November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Berkongsi Lakaran Landskap Seni Dan Budaya Dalam Warisan Nuansa Datuk Zainalabidin.

Spread the love

Teks Oleh: Sakka Emwai

Gah namanya bukan setahun jagung, kail ilmunya berangkai seribu, meribut taufan, menggelora dada persada seni tanahair. Namun itu semua bukan sekadar sejarah senandung kelmarin yang dulu. Kini, lakaran seni indah ini dihimpun, diterjemah dan dikongsi dalam kosa didik hibur agar terus lestari dan diwarisi oleh lapisan insan – insan muda yang bakal melangkah ke dalam industri hiburan.

Keajaiban dan keunikan “Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound” terletak bukan sahaja pada Datuk Zainalabidin malah ianya juga terletak pada hasrat beliau untuk mendidik sambil berhibur, suatu konsep yang belum pernah ditampilkan oleh mana – mana artis di negara ini. Berkongsi kisah – kisah dan pengalaman dalam menghadapi cabaran dan kepayahan yang dilalui untuk berada pada kedudukan sekarang bertujuan bagi mencetuskan inspirasi untuk para pelajar IPT juga hadir pada malam konsert tersebut.

Konsert bermula tepat jam 8:30 malam, sembilan buah lagu menjadi hidangan pada malam keramat penuh hiburan, penuh ilmu dan penuh keajaiban itu, antaranya ialah Hijau, Ikhlas Tapi Jauh, Manis dan single baharu, Tiba Masa. Persembahan yang berdurasi lebih 2 jam itu jelas meletakkan beliau pada kelas yang tersendiri dan boleh dikira bertaraf antarabangsa dan tidak hairanlah Datuk Zainalabidin berjaya meraih “standing ovation” pada persembahannya di Jepun suatu ketika dahulu.

Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPAC) dewan yang menjadi saksi misi Datuk Zanalabidin dalam misi melahirkan bakat – bakat muda dalam industri muzik. Lebih dari 250 pelajar IPT yang hadir adalah dari Universiti Universiti Malaya (UM), Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti UCSI dan Universiti Lim Kok Wing.

Wajah terkesima yang penuh kekaguman jelas terlahir di setiap pelajar yang mungkin baru mengenali siapakah sebenarnya insan seni yang bernama Zainalabidin. Jelas terlihat mata – mata muda sebening embun pagi, tegar meneliti setiap langkah, setiap nada dan setiap pusaka ilmu yang dikongsi.

Turut berkongsi pengalaman mereka dalam industri hiburan adalah pemain perkusi antarabangsa Steve Thornton yang berkongsi pengalamannya ketika menjadi pemuzik latar untuk raja pop dunia Michael Jackson, lagenda jazz Miles Davis, Mariah Carey dan banyak lagi artis – artis antarabangsa lain, Sunil Kumar pula berkongsi pengalamannya dalam aspek – aspek teknikal bagi penganjuran dan produksi sesebuah konsert, beliau juga adalah pengarah teknikal bagi festival bertaraf antarabangsa iaitu“Rainforest World Music Festival” acara tahunan yang diadakan di Kuching, Sarawak. Tidak ketinggalan, nama yang cukup banyak memberi impak dalam arena seni negara iaitu Michael Veerapen yang berkelulusan dari Berklee College of Music telah memenangi banyak anugerah termasuklah lagu gubahannya “One Thousand Million Smile” nyanyian allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad yang memenangi anugerah “Asia’s No. 1 Performer”, beliau juga penggubah lagu single baharu Zainalabidin berjudul “Tiba Masa”.

Selain dari para pelajar IPT, konsert ini juga dihadiri oleh lebih dari 300 peminat yang amat menantikan dan merindukan persembahan Datuk Zainalabidin yang tampil bersahaja namun penuh bertenaga. Bahkan tidak sedikit pun menampakkan usia sebenar beliau. Menyanyikan lagu – lagu popularnya yang bernada tinggi sambil tersenyum bersahaja, jelas membuatkan seluruh isi dewan terpegun.

Turut memeriahkan persembahan pada malam itu adalah persembahan menarik oleh Pija Yasin, pemenang program “Mentor TV3” dan One Juicy, salah seorang penari B-Boy terbaik Asia dan juara progrm realiti “The Band” melalui rangkaian Astro Ria. Kedua – duanya adalah anak didik Datuk Zainalabidin.

Konsert anjuran AfroZapin Network iaitu produksi milik Datuk Zainalabidin jelas mempunyai makna tersendiri dan menjadi anjakkan paradigma bahkan sumber inspirasi buat generasi muda kini dan generasi yang seterusnya yang ingin menceburkan diri dalam industri hiburan, sokongan MyCreative Ventures dengan kerjasama rakan penaja utama, CIMB Bank dan Yayasan CIMB juga menghasilkan keajaiban dan impak yang amat positif dalam kejayaan penganjuran konsert unik ini.

Bercerita tentang kepayahan hidupnya dalam menggapai impiannya, ujar Datuk Zainalabidin “”Tiga hari selepas dilahirkan, saya diserahkan kepada datuk dan nenek saya. Saya anak yang tak diinginkan, datuk dan nenek saya adalah pemuzik”. Tambah beliau lagi “Pada usia lapan tahun, datuk dan nenek saya meninggal dunia. Jadi, saya berpindah dari satu ke satu keluarga. Saya jadi kanak-kanak yang terkesan dari segi mental dan fizikal”.

Beliau juga pernah menjadi penjaja ais kacang di tepi jalan, menjadi buruh binaan, pencuci pinggan di restoran dan berbagai kerja – kerja rencam yang bagi menyara cita – citanya.

Semoga kisah dan tauladan ini menjadi sumber inspirasi bagi jiwa – jiwa muda yang ingin bergelar artis, jiwa – jiwa muda yang penuh dengan kesenangan dan kemewahan yang tak sepatutnya disia – siakan.

Program seperti ini juga wajar dicontohi oleh artis – artis lain bagi memartabatkan lagi seni budaya seterusnya mengekalkan legasi semangat warisan nuansa supaya terus berada di kemuncaknya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page