“Saya Akan Botakkan Kepala” – Max Mohammad
Janji Max Mohammad untuk membotakkan kepalanya, sekiranya tiket konsert “Clash of The Titans” sold out sebelum konsert berlangsung. Clash of The Titans yang membariskan 2 pemacu industri muzik bawah tanah tempatan, Cromok dan ACAB bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 9 Mac 2024.
Meskipun kedua-dua band itu baru sahaja mengadakan persembahan pada tahun lepas, itu tidak bermakna mereka kehilangan ‘kuasa beli’ tiket untuk menyaksikan persembahan kali ini. Malah menurut Max, ACAB dan Cromok bakal mempersembahkan dimensi berbeza daripada apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.
“InshaAllah saya berniat untuk membotakkan kepala seandainya tiket konsert sold out sebelum hari persembahan, bukannya ketika hari kejadian”, ujarnya ketika ditemui media di Timeless Music Studio di Damansara Perdana pada 14 Februari lalu.
“Alhamdulillah sehingga hari ini trend penjualan tiket itu cukup memberangsangkan dan hanya tinggal beberapa peratus sahaja. Ianya memberikan impak yang cukup baik sewaktu kami mula jual tiket, dan lebih membanggakan semua tiket ‘ VIP Box’ yang terdapat di Zepp telah habis terjual”, katanya.
“Saya berharap agar semua peminat ACAB dan Cromok dapat hadir memberi sokongan kepada ‘kami’, apatah lagi konsert ini bakal memberi banyak kejutan kepada peminat. Apakah kejutan yang kami akan lakukan..kena hadirlah”, tambahnya.
Sementara itu Karl selaku gitaris kumpulan Cromok turut memberikan bayangan bahawa Clash of the Titans ini sarat dengan elemen surprise selain menawarkan lagu-lagu yang menjadi ‘siulan’ para Cromers.
“Peminat Cromok wajib datang kerana kami akan bawakan lagu-lagu yang tidak pernah dipersembahkan secara live sebelum ini, disamping itu kami juga akan membawakan lagu-lagu yang dekat di hati para Cromers”, ujar Karl.
“Selain bergandingan dengan ACAB dalam segmen khas, kami juga bakal meresapkan elemen Oi dalam muzik Cromok. Bagaimana ianya di acuankan dan digayakan biarlah rahsia. Kena datang hayati elemen muzik tersebut”, katanya.
Konsert Clash of the Titans yang dibawakan oleh A.C.A.B Productions ini diinpirasikan oleh Max Mohammad sewaktu ACAB mengadakan konsert ulangtahun ke 30 mereka yang telah di adakan di Bentley Studio pada tahun 2023, dimana ketika itu penonton yang hadir bukan hanya di kalangan peminat muzik Oi tetapi mereka yang menggemari nuansa Punk, Skinheads dan Metal turut hadir.
Ianya turut di akui oleh Andy Flop Poppy yang kini menggalas tugas sebagai pemain bass kumpulan ACAB.
“Gabungan 2 muzik ini, Oi dan Thrash Metal sememangnya telah lama berlaku. Ketika muzik underground mula bertapak di Malaysia. Semua muzik dan band beraksi di pentas yang sama, rasanya tiada isu untuk ‘menidakkan’ peminat muzik itu tidak boleh bersatu”, ujarnya
“Saya sendiri merasa teruja apabila di beri peluang untuk bersama-sama dengan ACAB, apatah lagi saya sendiri pernah ‘berada’ dalam kelompok muzik Oi, dimana sebelum ini saya pernah membarisi band The Heritage dan The Suspect”
“Jiwa saya seakan sudah sebati, ini pula di tawarkan untuk bermain dengan band ACAB yang boleh diklasifikan sebagai pioneer muzik Oi di Malaysia. Sudah tentu saya merasa bangga, cuma dah berusia ni ‘terpaksa’ lah memberikan energi yang lebih supaya setaraf dengan anggota lain”, ujarnya lagi.
Sesuatu yang hebat bakal berlaku apabila Max Mohammad – gitaris/vokalis, Edy J Herwan – gitaris, Zeezul Fitri – Dram dan Andy – bassis (jemputan) yang mewakili ACAB cukup dikenali dengan lagu-lagu berpaksikan Oi. Manakala Cromok yang bergenrekan Thrash metal membariskan Sam – vokalis/bassis, Karl – gitaris, Shah –gitaris dan Apis – drum.
Untuk info, A.C.A.B. merupakan sebuah kugiran skinhead dari Malaysia yang ditubuhkan pada hujung tahun 1994. Band tersebut telah menampilkan lagu-lagu bergenre Oi! dari 1994 hingga tahun 2004. Kemudian, nama kumpulan berkenaan ditukar kepada The A.C.A.B. susulan kelainan muzik yang dibawa selepas itu.
Antara lagu popular A.C.A.B. adalah Skinhead Selamanya, We Are A.C.A.B. dan Where Have all the Bootboys Gone.
Manakala Cromok pula boleh dianggap sebagai band perintis muzik thrash heavy metal tanah air yang ditubuhkan pada 1986 oleh empat orang pelajar semasa menuntut di Australia.
Cromok mengeluarkan album pertama mereka, Images of Purity pada 1991 dan mendapat reaksi positif daripada komuniti muzik tersebut.
Antara lagu Cromok paling diingati adalah Another You, I don’t Belong Here, Misty, Metallurgical dan Memories.
Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM230 (Rockzone), RM180 (Free Standing) dan RM250 (Seating). Pembayaran menerusi aplikasi ATOME, PAYLATER dan SHOPBACK juga disediakan (ansuran). Untuk rekod, tiket Premium Seats dan VIP Box (Sold Out). Sebarang info boleh lawati www.acabproductions.com manakala untuk pembelian tiket boleh melayari www.myticketempire.com