangat terkesan sehingga ramai yang menjadi benci dan meluat setiapkali dia membuli sang isteri yang tetap patuh dan taat pada suami meski telah dipukul, sepak terajang berkali-kali,  padahal isteri sebenarnya pandai bersilat. Entah kenapa tetap taat setia pada suami tak guna panas baran, kerja tak menentu, kaki lalok, tahi judi, berhutang sana sini mengakibatkannya menjadi pelarian dan sentiasa dalam buruan.

Pekin Ibrahim

Natijahnya, anak perempuan berumur 3 tahun diculik. Penonton yang melihat lakonan surreal dan atrocious oleh Pekin turut merasa bengang dan marah padanya, di masa yang sama bersimpati dengan Janna yang telah dipaksa menjual maruah untuk membayar hutang. Namun itulah realiti kehidupan, tidak semuanya indah belaka.

Filem aksi yang digarap oleh sutradara Sham Jr dan naskahnya diterjemah semula oleh Nayie Kelate dan pasukan Double Channel Sdn Bhd (DCSB) ini tampaknya mengeksploitasi habis kemampuan aktres Trisha Ooi yang berperan sebagai ibu bernama Janna untuk memancing emosi penonton ketika berkejaran dengan waktu bagi menyelamatkan puteri kecilnya. Ketara terdengar unik apabila judul filem dipilih dari gabungan nama watak utama dengan jenama motosikal scrambler Yamaha Enduro yang sangat tersohor pada era 70an. Masyarakat di Kelantan sememangnya memanggil scrambler dengan nama Endoro.

Datangnya dari idea asal Engku Seri Kelantan berlatar-belakangkan negeri Cik Siti Wan Kembang yang kaya dengan pertembungan budaya Melayu, Siam dan masyarakat pribumi lain. Inilah keunikan yang ingin dipaparkan, keindahan negeri Kelantan, dari aspek sosio budaya seni mempertahankan diri Tomoi, Muay Thai, Wat Siam, Dikir Barat, Rambong, Main Puteri dan banyak lagi. Selain dari kelainan yang jarang berlaku dalam industri perfileman Malaysia apabila mengangkat seorang wanita bernama Janna sebagai watak utama atau Hero.

Trisha Ooi

Durasi 1 jam 28 minit mampu menaikkan adrenalin penonton hingga berakhir happy ending. Penampilan Trisha Ooi pelakon muda berusia 25 tahun itu cukup berhasil menyita perhatian penonton secara maksima. Bermula sebagai pelakon aksi lagak ngeri di belakang tabir sebelum ini, pemilihan beliau adalah sangat tepat. Cukup pandai memainkan emosi tension dari awal hingga akhir, terutama adegan lawan satu sama satu, dan aksi-aksi bermotoran yang nampak begitu bad ass. Memiliki pakej lengkap – pandai bawa motor, berkebolehan dalam seni beladiri, boleh buat lagak aksi dan bijak bermain emosi, Trisha ada kesemuanya.

“Dia buke lawe mu, aku lawe mung!” Paling best apabila melihat aksi rentap dua wanita yang sama hebat, tidak mahu kalah dan mempamerkan skill seni beladiri yang mantap. Trisha Ooi berentap dengan Zoee Tan, aksi-aksi tumbuk-menumbuk, tendang-terajang, siku-lipat yang begitu tangkas sangat membuka mata. Untuk informasi, filem Janna Endoro ini dihasilkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKD). Dialek kelate diketengahkan sebagai dialog utama filem dan diselitkan sarikata bagi memudahkan pemahaman. Filem pertama arahan Sham Jr ini mendapat kebebasan berkarya dari DCSB ketika membuat pemilihan tenaga produksi.

Barisan pelakon filem “Janna Endoro”

Jom serang pawagam bermula 22 Februari 2024 ini, menampilkan barisan pelakon popular seperti Trisha Ooi, Pekin Ibrahim, Mohd Asrulfaizal, Wan Hanafi Su, Josiah Hogan, Zoee Tan, Syed Aiman, Kamarool Hj Yusoff, Zalfa Zin, ZZ Zamrie dan Danie X-Factor. Jalan cerita yang very straight-forward tidak memerlukan terlalu banyak fikir, setiap adegan lebih banyak mengajak kita merasa cemas mahukan kemenangan aksi berpihak pada si ibu, Janna. Fotografi dan kerjasama produksi adalah baik, terbentuk dari pasukan berpengalaman yang dilakukan penuh teliti dan rapi, menjadikan filem ini seronok ditonton.

Bersiap sedialah membeli tiket, anda akan dapat lihat banyak aksi kaum hawa yang dianggap lemah  tetapi usah dicabar kewibawaannya demi zuriat tercinta. Saksikan aksi luar biasa “Janna Endoro”, hero wanita penuh inspiratif pertama seumpamanya, hasil karya filem tempatan.

Official Trailer “Janna Endoro”

Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page