Memoribilia Manis Semalam Di Malaya: 5 Dekad Penuh Bermakna
Oleh: Zizi Hashim
Foto Kredit: Kamarul & MEM
Kagum dan terkesima – masih belum dapat menggambarkan dengan tepat perasaan sebenar saya saat menyaksikan figura-figura hebat yang menakluki pentas Zepp KL pada tanggal 26 Januari yang lalu. Stamina yang membuak-buak datangnya dari jiwa-jiwa besar yang tulus ikhlas mempersembahkan syahdu suasana malam di Malaya yang cukup manis. Nilai sentimental yang saya kira penuh bermakna selama 5 dekad berada dalam arena seni yang bukan calang-calang orang dapat berada dalam situasi sebegini. Meriah dan penuh sejarah.
Majoriti peminat setia yang hadir memenuhi Zepp KL telah dibawa mengembara menaiki ‘mesin waktu’, tepat jam 8:30 malam, untuk sama-sama kembali menerawang ke zaman puncak kegemilangan Sweet Charity. Dengan hidangan 22 buah lagu yang diberi susunan baru, setiap intonasi, setiap melodi dan setiap nada dilantunkan sebaik-baiknya oleh sang teraju utama, Papa Rock tersohor Datuk Ramli Sarip dan sahabat-sahabat baik sejatinya iaitu Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaafar (kibod/vokalis kedua) dan Rahman Sarbani (dram). Terbit rasa bangga dalam hati melihat kegigihan dan juga kegagahan line-up yang telah menjangkau usia 70-an ini, betapa hebat dan merendah diri dalam masa yang sama, memperjuangkan kewibawaan mereka menerusi energi, teknik dan skills pengendalian instrument yang jitu dan padu. Hasil cerminan dari 55 tahun pengalaman.
Mahu terlihat sinonim seperti ACDC dan Pink Floyd yang sama lingkungan usia, Sweet Charity diakui dan wajar diiktiraf sebagai legendaris ikon rock yang mendahului generasi Search, Lefthanded dan banyak lagi. Meski telah mencapai usia senja, namun tenaga dan jiwa ‘muda belia’ yang tidak dimamah dekad demi dekad, terhasil lah bahang konsert menggigit yang payah luput dari ingatan.
Barisan instrument diperkukuhkan lagi dengan kontribusi Roza Rasul (kibod), Din (bass), Riduan Zalani (perkusi) dan Addy Craddle (gitar) yang memberikan 100% terbaik. Penampilan istimewa Addy Craddle sememangnya memberi impak paling terkesan dengan corak permainan gitarnya yang puspawarna. Pertama kali saya melihat beliau bergandingan dengan otai-otai senior, Addy muafakat berkongsi idea dan tenaga demi menghasilkan jerayawara yang istimewa buat peminat setia Sweet Charity.
“Hilang Gelap Terbitlah Terang” membuka tirai malam, serta-merta menggamit nostalgia. Lagu kegemaran yang menjadi siulan ramai pada era 80an ini memiliki melodi yang sangat indah terdengar di halwa telinga. Datuk Ramli Sarip kekal dalam pesona karisma yang ketara signifikan, melarutkan audiens dengan gemersik suara serak-serak basah dendangannya. Bertukar rentak pada lagu seterusnya “Di Tahun 2000” membangkitkan mood rancak dengan petikan riff gitar garing, ketukan ritma dram konsisten dan bassline yang bersahaja.
Seleksi lagu-lagu “Pelarian”, “Sejuta Wajah”, “Dekatlah Padaku”, “Kawan Menangis Kawan Ketawa”, “Dunia Perlumbaan” dan “Hidup” mengisi slot seterusnya. Setiap lagu mempunyai keunikan tersendiri. Ada yang membawa mesej berat kerohanian, ada yang mudah dihadam, namun semuanya seronok didengar lazat menjadi santapan telinga. Percikan semangat dari audiens yang rata-rata sebaya Papa Rock memberikan satu nuansa luarbiasa. Mereka melambai-lambai tangan ke udara mengikut rentak irama, kebanyakannya merakamkan aksi-aksi Sweet Charity di telefon bimbit masing-masing, menjiwai feel lagu demi lagu.
Riff masyhur “Datang Dan Pergi” beralun lembut. Sorakan gemuruh bergema. Ramai turut menyanyi bersama. Lagu yang benar-benar menjentik emosi dan menusuk jiwa dari segi melodi dan senikata lagu. “Musibah” , “Batu” dan “Ribut 10:59 Pagi” pula adalah lagu rock yang ditunggu-tunggu, memberi nyala rasa pada konsert yang ekstrim mengimbau memori ini. Tabik hormat buat Rosli Mohalim dengan kesungguhannya memperlihatkan permainan gitar ligat dan mantap sepanjang konsert. Pakej lengkap yang menarik dari segi persembahan, instrumentasi, sistem audio dan visual, tatacahaya sehinggalah mainan imej pada skrin layar lebar di atas pentas, memberi kepuasan menonton yang berbaur emosi.
Apabila datangnya dari band yang berasal Singapura ini, memberikan seribu satu kemanisan biarpun hanya satu malam di Malaya, pastinya meleraikan resah dan menghilangkan kerinduan para peminat. Segmen Irama Melayu tidak ketinggalan turut diselitkan untuk menciptakan kepelbagaian. Sweet Charity sememangnya terkenal dengan variasi ritma yang universal. Lagu-lagu seperti “Zakiah”, “Semalam Di Malaya”, “Apa Khabar Sayang” dan “Jangan Tunggu Lama-Lama” wajib berkumandang kerana popularitinya yang melangkau segenap generasi. Peminat setia memang menanti-nanti saat untuk sing-along dan peluang ini tidak dilepaskan.
Tak terasa hampir 3 jam, ini kerana pengembaraan masa lagu demi lagu yang bertukar rentak Rock, Blues, Balada dan Nusantara bawaan Sweet Charity membuatkan semua khayal meneroka alam ‘muda remaja’ masing-masing. Aura karisma yang melimpah-ruah, seluruh jiwa raga dipersembah, kalau tak didendangkan lagu-lagu wajib ini memang tidak sah. “Kamelia” menjadikan Sweet Charity masyhur dengan memberi suntikan irama lebih ‘keras‘ kepada lagu asal ciptaan Ebiet G. Ade, apatah lagi nyanyikan oleh suara nyaring serak basah Datuk Ramli Sarip. Mencetus fenomena viral nya yang tersendiri, “Teratai” satu lagi lagu yang melonjak nama dan populariti Sweet Charity hingga ke hari ini. Hampir setiap generasi rasanya tahu mengalunkan lagu itu.
Kemuncak malam menyaksikan Datuk Ramli Sarip telah turun dari panggung, untuk bersalaman dengan peminat-peminatnya ketika mengalunkan lagu “Teratai”. Satu detik intimasi yang dinanti-nanti untuk selfie dan merakam memori. 55 tahun telah berlalu begitu pantas buat Sweet Charity. Memoribilia manis yang dikongsi dalam khazanah seni, takkan terlupakan sampai bila-bila. Persembahan istimewa penuh bermakna yang dibawakan khas oleh Malaysia Shipowner’s Association telah berjaya mencipta kenangan indah buat semua.
Syabas Sweet Charity dan terima kasih untuk hadiah seni berharga ini.
Terima kasih tidak terhingga kerana mewarnai hidup ini.. Sweet Charity sangat terkesan dalam hidup sedari aku dibangku sekolah 1979 hingga sekarang. Dari zaman keset WEA hingga U-tube ia suatu perjalanan sangat jauh. Lagu²pernah menitiskan airmata dihati yang penuh keras. Syukur merentasi zaman gejala dadah berleluasa terbias aku bersama Dunia Muzik ini dengan hayalan instrumental sangat indah seperti ‘Generasi Muda’, Orang Asing'(Batu) masih tak mampu ditafsirkan hingga kini.
Terima kasih Sweet Charity. -@jib