November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Letupan 13 Bom Di Jakarta Bikin Cemas dan Huru Hara

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Judul filem sahaja sudah membayangkan akan terdapat sebegitu banyak letupan bom di sana sini sekitar bandaraya Jakarta. Sejak dari awal duduk di bangku panggung, saya antisipasikan aksi-aksi keganasan penuh ledakan dan kejutan-kejutan yang menggemparkan. Apatah lagi mengetahui filem ini diangkat dari kisah benar, nyata berlaku di Tangerang pada tahun 2015, keterujaan saya untuk sama-sama tenggelam dalam keriuhan letupan bom adalah pada skala maksima. Tekaan saya mengena, visualisasi intense yang disajikan sedari awal membuat penonton berasa takjub. 13 Bom Di Jakarta bercerita tentang ancaman terror bom yang akan meletup berjarak setiap 8 jam sekali di seantero Jakarta.

Filem aksi terbesar di Indonesia ini dikesan berjaya mencapai suksess berkat true story-nya yang dekat di hati rakyat, pasukan produksi yang komited dan bersungguh-sungguh serta ketrampilan lakonan yang tampak begitu real dan ketara mendebarkan. Karya terbaru sentuhan sutradara Angga Dwimas Sasongko (yang disebut-sebut sebagai yang terbaik) ini membuktikan kemampuan industri perfileman Indonesia dalam menggarap Action Movie seumpama ini. Selama durasi 2 jam 24 minit, 13 Bom Di Jakarta membuat setiap jiwa yang menonton cemas dan huru-hara.

Ledakan peluru di merata tempat terasa begitu nyaring dan riuh, memberikan impresi seolah-olah sedang sama-sama bertempur di pawagam. Kalau menurut saya, idea cerita dan kualiti pelaksanaan lakonan serta visual filem ini adalah memuaskan. Adegan aksi tembak-menembak digubah dengan sangat terperinci dan lancar. Pemilihan angle kamera dan ton warna juga membuatkan filem ini seronok ditonton. Konflik yang cuba disampaikan terpapar straight to the point dan tidak berjela-jela.

Tanpa basa-basi, adegan-adegan tegang terhidang satu persatu. Minit-minit pertama filem serta-merta dikejutkan dengan adegan berbalas tembakan – dijahit rapi dan saling bersambung. Hal ini membuatkan plot filem 13 Bom Di Jakarta ini mengalir molek dan masuk akal. Filem bermula dengan adegan letupan sebuah lori yang membawa wang, menggunakan bazooka, dirakamkan secara direct tanpa sebarang efek visual, demi memberikan kesan sinematik yang liar. Penonton lalu diajak berkenalan dengan setiap karektor sementara konflik diselitkan secara perlahan.

Sinopsis filem ini sebenarnya cukup sederhana – sebuah organisasi kriminal merancang meledakkan 13 bom yang diletakkan di pelbagai lokasi di Jakarta. Motif dan tujuan mereka adalah berkaitan dengan masa lalu sebagai rakyat kelas bawahan yang merasa tidak bernasib baik oleh sistem kerajaan korupsi. Mereka ini adalah sang protagonis yang terumbang-ambing di antara tuduhan keterlibatan mereka dan terjebak di antara para terroris yang melakukan pengeboman. Saya bagai turut merasakan sensasi berada di tengah-tengah pertempuran.

Adegan tembak-menembak, kereta kejar-mengejar di jalanan, aksi bertempur tanpa senjata – semuanya dilakonkan dengan sangat matang, nyaris tanpa cela. Harapan sang sutradara untuk memacu adrenalin penonton dengan ragam aksi terlihat suksess. 13 Bom Di Jakarta telah meletakkan standard yang cukup tinggi buat filem-filem aksi di Indonesia selepas ini. Ini diperkuatkan lagi dengan pemilihan barisan pelakon yang luarbiasa. Nama-nama besar hadir dengan tanggungjawab peranan masing-masing, baik protagonis mahupun antagonis, tampil secukupnya dan tidak berlebih-lebih.

Karektor dan watak wanita dalam filem ini bahkan sangat mencuri perhatian. Putri Adudya, Lutesha dan Niken Anjani menjalankan tugas mereka dengan baik. Secara keseluruhan, 13 Bom Di Jakarta memberikan puspawarna yang berbeza. Namun hanya dapat memuaskan dahaga para pemburu filem aksi yang sekian lama tidak berpeluang menonton filem sebegini. Sebaliknya, 13 Bom Di Jakarta terkesan sangat berat untuk diikuti dari awal sampai akhir oleh sebahagian penonton yang lain.

Ada 2 watak yang saya kagumi, secara peribadi, dalam filem ini iaitu Rio Dewanto yang berperanan sebagai Arok si ketua terroris yang fokus ‘jahat’ sampai mati dan Putri Adudya yang membawa watak Karin, meski telah diusir keluar dari pasukan tetap degil mahu menyelesaikan tugasan sampai puas hati. Selain itu turut dibintangi oleh Ardhito Pramono, Chicco Kurniawan, Ganindra Bimo, Rukman Rusadi dan ramai lagi.

Jom tonton filem ini, ada banyak plot twist yang akan membuat anda tercengang. Tidak hanya berfokus pada adegan aksi dan ledakan sahaja, menariknya lagi, filem ini membawa pesan moral yang mendalam. Meski mengisahkan ancaman keganasan, ianya turut memaparkan slice of life yang menjadi salah satu plot utama pencetus konflik. Diakui berasa cemas dan huru-hara sepanjang 114 minit, pada akhirnya banyak berjatuhan korban jiwa dari kedua-dua pihak. Nuansa sedih, haru, tegang, cinta, setiakasih dan persahabatan dapat dirasakan dalam 13 Bom Di Jakarta.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page