Beli, Gores dan Menang, Cara Wings Hargai Peminat Edisi Wings ‘The Rock Emperor’ Penang Chapter
Oleh: Zizi Hashim
Siri jelajah Kota Singa dan kota Kuala Lumpur sudah pun selesai. Meskipun sehingga ke hari ini, rata-rata majoriti belum ‘move on’ sepenuhnya lagi, namun babak demi babak tetap rancak diteruskan. Bersambung pula ke babak seterusnya, kali ini kompas menunjukkan halatuju ke arah utara, Wings: The Rock Emperor terbang bertandang ke Pulau Pinang. Berita gempa terkini – lima sayap utama Wings yang diterajui oleh Dato’ Awie (vokal), Eddie (bass), Black (dram), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) bakal menghuru-harakan Spice Arena Penang pada 24 Februari nanti, dalam rangka jelajah Penang Chapter pula.
Berjaya membuktikan ‘sold out’ pada setiap babak yang usai dijelajahi, Dato’ Awie tetap pro-aktif dan kreatif mempraktikkan kelainan dalam formula-formula baru dan segar pada setiap babak. “Jika sebelum ini kami tawarkan jualan tiket dengan harga Rahmah, kali ini kita jual dengan harga Zainab pula.” sendaloka Dato’ Awie itu bersambut oleh gelak ketawa semua. Apabila suasana kembali serius, beliau menyambung, “Kali ini kami perkenalkan pula konsep Tonton, Gores dan Menang kepada semua pembeli tiket. Dalam setiap gores pada tiket tu, anda akan memenangi sesuatu, ada hadiah-hadiah tertentu yang tersembunyi di sebalik tiket-tiket itu.”
Sengaja mencipta thrill dan vibes keterujaan pada pembeli tiket, Dato’ Awie menambah “Ada dalam lebih kurang 700 barangan akan dijadikan hadiah untuk Gores dan Menang ni, bukan sikit tau. Konsep ini merangkumi semua pembeli tiket dari harga RM95 sehingga lah tiket RM300. Kita tak jual tiket harga mahal-mahal sangat. Siap kita lagi nak beri lebih.” ujarnya dengan nada bersungguh-sungguh. “Paling best, kita ada pre-loved barangan Wings yang terpakai. Mungkin baju, mungkin gitar, mungkin dram, mungkin kasut, tapi semestinya bukan seluar dalam ya.” gamat seluruh ruang Maristar Bukit Bintang mendengar seloroh Dato’ Awie ketika sidang media untuk promosi Penang Chapter pada petang 18 Januari baru-baru ini. “Oh ya, bukan itu saja, ada 2 bilik hotel juga yang akan dimenangi.”
Sementara itu, Wings juga semakin giat berlatih setiap hari bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dapat dikesan pada persembahan sebelum ini. Meski keseluruhan peminat menyatakan rasa sangat berpuashati dengan apa yang dipertontonkan dalam dua babak konsert terdahulu, Dato’ Awie tetap akan melakukan post-mortem setiapkali menjelang tarikh konsert yang baru. Perubahan dalam konsep persembahan perlu ada, walaupun mendukung branding dan tema yang sama. Wings: The Rock Emperor – Penang Chapter sudah tentunya tidak akan sama seperti Kuala Lumpur Chapter.
“Kita akan ubah sikit repertoire, tak boleh sama. Intro, plot cerita, songlist, gimik, susunan muzik, landskap visual, semua tu takkan sama, mesti lain. Apatah lagi Spice Arena Penang ini lebih besar kapasitinya berbanding Stadium Malawati Shah Alam. Extra dalam lebih kurang 2,000 penonton kalau tak silap.” cerita Dato’ Awie dalam usaha menyesuaikan persembahan dengan lokasi yang dipilih. Pada usia yang menjangkau 55 tahun, Dato’ Awie tetap bersemangat mempamerkan kemantapan vokal trademark bernada tinggi dan showmanship pentas yang padu teruk – lagaknya tak ubah bagaikan berusia 20an.
Masih mengekalkan konsep teaterikal ala Viking, kali ini Wings bakal menyerang-hendap peminat-peminat setia di kawasan sebelah utara dengan persembahan memukau yang telah terbukti dalam testimoni konsert sebelum ini. Line-up Wings yang lain juga sudah melewati usia 50-an, tidak menjadikan usia sebagai alasan, berbekalkan mahalnya pengalaman, tetap memberikan komitmen 100% dalam permainan instrument masing-masing.
Deruan bass mantap Eddie, siapa yang dapat menyangkal. Dentuman killer dram Black bukan calang-calang. Sham meski tak banyak cakap dan lebih banyak tersenyum, sering mencipta gerun dalam riff-riff gitarnya yang vibrant. Manakala Edrie Hashim tetap konsisten membunuh ritma lagu-lagu wings, tidak kira lagu heavy atau ballad, dengan petikan improvisasi gitar versinya sendiri yang berhantu. Semangat roh ‘brotherhood’ kental yang ada dalam jiwa setiap mereka, dipegang kukuh bersama, mencetuskan sesuatu yang fenomena.
Ketika ditanya mengapa memilih tarikh konsert pada 24 Februari, memandangkan ada 6 lagi konsert lain akan berlangsung pada tarikh yang sama, Dato’ Awie kelihatan sedikit terkejut. “Oh ye ke, takpelah, rezeki masing-masing. Kita kongsi sama rata.” begitu humble dengan sifat percaya diri, Dato’ Awie yakin peminat setia Wings akan tetap membeli tiket The Rock Emperor – Penang Chapter ini demi melihat idola rock mereka beraksi di depan mata. Konsert berdurasi 3 jam bakal menghidangkan lebih dari 20 buah lagu pastinya bakal mementaskan kredibiliti Wings sebagai rockstar pada skala mega.
“Konsert ini juga sebenarnya diadakan khas untuk mereka yang mengeluh tiket habis hari tu. Ini lah masanya santai-santai drive pegi Penang, tak jauh sangat pun.” ujar Eddie tampak turut teruja pada petang itu. “Kita tak tahu selepas ini bila lagi Wings ada konsert skala besar macam ni. Perancangan semua datang dari Dato’ Awie, kita kena tunggu dan lihat. Berjaya konsert ini baru ada kesinambungan konsert lain.” Begitu juga hal nya dengan Black yang menyatakan ketidaksabaran untuk menggegar Pulau Pinang. “Wings dah lama sangat tak beraksi kat pulau, selalu kita gegar tanah besar je. Jadi harapan saya seluruh penduduk pulau akan turun padang ramai-ramai menyokong kami.”
“Saya paling teruja dengan konsep teaterikal ni, sangat gah, sangat wow. Sejak dari di Singapura lagi saya cuba bagi sehabis baik. Saya memang sokong direction yang Dato’ Awie nak bawa, begitu ambitious, bukan sekadar konsert yang headbanging all the way. Konsert ini ada perjalanan dia, dalam setiap segmen semuanya bersebab.” Berkobar-kobar sekali Edrie Hashim bercerita, “Songlist kali ni untuk Pulau Pinang ni lagi gila. Banyak lagu-lagu yang saya sendiri tak pernah dengar ni.” ujar Edrie sambil ketawa. “Kena berlatih lagi betul-betul ni.”
Sham ketika diminta memberi sepatah dua kata, kelihatan malu-malu dan senyum-senyum, “Saya belum cakap lagi semua dah gelak. Apa yang saya nak cakap, semua orang dah cakap. Jumpa nanti semua di Penang.” Kata-kata beliau disahut gelak ketawa yang lain.
Konsert Wings: The Rock Emperor telah memilih Hot FM dan KOOL 101 sebagai Radio Rasmi manakala Xtra pula dipilih sebagai Rakan Media Digital Rasmi.
Tiket untuk menonton konsert Wings Penang Chapter ini boleh didapati di https://wings.ubertickets.asia