November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Malam Thrash Metal Penuh Magis: Kreator ‘Kasi Pecah’ Kuala Lumpur

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Speechless! Oleh sebab itu, saya tidak tahu hendak mula menulis dari sudut mana. Masih belum move on, masih terkebil-kebil, blur-blur, betul kah ini? Perlu ambil masa sedikit untuk redakan chaos dalam jiwa dan diri sendiri sebelum capai ‘pen dan kertas’ dan mula mengulas.

Tanggal 25 Januari menjadi satu tarikh yang akan dikenang terus-menerus sampai bila-bila. Thrash Metal legendaris asal German, Kreator telah kembali! Ya, benar-benar kembali! Setelah penantian sabar selama 19 tahun, janji ditunaikan, Kreator benar-benar terpacak di hadapan mata. Bulu roma tengkuk meremang tak percaya, gosok mata banyak kali, cubit peha kiri memang betul rasa pedih lah, dalam hati berdoa semoga konsert berjalan lancar sampai penghabisan. Malam itu terbukti nyata penuh magis, Kreator sudah ‘kasi pecah’ Kuala Lumpur! Satu hadiah ganjaran hebat yang tidak terungkap oleh kata-kata.

Bermodalkan 15 buah album studio dan ribuan pencinta muzik Metal di Malaysia, Kreator sememangnya yakin bahawa kedatangan mereka ke Kuala Lumpur akan mencipta satu momen goosebumps yang wajib dihadiri oleh warga metalheads dari seluruh Malaysia, khususnya malah ada juga beberapa peminat yang datang luar dari Malaysia kerana set list di Malaysia yang menjanjikan ‘hadiah’ buat Malaysia. Bukan selalu metalheads di sini dapat berpesta muzik keras dan berat seumpama ini. Tagline “Lu Metal Lu Mari” memang sangat mencabar kredibiliti sebagai metalheads, maka malam 25 Januari kita pun tak mahu ketinggalan turun padang beramai-ramai berdansa ayunan kepala tanpa henti bersama-sama Miland “Mille” Petrozza, Jürgen “Ventor” Reil, Sami Yli-Sirniö dan Frédéric Leclercq. Tanda kita metalheads sejati yang bernaung di bawah satu panji-panji, Malaysia.

Tepat jam 8:30 malam, tanpa lengah Kreator siap sedia memanaskan pentas dengan menyeru pembentukan mosh-pit atau ‘wall of death’ di bahagian baris paling hadapan. Adrenalin jantung kian berdegup kencang dan laju tahap maksima. Saat kain rentang gah bertulis “Kreator” dijatuhkan, muzik terlebih dahulu telah bergema diikuti jerit pekik crowd yang mula menggila dan bantingan amarah dram Ventor memulakan gegak gempita malam menerusi lagu Hate Über Alles”.  Tatacahaya lampu yang berombak seiring dengan tangan-tangan yang menghentak udara sama-sama sing-along dan headbanging, mencipta mosh-pit yang huru-hara.

Meski sering menyebarkan virus emosi bercampur-aduk melalui senikata lagu yang berbaur frustasi, kemarahan dan rasa terdesak, Kreator positif dalam pemilihan dan rombakan set lagu malam itu demi menghormati guideline yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia tanpa banyak soal. Bak kata Mille “Cool deep cuts setlist!” Kita tetap boleh bergembira dalam pelbagai cara, tidak perlu menjadi ganas atau brutal bagi menikmati muzik keras dan berat ini. Sedikit terbatas dan tidak puas tetapi tetap dinikmati dan diraikan dalam secebis ruang yang ada untuk hangguk kepala. Terima kasih Rockstage Entertainment yang bergandingan dengan Lampu Neon kerana bersusah-payah merealisasikan sebuah mimpi dan tahniah atas kejayaan membawa gergasi Thrash Metal dunia – ke sisi kami.

Dalam usia yang hampir menjangkau 60an, tidak terbayangkan seorang Mille Petrozza begitu gagah dan energetik sekali membanting lagu demi lagu dengan stamina yang tak terbatas. “People of The Lie” menjadi hidangan pembakar ghairah selanjutnya. Lagu yang dipetik dari album Coma of Souls ini, mengembalikan satu perasaan ‘kembali 20 tahun muda’ seperti menaiki mesin waktu pulang ke era 90an. Jiwa-jiwa yang sekian lama koma telah hidup semula pada malam Kreator menggegar Zep KL yang pecah panggung! Full house! Satu bauran emosi yang tidak dapat di gambarkan dengan kata-kata.

Pecinta muzik metal Malaysia telah bersatu pada malam penuh magis itu dari segenap umur, menyaksikan lapisan generasi terdahulu dan pelapis yang sama-sama headbanging. Rata-rata sahabat yang datang membawa anak-anak mereka berusia belasan tahun yang tidak mahu ketinggalan menjadi sebahagian dari sejarah metal. Satu pemandangan yang menyenangkan, mengetahui akan ada generasi pelapis yang meneruskan kegemilangan genre muzik metal di masa akan datang.

“Kuala Lumpur!” seru Mille Petrozza. “Kreator has returned!” kata-kata itu mengundang jerit-pekik yang bergema di seluruh Zepp KL. Menzahirkan rasa teruja dan gembira dapat kembali ke Malaysia buat kali ke-3, sudah tentunya kesemua line-up Kreator mengharapkan lebih pada malam itu. Berulangkali Mille berjanji Kreator akan lebih kerap lagi datang ke sini, jika berkesempatan. Keadaan kucar-kacir penuh kegembiraan di bahagian ‘wall of death’ menaikkan semangat Kreator dan terus konsisten di jalur Thrash Metal kian garang dengan lagu “Betrayer” , “Phobia” dan banyak lagi.

“Strongest of The Strong” sebenarnya menyampaikan mesej yang sihat pada senikata lagu. Lagu straight-forward yang solid menetapkan peringatanuntuk setiap comeback band Thrash pada peralihan bunyi mereka. Kombinasi Groove Metal, Thrash dan MeloDeath membuatkan metalheads headbanging dari awal hingga habis lagu. Setakat itu, belum ada lagi lagu-lagu yang ditunggu. Setlist dilihat sangat berhati-hati, sedikit mengecewakan tetapi tidak banyak pilihan yang ada.

Begitupun, antara lagu yang ditunggu-tunggu, Kreator telah menghuru-harakan pentas, ruang mosh-pit, sekaligus emosi yang semakin rabak apabila mengalunkan riff-riff gitar yang sangat familiar pada agressi yang paling ekstrim! “Extreme Aggression” bergegar, memorabilia membesar dengan lagu-lagu Kreator begitu terkesan, Zepp KL hingar-bingar.  Lagu yang dicipta pada tahun 1989 ini meremangkan bulu roma setiap yang hadir, meski ada yang belum lahir, tak terluah dengan kata-kata dan zahir. Saya sendiri lemas dalam campur-baur emosi yang terlalu melimpah-ruah.

“Hordes of Malaysia!” laung Mille. “Kamu semua sangat menakjubkan!” satu rasa bangga berapi-api menangkap ulu hati mendengar laungan itu. Menjadi sebahagian sejarah muzik metal, menyaksikan gergasi di hadapan mata, rasanya terima kasih sahaja tidak cukup untuk dibisik rapat ke telinga Rockstage Entertainment. Impian jadi kenyataan. Bukan angan kosong, Kreator benar-benar menggempur Kuala Lumpur. “Teribble Certainty” adalah sebuah lagi lagu lama yang membunuh jiwa dengan 1001 kenangan menjelma kembali. Kali kedua buat saya melihat Kreator, yang pertama kali pada 2005 dalam kondisi paling tidak masuk akal, namun pada 2024 adalah yang teristimewa. Walau telah dipanjat usia, perasaannya tetap sama. Menjadi muda kembali, stamina entah datang dari mana. Betul-betul magis! Betul-betul kasi pecah!

Kibaran bendera “Kreator” di atas pentas membuat berdiri bulu roma. “It’s time to raise the flag of…..” jerit-pekik menggila lagi. Bising, bingit, huru-hara dan laju, tamat 1 jam 15 minit. Puas hati? Sudah tentu tidak, secara jujurnya. Tidak akan pernah puas melihat satu persembahan yang intense dan super-tight seperti itu. Sedar tak sedar sudah lebih 15 lagu digerudi hebat, mencairkan gegendang telinga dengan riff tajam gila tak ingat dunia, mematahkan tengkuk kita sebab headbanging tanpa henti. “Tormentor” mengakhiri malam metal yang fantastik, spektakular dan emosional. Sedikit kecewa kerana ada 2-3 lagu yang tidak dibawa, apakan daya, semua terpaksa akur kerana itulah “Malaysian Style” dan semua tetap bergembira. Kita tunggu Kreator datang lagi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page