November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Melihat dari Perspektif Berbeza:  “Rain Town” Papar Konflik Keluarga

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Menonton filem ini, saya menemui nilai etika dan sentimen kekeluargaan yang sangat mengesankan di jiwa. Apatah lagi saya sendiri datang dari keluarga 3 beradik – 2 lelaki dan saya seorang tunggal perempuan. Betapa saya kuat merasakan relatif pada jalan ceritanya, struggle yang dipaparkan dan persoalan-soalan yang diutarakan. Terlalu relatif sehingga saya tidak terasa menonton wayang, bahkan ibarat menonton kehidupan sebenar. “Macam real!” Saya sama sekali setuju dengan persoalan mengapa kita sering melihat dari perspektif kita sahaja? Cubalah sekali-sekala melihat dari perspektif orang lain pula. 

Biarpun bukanlah adaptasi dari sebuah kisah benar, namun berinspirasikan dari kisah masyarakat persekitaran yang saya rasakan sangat pedas. Berkemungkinan bisa terjadi dalam kehidupan mana-mana keluarga. Filem terbitan Current Pictures Sdn Berhad ini merupakan filem pertama berbahasa Cina Kantonis di Malaysia yang diarahkan oleh seorang wanita melayu, Tunku Mona Riza – satu tanda penghormatan kepada landskap Malaysia yang kaya budaya, beserta seruan kepada masyarakat kita untuk menerima kepelbagaian dengan lapang dada. Satu kepujian kerana berani mencipta abnormal.

Rain Town, berlatar-belakangkan bandar Taiping di Perak yang mendapat gelaran ‘Bandar Hujan’ kerana sering hujan lebat, kawasan yang merekodkan jumlah hujan tertinggi setiap tahun di Malaysia. Kisah tipikal berkisar tentang keluarga Choo dengan 3 orang anak, Isaac, Alex dan Ruby, serta isteri Eurasianya, Aileen. Mungkin ada yang melabelkan filem ini sebagai slow-burning berdasarkan plot cerita yang ‘lambat panas’, ada kebenarannya, namun tidak lama. Situasi tegang dan konflik beragam mulai terwujud ke tahap yang lebih tension. Lakonan hebat menghidupkan watak membawa kepada storytelling yang berkesan.

Jalan cerita mulai berkembang dengan pendedahan evolusi karektoristik yang semakin melodramatik. Choo seorang patriark yang keras kepala, dilakonkan dengan hebat oleh Chew Kin Wah, sehingga saya pun rasa marah dan menyampah dengan sikapnya. Memerintah keluarga itu ini, mahukan semuanya sempurna, semua mesti ada pelan rancangan, sedangkan dia sendiri tahi judi. Namun kemarahan dan rasa meluat terubat dengan watak Aileen, seorang mummy yang sangat memahami, penyayang dan tempat anak-anak mengadu domba apabila sang ayah asyik berkata “Tidak!” Itu ini semua tak boleh. Maka si mummy lah yang menjadi pendamai.

Sekian lama tidak melihat Susan Lankester di layar kaca, terbit rasa sayang ‘lain macam’ pada aktres yang saya minati sejak dari zaman sitkom 2+1. Apatah lagi ketika awal tayangan, saya berlari keluar sebentar mahu membeli air dan popcorn, saya di tahan seseorang di pintu keluar. Teka siapa? Susan Lankester!!! Saya hampir terjerit kecil melihat wajah cantik, berambut pendek, beranting-anting labuh itu.

“Nak pergi mana?” tanya beliau.

“Nak beli air dan popcorn kejap!”

Beliau membulatkan matanya seraya berbisik, dengan aksi seolah menjerit, “Cepattt!!!”

Kami dua-dua ketawa kecil dan saya kelam-kabut membeli, bergegas masuk semula ke panggung. Filem bermula ngam-ngam, tepat masa. Dan apabila diri saya ‘masuk’ menjiwai penceritaan Rain Town ini, rasa sayang pada Susan Lankester semakin menebal. Watak utama yang memberi nyawa dan graviti pada semua orang. Bagaikan lilin yang membakar dirinya sendiri demi kebahagiaan suami dan anak-anak. Itu yang penting.

Watak Abang Long, gemar bermain gitar dan gila muzik – serta-merta mengingatkan saya pada abang sulung saya, seorang gitaris terkenal. Tidak mahu menjadi Doktor Isaac Choo tapi terpaksa mengikut kata. Anak yang baik tetapi akhirnya melara. Watak Abang Ngah pula, Alex Choo, suka buat kepala sendiri – mirip sama dengan perangai adik bongsu saya yang semuanya main hentam keromo sahaja. Buat apa pun semua gamble, tak fikir risiko. Dan Ruby Choo itu adalah saya, seperti yang disifatkan adalah anak tunggal perempuan.

“Kamu anak perempuan saya, kamu sama seperti saya, cantik dan kuat.” kata Aileen (setelah diterjemahkan) pada satu babak yang membuat saya menangis. “Cuma kamu lebih cantik dan lebih kuat.” Saya langsung teringat arwah ibu saya. Kata-kata yang mengigit jiwa saya dan takkan terlupakan sampai bila-bila. Permainan emosi yang sangat menyentuh rasa, dari segenap jiwa raga dan minda. Kacau dibuatnya. Basah kelopak mata.

Karektor setiap seorang yang berwarna-warni menambah perisa, meski kelihatan sedikit stereotype, sebenarnya membawa kita menyelam lebih dalam. Tipulah jika tidak ada babak yang agak membosankan, ada tetapi dibilas dengan babak komedi ketika Choo menjemput ahli feng-shui datang ke rumah. Riuh gelak ketawa satu panggung. Selebihnya cuaca mendung seperti tajuk filem tetapi digarap molek dengan pengakhiran yang mendebarkan. Saya tak akan cerita bagaimana akhirnya, tak mahu spoiler, wajib tonton sendiri.

Keluar panggung sekali lagi terjumpa Susan Lankester, argh star-struck!  Dalam terpinga-pinga, mujur sempat selfie, kalau tidak sendiri rugi. Lakonan terbaik penuh magis membuat saya kagum dengan sifat humble bukan saja Susan tetapi semua pelakon termasuklah Chew Kin Wah, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan. Ikatan atau bonding kekeluargaan yang sangat akrab sesama mereka terpancar ikhlas sehingga ke luar set filem. Intipatinya, Rain Town adalah tentang bonding itu, dari sisi baik dan buruknya. Tahniah Tunku Mona Riza – kamu luarbiasa.

Ditayangkan di pawagam seluruh negara sempena sambutan Tahun Baru Cina. Wajib tonton bermula hari ini, 8 Februari – untuk rasa cinta hangat dibalut kesejukan hujan menyayat hati. Jom!!!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page